Chat with Us LIVE!

Wednesday, 20 March 2013

Orang Tidak Serupa Orang, Babi Sudah Jadi JE



Assalamualaikom, kom apa? Combat, bad apa? Batman, man apa? Mentol, tol apa? Tolak, lak apa? Laksam, sam apa? Sambal, bal apa? Balak. Balak apa? Itu sendiri punya diri, sendiri mahu ingatlah beb.

Anwar: Nanti satu hari saya pulak jadi PM.
Mahathir: Hahaha yea ke?

Buku yang sedang anda baca ini, adalah merupakan buku Pak Habib yang ke 35, kesinambungan kepada trilogi yang pernah Pak Habib janjkan dulu, selepas buku Sunnah Nabi Muhammad SAW vs Sunnah Mahathir Mohamad dan Mahathir, Anwar, Konspirasi, Reformasi; kopikasi, wangkasi, tak ada saksi.

Sesiapa yang pernah membaca buku buku Pak Habib bermula dari buku pertama, Firasat Rahsia Mengenal Diri Sendiri, yang diterbitkan pada tahun 1969 sehinggalah buku Pak Habib yang paling terbaru, Mahathir Di Ambang Senja, akan dapat memahami apakah sebenarnya yang Pak Habib perjuangkan.

Bukan senang nak jadi penulis yang mampu bertahan selama 30 tahun dalam bidang penulisan dan masih mempunyai ramai peminat yang setia malahan setiap tahun bertambah, terutama golongan muda. Untuk mengajak para pembaca dan peminat peminat mengikuti penulisan Pak Habib dan terus membaca sehinggalah buku yang ke 35 ini bukan mudah. Setiap keluaran mesti ada perkara baru, mesti berisi ilmu dan bahan lucu tak boleh kurang. Yang penting, bahan lucah tak ada dalam buku Pak Habib dan boleh berkongsi bersama oleh semua anggota keluarga.

Pak Habib juga bersyukur ke hadrat Illahi kerana menerima surat-surat dari para pembaca.  Setinggi-tinggi ucapan terima kasih juga Pak Habib ucapkan kepada mereka yang telah datang berjunjung ke Wadi Hussein, Janda Baik untuk menemui Pak Habib. Nampaknya ramai di kalangan pembaca-pembaca buku Pak Habib itu terdiri dari golongan generasi baru yang mempunyai minda yang terbuka dan yang sentiasa dahagakan ilmu serta berani bertanya macam-macam perkara luaran dan dalaman manusia.

Pak Habib ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pembaca dan peminat Pak Habib yang sedia menegur dan sanggup memberikan macam-macam idea. Mudah-mudahan Allah saja yang dapat membalas jasa baik suadara saudari yang telah memberikan sokongan dalam bermacam-macam cara terutama doa kepada Pak Habib dalam usaha Pak Habib untuk menyampaikan apa jua bentuk ilmu. Walaupun cara penulisan mereka agak luar biasa tetapi bahasa mereka menegur masih tetap bersahaja dan Pak Habib tahu teguran itu ikhlas dan bertujuan membina.

Pak Habib memohon ampun dan maaf kerana tidak dapat membalas surat surat dan email para peminat sebab kesuntukan masa. Sorry, no hard feelings, please.

Jangan marah. Doakan agar Allah memberikan kekuatan dan masa yang mengizinkan kepada Pak Habib untuk melayan dan menggembirakan anda. Insya Allah, Pak Habib akan cuba berusaha untuk memperbaiki kelemahan dan kesilapan hasil dari teguran, kritikan dan tunjuk ajar yang di berikan.

Kenapa Pak Habib mulakan buku ini dengan ‘Assalamualaikum’? Baru baru ini Saudara Haji Subky Latiff, kolumnis Harakah, penulis utama PAS telah datang ke pondok Pak Habib di Janda Baik dengan seorang kawan buat pertama kalinya. Subky yang telah Pak Habib kenali sejak awal 1970an lagi telah bertanyakepada Pak Habib, “Bila lagi Pak Habib nak isi borang PAS?”

Menurut Subky, penulis tidak boleh jadi nonpartisan. Sayuti Omar, Ann Wan Seng, Ahmad Lutfi Othman, Tamizi Mohd Jam, Yahya Ismail dan beberapa orang lagi penulis sudahpun memberikan sokongan mereka kepada parti-parti tertentu. Sebagai contoh Yahya Ismail, memperjuangkan PBS Sabah, Datuk Pairin Kitingan dan pucuk pimpinan PBS. Di Sabah sudah ada alternatif UMNO dan PBS, Bumiputra Islam atau bumiputra di bawah pimpinan Kristian. Apakah Pak Habib nak tinggal seorang diri saja untuk memperjuangkan UMNO? Macam mana kalau UMNO kalah dalam pilihan raya umum nanti?

