Apa pendapat Profesor Madya Mariam Abdul Latif. Profesor Madya di Sekolah Sains Makanan & Pemakanan, Universiti Malaysia Sabah. |
Alhamdulillah…. akhirnya dapat juga saya menulis mengikut suka hati saya untuk tatapan kawan-kawan seangkatan di University of Life (UoL). Tanggal 12 Disember 2010, selesai saja merapatkan tali silaturrahim di antara warga makmal dan Pejabat Negeri Selangor melalui Seminar Kualiti dan Keselamatan Makanan di Cherengin Hill Resorts, saya dan suami bertolak balik melalui jalan yang berbelok-belok dan pokok-pokok hutan menghijau. Dengan takdir Ilahi, kami bersetuju secara spontan untuk meninjau kawasan kampung di Janda Baik kerana pertama kali menempuh kawasan ini. Kalau dah suratan memang tak ke mana, kereta kami meredah ke beberapa resort percutian dan dalam perjalanan keluar kami secara otomatik terdorong masuk ke selekoh Wadi Hussien pada waktu tengaharinya.
![]() |
Welcome to The University of Life |
Seterusnya kami bertemu dengan tuan rumah. Pak Habib dengan air muka ikhlas dan gembira menyambut kami berserta anaknya, Omar. Saya rasa pelik sejenak kerana saya fikir sayalah orang yang paling mudah berbual mesra di dunia ini, rupa-rupanya ada lagi orang yang lebih peramah dan mudah berkomunikasi daripada saya di sini. Beliau terus menjemput kami duduk di meja di sudut taman dan menunjukkan kami beberapa buku yang ditulis beliau, lalu membuka cerita mengenai pelancaran University of Life pada hari itu. Saya hairan! Mana pensyarahnya? Mana penuntutnya? Mana dewan kuliahnya? Confuse! Tapi, rasa bahagia berada di dalam taman dengan kawan-kawan baru. Begitulah perasaan yang masih saya ingat ketika pertama kali masuk sekolah baru itu. Kemudian, anak dan menantu Pak Habib iaitu Fuad dan Jun, serta beberapa orang insan lain yang turut datang untuk pelancaran University of Life menyambut kami dengan senyuman mesra.

Allah yang Maha Kaya lagi Maha Pengasih telah menemukan saya dengan kawan-kawan dari pelbagai latar belakang yang unik. Adakah mereka semua faham apakah itu makanan halal sebagaimana yang saya fahami? Apakah mereka tahu bahawa semua makanan di dunia ini adalah halal kecuali yang disebut di dalam al-Quran; bangkai, babi, darah dan apa saja haiwan yang disembelih tanpa nama Allah, termasuk juga ‘khamr’ (arak) dan lain-lain elemen yang memabukkan.

Cukuplah sedikit coretan minda saya sebagai insan kerdil yang masih jauh perjalanan dalam ekpedisi merentas lautan penulisan. Buat semua kawan-kawan yang amat saya hormati di UoL, terutama sekali Pak Habib yang berwatak seperti Singa berani menulis apa saja, berani menjolok sarang lebah untuk mendapatkan madunya yang dapat dikongsi dengan sesiapa saja. Begitu juga al-Fatihah buat Pak Bad dan syabas kepada Hanizah kerana turut berbakti ikhlas dalam kesinambungan perjalanan UoL ini. Allahu ‘alam.
Mariam Abdul Latif
Profesor Madya di Sekolah Sains Makanan & Pemakanan, Universiti Malaysia Sabah
Kota Kinabalu
mariam@ums.edu.my
No comments:
Post a Comment