Subky dan seorang lagi temannya datang ke Janda Baik untuk menggunakan kemudahan di Kem Wadi Hussein bagi mengadakan Kuliah Subuh. Pak Habib tak keberatan untuk memberi keizinan. Kecil tapak tangan nyiru Pak Habib tadahkan kepada semua penulis yang mahu menggunakan Kem Habib, muzium dan taman rekreasi Pak Habib. Penulis mesti bebas dan selaku pemikir tidak boleh terikat pada mana-mana ideology parti terutama Pak Habib selaku Presiden Kelab Penulis Politik Malaysia.

Sebelum ini pun, ada beberapa orang pensyarah universiti yang mengajak Pak Habib menyertai PAS dan meninggalkan UMNO. Kata mereka, “Mahathir dulu pun pernah menggunakan pentas PAS sebagai platform politiknya.” Takkan orang UMNO hendak marah, kalau sesekali Pak Habib hendak tukar uniform. Pak Habib bersenda dengan Subky, “Sekadar nak cuba-cuba dulu tu, ok lah tapi ada syaratnya. Pak Habib tak mahu pakai kopiah macam Subky dan orang PAS yang lain. Pak Habib lebih suka kekalkan imej berambut panjang ala rockers seperti Ramli Sarip, M. Nasir atau U. Wei Shaari. Sebab ramai yang menganggap Pak Habib dengan mereka mempunyai identiti yang serupa walaupun kami ini setangkai tapi tetap tak sebau. Macam juga Datuk A. Samad Said, Sasterawan Negara.


Dulu semasa membantu Al Arqam pun, Pak Habib tak pernah pakai jubah atau pun serban. ‘Uniform’ yang mengutamakan kulit-kulit ini, Pak Habib ‘tak mainlah’Yang penting hati, ikatan hati, kejujuran dan keikhlasan mengatasi bulu. Hidup tak boleh pandang bulu. Musang pun boleh berbulu ayam. Ada juga manusia yang tak ada bulu macam ‘cock no bulu’- ayam bapak tak ada bulu. Ayam togellah tu. Semasa dengan Ustaz Ashaari dulu, Pak Habib dikenali sebagai “Arqam Blue Jean” atau “Arqam Batik”. Biarpun Pak Habib tak pernah pakai uniform Arqam, namun selepas kumpulan itu diharamkan, Pak Habib tak pernah lari meninggalkan Ustaz Ashaari. Pak Habib tetap menganggapnya sebagai seorang sahabat dan guru, dalam beberapa aspek. Dalam hati kecil Pak Habib, Pak Habib tahu sebahagian dari ajarannya terutama ilmu hakikat yang dibawa oleh Ustaz Ashaari itu adalah tidak sesat. Orang yang mengatakan ilmu hakikat yang datangnya dari Allah itu sesat, mungkin merekalah yang lebih sesat. Dalam kubur nanti, ‘lu tahulah’, sesat tak sesat. Atas dunia semua orang boleh cakap ikut suka hati.

Dan mereka yang menuduh Anwar Ibrahim dengan tuduhan kes liwat tanpa bukti yang sah dan nyata, maka dosa dosa mereka itu  mungkin jauh lebih besar daripada dosa dosa Anwar. Sebagai orang Islam, Pak Habib tak percaya tuduhan liwat yang dikenakan ke atas Anwar. Ini semua politik. Kita tak tahu apa yang ada di sebalik tabir. Kita tak tahu drama perang antara Anwar-Mahathir. Politik Mahathir terlalu tinggi untuk difahami oleh ahli politik biasa. Kepada Pak Habib ianya masih merupakan satu teka teki. Bukankah Mahathir seorang pemain silap mata yang hebat. Siapa tahu kalau kalau dia memang saja buat macam ni supaya bila dia berhenti, orang akan hendakkan Anwar solid. Inikan politik – the art of possible.

Tuhan suka kepada manusia yang cintakan ilmu, manusia yang cintakan kebenaran, berkongsi ilmu dan pengetahuan. Kita jadikannya sebagai satu ibadat dan mencari keredhaan Allah sebagai satu permulaan untuk memperbaiki kerosakan yang ada dalam masyarakt kita hari ini. Pak Habib sekadar mengajak manusia berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran agar masalah masalah yang melanda kita semua hari ini, ‘insya-Allah’ akan selesai. Ini kerana hari ini ramai sangat orang yang mengajak orang berperang dan berebut kerusi, berebut itu dan ini, tak cukup cukup, tak puas puas dan yang bukan kroni, bukan dari puak main jauh jauh aje lah.

Sampai tua lu jadi gurkha, jadi suku Ruti pencium tangan Perdana Menteri, Bini Perdana Menteri dan Menteri seperti Suku Ruti buka pintu, tutup pintu boss sajalah. Lepas itu boss lalu tabik. Pakai uniform mengalahkan General. Dapat wisel tiup lebih dari referee, kejap-kejap tiup, kejap-kejap tiup. Itulah kaki ampu sana, ampu sini; bila yang memberi berada di atas.

Mudah-mudahan semasa jadi pemimpin anda boleh menjadi seorang khalifah’ yang baik, adil bertimbang rasa, bertolenrensi dan berperikemanusiaan, tidak menghukum orang lain mengikut emosi, hawa nafsu dan kuasa, seperti mana yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin hari ini untuk kekal berkuasa. Kita jadi kelam kabut, resah gelisah kerana dalaman kita tak tenteram kerana terlalu mengutamakan kebendaan material.

Kita sudah terlalu jauh hanyut di bawa oleh Dr Mahathir selaku Perdana Menteri menengok dan memikirkan yang besar-besar sedangkan dalaman kita dibiarkan kosong macam belon. Itulah peringkat yang sedng Mahathir alami hari ini. Pecah meletup atau akhirnya kempis tak laku bila angin sudah tak ada lagi.

Kalau anda fikirkan baik-baik, anda akan dapati bahawa dunia yang kita diami ini sebenarnya adalah sebuah dewan peperiksaan yang terbesar bagi manusia.

Maka sebagai manusia yang mempunyai kemampuan dan intelektual, marilah kita menghadapi realiti kehidupan ini dengan lebih rasional. Bukan mudah untuk membuat persediaan bagi menghadapi dunia yang menekankan sistem pendidikan yang bersifat sekular. Kerana sistem inilah yang telah melahirkan pemikiran ala ‘burung kakak tua’ di kalangan generasi baru hari ini. Mereka hanya tahu menghafal saja. Nak berfikir dan merenung, sorrylah brader! Oleh kerana bentuk pemikiran seperti ini yang dipupuk dan diasuh sejak kecil lagi, maka rakyat pun ikut berfikir secara terpisah dan tidak syumul, jauh dari tujuan sebenar insan itu dilahirkan ke dunia ini. Inikah sistem sekular yang dimaksudkan oleh PAS?

Gara-gara proses ‘neo kolonialisme’ untuk lebih mempermudahkan sistem pecah dan perintah yang digunakan oleh British supaya rakyat yang dijajahnya tidak bersifat kritikal dan alatnya ialah di bidang pendidikan yang kita warisi dengan senang hati. PAS dan Al Arqam selamat kerana da sistem pendidikannya sendiri. Jika kita tak berani tentang atau keluar dari belenggu sistem yang menjadikan kita seperti burung kakak tua, maka siapa saja yang jadi pemimpin, Perdana Menteri atau parti yang memerintah kita ‘pi mai pi mai tang tu’ sajalah. Maka berperang dan menjatuhkan pemimpin adalah sesuatu perbuatan yang sia sia, kerja yang merugikan bangsa. Yang penting ialah kesedaran dan mari kita cari punca apa sebabnya kita semua jadi macam burung kakak tua, sama ada dalam UMNO, PAS atau di mana-mana saja kita berada. Dalam dunia yang semua penghuninya buta, maka manusia yang ada satu mata, dialah menjadi raja. ‘In the world of the blind, the one-eyed-Jack is King’.

Tidak kira pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi, mahupun ibu bapa dan seluruh masyarakat menjadi begitu tertekan dan terikat dengan sistem yang membiarkan kita terus hidup dalam cocoon, dalam kepompong. Dalam Arqam dulu pun Pak Habib sudah tegur, jangan ikut ekor serban Ustaz Ashaari. Masuk dan perhatikan apa yang ada dalam minda Ustaz Ashaari.

Negara kita sudah merdeka selama 42 tahun, tetapi otak kita masih juga dijajah. Apa tidaknya dari pra sekolah lagi anak-anak kita sudah diajar dan diasuh untuk menjadi generasi ‘exam oriented’Belajar sekadar untuk lulus periksa saja atau untuk mendapat ‘flying colours’. Sesudah itu pergi cari kerja makan gaji, jadi hamba, tidak diajar berdikari dan jati diri menjadi manusia.

Sistem yang sedia ada hanya mengajar 3M iaitu membaca, menulis dan mengira tetapi bagaimana dengan 2M lagi, melihat dan memikir atau pun mengaji dan mengkaji, merenung dan meneliti, membaca dan mengerti; sedangkan fitrah manusia itu melihat, memerhati dan berfikir, bukan setakat membaca menulis dan mengira. Manusia yang tak tahu guna akal sama seperti haiwan yang pandai berkata-kata saja.

Dengan sistem yang ada kini, anak-anak kita merasakan kehidupan mereka sudah terjamin, bolehlah makan gaji dengan ganjaran yang lumayan. Namun biarpun begitu ada di antara mereka yang tidak lagi mahu terus menerus bekerja di bawah telunjuk dan arahan orang lain. Sebenarnya manusia yang terlalu ghairah mengejar ilmu pengetahuan semata mata untuk memenuhi kehendak dan kemahuan dirinya sendiri sahaja tanpa memanafaatkan ilmunya untuk dikongsi bersama oleh manusia yang lain adalah manusia yang cerdiknya tak boleh diikut oleh orang lain dan adalah manusia yang ‘bodoh sombong’.

Yang membuatkan Pak Habib dan mereka yang sudah sedar sistem pendidikan penjajah inilah yang merugikan bangsa kita merasa kesal kerana walau tinggi mana sekalipun pangkat golongan terpelajar ini berada tanpa mereka sedari mereka masih tetap menjadi hamba. “Saya yang menurut perintah,” “I am your obedient servant, sir.”

Selagi manusia menyembah selain daripada Allah dan melakukan apa sahaja bukan kerana Allah Azza Wajala, maka segala gala yang dilakukan hatta bercinta di antara lelaki dengan perempuan sekalipun, dia masih tetap belum bebas berdeka. Apa lagi kalau dia masih tunduk kepada kehendak dan kemahuan nafsunya semata-mata. Apakah itu bukan menduakan Tuhan namanya?

Apa yang membimbangkan rakyat yang merasakan bahawa negara ini milik kita bersama dan kita tak ada bumi lain dan langit lain yang kita junjung melainkan Malaysia, kenapa kita terpaksa kembali hidup macam di zaman penjajah dulu? Kita merasakan bahawa senario politik yang lebih mendominasikan kesinambungan diri dan sistem pendidikannya yang lebih mementingkan periuk nasi dan kroni masing-masing dari perjuangan meningkatkan kerjaya perjuangan agama, bangsa dan negara mesti dihentikan serta merta. Cukuplah - ‘enough is enough’. Setiap yang bermula mesti berakhir, termasuklah kerjaya politik Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed. “Berhentilah, Che Det”. Itulah suara hati rakyat yang hendak disampaikan oleh Pak Habib.

Setelah berpuluh tahun mengikuti pengajian, tiba tiba saja golongan terpelajar atau yang dikatakan berpendidikan yang bergelar para akademik tidak tahu bagaimana untuk memulakan hidup secara efektif. Kasihan. Mereka yang terperangkap di dalam sistem pendidikan yang lebih banyak menilmbulkan masalah daripada menyelesaikan masalah. Apakah ini bukan petanda kiamat bagi sistem pendidikan di negara kita?

Dr. Mahathir sedih, Pak Habib juga sedih kerana mengikut kajian, rakyat Malaysia cuma membaca dua buah buku saja setahun, tapi syukurlah daripada tak baca langsung. Something is better than nothing.Bagaimana pun apakah dua buah buku yang dibaca itu dapat meninggalkan kesan atau impak yang mendalam sehingga mampu membawa satu perubahan besar ke atas diri mereka terutama perubahan ke atas minda dan sikap mereka? Dan Pak Habib lagi sedih kerana sejak buku Memo untuk Perdana Menteri yang Pak Habib terbitkan pada tahun 1992, Pak Habib dah suruh Mahathir tarik diri dengan cara terhormat kerana ketika itu dari firasat Pak Habib sudah nampak bibit-bibit kejatuhannya tapi sehingga ke hari ini, Mahathir masih juga tidak mahu turun. Kalau dia terpaksa turun pun senario politiknya sudah tak sama lagi. Dia akanjatuh dalam keadaan hina, dicaci di maki dan dibenci oleh rakyat. Namun adalah lebih baik jika dia turun secara terhormat, kerana sikap orang Melayu ini cepat lupa dan mudah memaafkan orang.

Syukur kita kepada Allah SWT kerana telah menemukan kita dengan sebab atau punca mengapa bangsa Melayu dikatakan bangsa yang kolot dan mundur. Puncanya, sebab orang Melayu tidak membaca. Kalau mereka membaca sejarah, mereka tentu tak akan lupa siapakah yang punya angkara sehingga hancurnya kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511.

Bersama sama ini Pak Habib ambil sediki petikan dari bahagian satu. Politik Bisu dalam buku terbaru Haroun Perancis, yang dilancarkan di Pool Side Hotel Pan Pacific oleh Tan Sri Abdullah Ahmad.

Menyingkap kembali sejarah Melaka, kita mungkin faham golongan mana yang tolong menjatuhkan dan meruntuhkan Kerajaan Melayu Melaka 500 tahun yang lalu. Sengaja dimuatkan tulisan ini untuk mengenal kembali seorang India Islam bernama NINA CHETU yang telah mengkhianati bangsa Melayu khasnya dan agama Islam amnya. Dialah yang telah memecahkan rahsia Melaka dan menjadi tali barut Portugis. Dia bersekongkol dengan musuh negara demi untuk mendapatkan sedikit kepentingan diri.

Maklumat-maklumat yang disampaikan kepada  Ruy D’Aranso, semasa Ruy berada di dalam penjara Sultan Mahmud, telah disampaikan kepada Alfonso D’Albuquerque, penakluk dan pemusnah Kerajaan Melayu Melaka.

Maklumat-maklumat yang disampaikan melalui surat, telah memudahkan kerja Albuquerque untuk menawan Melaka. Maka lingkuplah sebuah kerajaan yang dikenali sebagai Kerajaan Melayu.

Sebelum Nena Chetu, kita pernah juga mendengar nama Tun Ali dan Tun Mutahir. Mereka ini adalah Bendahara-bendahara Melaka keturunan India Islam yang mendapat pangkat tinggi hasil dari dakyah-dakyah serta fitnah-fitnah yang mereka taburkan, disamping mengambil kesempatan memperkayakan diri.

Mereka telah merebut segala peluang yang terluang dengan menggunakan kelemahan-kelemahan orang-orang Melayu Melaka yang rata-ratanya alpa. Mereka adalah golongan yang tamak dan penuh dengan sifat kehinaan.

Tun Ali menjadi Bendahara Melaka selepas kematian Bendahara Seiwak Raja, ayahanda Tun Perak dengan dakyah dan tektik kotornya menfitnah serta membusukkan nama orang lain, sehingga Tun Perak, pewaris sah, tersingkir dari gilirannya menjadi Bendahara Melaka.

Sultan Muzaffar Shah, Raja yang memerintah ketika itu, tidak senang dengan sikap dan sifat buaya darat Tun Ali dan mencari peluang untuk menyingkirkannya dan peluang itu tiba bila Tun Perak menunjukkan keperwiraannya dalam pelbagai bidang.

Tun Ali sedia memberi laluan kepada Tun Perak, dengan syarat, Sultan Muzaffar Shah bersetuju menyerahkan Permaisuri Baginda untuk diperisterikan oleh Tun Ali. Satu peras ugut yang paling hina dalam sejarah. Demikianlah seluruh bangsa Melayu di Melaka ketika itu terhina melalui aib dan ketidakupayaan Raja mereka yang merupakan lambang Ketuanan Melayu.

Kalaulah 500 tahun dahulu, di puncak keagungan  Kerajaan Melayu Melaka dengan sistem pemerintahan absolute monarchybegitu rendah dan menjijikkan sekali nilai takrif ketuanan Melayu, apakah kita masih mahu berbangga lagi dengan apa yang dikatakan Ketuanan Melayu masa kini, bilamana kuasa sudah diperkongsikan. Dari sejari ke sejengkal, dari seincin ke sehasta demi kesamarataan, demi pertolakansuran.

Tun Mutahir, India Islam, menjadi Bendahara Melaka selepas kematian Pengganti Tun Perak. Tun Puteh yang telah mati diracun oleh Tun Mutahir. Tun Mutahirlah yang menjadi petualang besar yang bertanggung jawab merosakkan Kerajaan Melayu Melaka.

Dengan sifat tamak yang amat haloba, gila pangkat, rasuah dan lain-lain, sifat keji  membawa kepada keruntuhan Melaka.

Dialah yang menerima kedatangan Portugis dengan rasminya, memberi peluang kepada penjajah itu untuk bertapak dan akhirnya dia dihukum mati oleh Sultan Mahmud kerana kerja-kerjanya itu. Tetapi Sultan tidak sempat memulihkan kerajaannya yang banyak rosak oleh petualang Tun Mutahir sehingga membawa kejatuhannya dalam tahun 1511.

Akibat malas membaca dan mencari ilmu maka orang Melayu menjadi mangsa dan diperbodohkan oleh para pemimpin yang menguasai pihak media massa. Apa media tulis semuanya semacam betul dan sahih. Begitujuga dengan respons kita terhadap pemimpin. Apa sahaja kata mereka, kita jadi Pak Angguk, manusia ‘Yes Men’.  Ada otak tak boleh pakai. Itulah manusia yang ada dalam masyarakat Khawarij dan merekalah manusia yang hidup dalam kerugian.

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh.”
(Al-Asr:1-2)

Itu dulu, itu orang Melayu sebelum Anwar Ibrahim kena pecat dari UMNO, belum kena tangkap, belum kena hukum tapi sesudah peristiwa kezaliman, kekejaman dan ketidak adilan yang dilakukan terhadap Awnar, semuanya berubah. Orang Melayu tidak lagi percaya pada media massa milik kerajaan. Mereka tolak berita yang terdapat dalam akhbar ‘mainstream’ berbahasa Melayu dan Inggeris. Dan mereka mula membaca, baca apa saja buku dan media massa yang ada unsur politik. Mereka sudah menjadi masyarakat yang cintakan bahan bacaan, tak kira sama ada buku, majalah, akhbar akhbar alternatif, ataupun media asing, internet atau apa apa saja termasuklah surat-surat layang yang ‘anti establishment’ dan memerangi Dr Mahathir sebagai musuh utama yang dikehendaki rakyat supaya berhenti dan meletakkan jawatan. Inilah yang akhirnya mengakibatkan Dr Mahathir berada di senjakala.

Hari ini ramai pemimpin politik sudah sedar bahawa akibat tak ada ilmu dan tak ada iman yang kukuh dan tidak pula beramal soleh maka ramailah di antara kita yang berani buat dosa dosa besar. Kita tengok ramai yang melakukannya terutama mereka yang ada authority, jadi kita pun ikut majoriti. Kenapa? Tapi bila mereka yang ada di atas sudah terperangkap di dalam sistem, sudah jem, mahu tak mahu mereka yang sudah sesat di hujung jalan terpaksa cari jalan lain untuk keluar dan nampaknya PAS ada jalan alternatif maka berlumba lumbalah mereka tumpang jalan PAS.


Kalau dulu ketua terjun masuk neraka jahanam, pengikut pun ikut sama. Ini macam babi yang terkena JE. Askar buat lubang besar besar, semua babi terjun masuk lubang. Lepas itu kena kambus, mampus. Tapi itu babi tak apalah. Kita manusia nii, kalau masuk dalam kena kambus, ada dua alam lagi yang mesti kena jawab. Jadi yang nak ikut babi yang ada JE, pasal apa?

Kesian.. dan jelaslah mereka ini bukanlah tergolong dalam orang orang beriman yang berkata, “Aku dengar dan aku taat perintah Allah,” sebab mereka taat dan takut perintah pemimpin yang berlagak macam Tuhan. Nauzubillah, pemimpin terpengaruh dengan berita fitnah dari mereka yang munafik. Tapi disebabkan mereka takutkan pemimpin, mereka pun ikut sama percaya. Ramai yang terpaksa menggadai prinsip mereka sedangkan mereka tahu berita yang dibawa oleh pemimpin itu belum tentu kebenarannya dan tidak ada bukti pun akan kesahihannya. Tapi demi untuk menyelamatkan kerusi politik, maka mahu tak mahu mereka yang berada di dalam ketakutan terpaksa mengiyakan perkara yang difitnah dan cerita yang dibawa. Mereka terpaksa membenarkan pendustaan dan pembohongan pemimpin. Maka mereka terpaksa menjual maruah, menjual prinsip mereka sama seperti perempuan yang melacurkan diri kerana kononnya kalau tak jual maruah, kalau tak jual diri, tak dapat rezeki.

Hendak hidup, hutang terlalu banyak, hidup penuh dengan pembaziran, macam ‘the rich and the famous’ mengikut cara hidup Presiden-presiden di Amerika. Nak jawab apa dengan Tuhan nanti?

Apakah kita telah kehilangan ‘conscience’ kita? Akibat dari tindak tanduk kita, maka orang yang tidak berdosa teraniaya begitu saja. Kasihan Anwar tapi bila rakyat bersimpati dengan Anwar kita semua gusar. Hendak buat macam-macam untuk membunuh, sesiapa saja yang bersimpati dengan Anwar Ibrahim jadi mangsa.

Maka sebab itulah kita dituntut untuk mencari ilmu dan memulakannya dengan membaca, IQRA’ - “Bacalah dengan nama Allah.”Janganlah asyik baca buku dan berita-berita yang kontroversi saja.

Bercakap pasal membaca dan mencari ilmu, mengikut pendapat Pusat Islam, kita rakyat Malaysia dari mazhab Ahlul Sunnah Wal Jamaah boleh dipermain mainkan oleh pengikut Syiah mazhab yang telah diiktiraf oleh Sheikh Azhar sebagai salah satu dari mazhab mazhab dalam Islam. Ini disebabkan alim ulama kita di Malaysia yang kononnya mengaku bermazhab Shafie, jahil dari segi ilmu dan kurang membaca kitab. Kalau pun mereka belajar dan membaca ketika menuntut di universiti, itu pun sekadar untuk lulus peperiksaan. Bab bab agama yang dipelajari sekadar fakta akademik sahaja. Bila keluar universiti dan pegang jawatan, mereka lebih banyak menghukum dari mendidik dan membimbing masyarakat yang sepatutnya menjadi tanggung jawab mereka. Hamid Othman dan General pencen di sana itu, buat apa? Apakah mereka ambil tahu mengenai Mazhab Shafie dan mengkaji secara mendalam tentang mazhab-mazhab yang lain? Bila orang kata kita bodoh, bengap, bongok, tahu pula marah. Tetapi itulah hakikatnya.

Sebab itu lah bila berdepan dengan krisis, bila berdepan dengan masalah agama, mereka terpaksa gunakan ISA, khidmat pasukan polis dan askar. Mereka gunakan kekerasan seperti apa yang telah mereka lakukan terhadap al Arqam.

Kasihan Pak Habib tengok, yang kena hentam dan dapat nama buruk, Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan pimpinannya juga. Ada menteri yang pandainya mengampu dan mengiyakan boss saja. Boss dan seluruh sistemnya yang dibawanya kini berada di ambang senja. Bila sudah  berada dalam keadaan bergelap, nanti nak buat apa?

Bayangkan sampai terpaksa panggil ‘ulama import’ dari luar. Sheikul Azhar supaya datang hanya untuk menjelaskan pengertian ‘murtad’, sedangkan kerajaan sendiri sibuk berkempen dan mengajak rakyat Malaysia supaya membeli barangan buatan tempatan.

Padahal bukan kita tidak ada siswazah-siswazah, para cerdik pandai dan para ulama yang menuntut dan membawa pulang ijazah dari universiti Islam tertua di dunia, Al Azhar? Antara mereka termasuklah Dato Wan Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, tapi takkan lah kerana nak menyampaikan mesej Al-Quran mengenai isu ‘murtad’, kita terpaksa mengimport seorang sheikh dari Al Azhar. Sedangkan negara kita pun sudah ada sebuah universiti Islam bertaraf antarabangsa, yang menjadi tumpuan pelajar-pelajar asing. Kalau nak diikutkan isu murtad itu bukanlah isu sangat, saja nak diperbesar-besarkan. Ini berbeza dengan fenomena ‘kafir mengkafir’ dan ‘fitnah memfitnah' yang melanda politik negara akhir-akhir ini.

Alangkah sedihnya apabila melihat manusia yang kulitnya sahaja Islam, sedangkan akidah dan hatinya masih berada dalam kekufuran.

Rakyat Malaysia yang beragama Islam sudah mula rasa tentu ada sesuatu yang tak kena di Pusat Islam dan di JAKIM. Maka rakyat sudah tidak percaya lagi pada ulama kerajaan. Itulah silapnya bila ahli ahli agama mesti tunduk pada kata-kata ‘Tuankau’ dan tak berani melaksanakan hukum-hukum Tuhan. Alahai Mahathir, sabar ajelah! Maka itulah juga sebabnya PAS yang lemah, tiba-tiba menjadi begitu kuat sekali. Ini kerana Biro Agama Islam tidak berfungsi. Orang pertama yang patut diberhentikan ialah Cikgu A. Kadir, EXCO Agama Kerajaan Negeri Johor kerana telah banyak melakukan kerja-kerja karut dan mencari kebencian orang ramai.

Bayangkan apa akan jadi pada bangsa dan negara apabila para intelek dan alim ulama, mufti dan imam Cuma baca dua buah buku setahun. Apakah mereka layak digelar ahli agama apabila minda mereka tertutup? Keputusan yang diambil ialah menolak kebenaran menggunakan kekerasan demi mempertahankan ego.

Ulama bukan saja mesti membaca tetapi perlu mengembara. Dengan itu barulah mereka layak diberi gelaran ulama mujtahid seperti yang dianjurkan oleh Al Quran agar kita dapat mengambil pengajaran dan fikirkan akan tanda tanda kebesaran Allah SWT di muka bumi ini.

Di sinilah terletak kepincangannya bila tidak ada imbangan ilmu antara ‘umara’ dan ‘ulama’. Hari ini Raja bukan umara tetapi Perdana Menteri dan Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri-lah yang menjadi umara. Raja itu tidak lebih dari simbol.

Dr Mahathir adalah seorang yang gemar membaca. Dia membaca beribu-ribu buah buku dan mempunyai  pengalaman yang luas sepanjang mengembara ke sana ke mari. Itu sebab pemikiran Mahathir lebih terbuka. The one-eyes-Jack is King.

Sayangnya, mereka yang mengaku diri sebagai alim ulama masih duduk macam katak bawah tempurung, tapi ada hati nak mengajar orang. Macam mana kita nak mengajar kalau kita tak ada ilmu? Macam mana kita nak membuktikan sesuatu kalau kita tak ada pengalaman?

Cuba kita tanya,  berapa ramai para ulama yang bercakap melalui pengalaman - ‘speaking through experience’? Yang pergi ke Dataran Merdeka, yang masuk dangdut dan disko, yang merayau rayau di Bukit Bintang atau Jalan Tuanku Abdul Rahman selepas 10 malam atau yang menyaksikan sendiri masalah-masalah sosial yang berlaku dengan mata kepala sendiri? Berapa ramai ulama yang baca majalah muda-mudi atau novel-novel remaja untuk memahami jiwa remaja? Berapa ramai ulama yang baca buku-buku politik dan sejarah untuk mendalami senario politik dan sejarah tanah air?

Dan berapa ramai pula ulama yang mempelajari ilmu teknologi maklumat (IT) untuk dimanafaatkan dalam usahanya menyampaikan ilmu? Setakat beli komputer untuk anak-anak main game saja, tak gunalah.


Hari ini, kita sudah tak boleh gunakan kaedah lama untuk menyampaikan ilmu. Kita kena ikut peredaran zaman. Sekarang ini budak kecil pun dah pandai pakai komputer, guna internet. Maka apa salahnya kita gunakan pendekatan yang sama untuk menyampaikan ilmu. Kita sekarang berada di dalam zaman cyber, zaman langit terbuka,  zaman IT. Maka kalau ulama-ulama kita tak tahu atau tidak mahu menggunakan teknologi-teknologi canggih seperti ini, nampak gayanya tinggallah mereka di belakang, ucap assalamualaikum saja pada mereka.

Kalau kita sendiri tak pernah merasai pengalaman sebegini, macam mana kita hendak menegur memberi pandangan dan menjelaskan kepada generasi muda tentang  punca, implikasi dan penawar kepada kerosakan akhlak dan moral, sila ke University of Life di Wadi Hussien untuk berkongsi ilmu.

Kita tidak boleh marah Dr Mahathir bila dia mengkritik Persatuan Ulama yang menerima sesiapa saja yang menjadi ahli, boleh mengaku sebagai ulama. Dan kalau Mahathir pula yang bertanya, bagaimana kalau PersatuanDoktor Perubatan pun berbuat demikian, masuk saja jadi ahli, sudah boleh jadi doktor.Bayangkan apa jadi pada pesakit. Itulah sebabnya kenapa Mahathir tak dapat terima Mat Sabu atau Mustapha Ali sebagai ulama. Dan sehingga ke hari ini, Mahathir tidak dapat menerima pelaksanaan hukum-hukum hudud kerana pada  pendapatnya, ulama-ulama di Malaysia tidak memiliki credibility, intergrity, proper judgment dan uniformity untuk melaksnakan hukum hudud dengan adil lagi saksama.

Dan kita jangan terkejut bila adanya otak-otak ulama yang Mahathir simpan dalam koceknya dan boleh dibuang jika dia tidak mahu lagi. Tak macam otak Daim dan Rafidah yang disimpan dalam bank.

Kita boleh terima hujah Dr Mahathir itu, tapi apakah mereka yang Mahathir pilih sebagai ulama boleh diterima? Begitu juga dengan ahli-ahli politik yang ditunjukkan oleh Dr Mahathir, apakah rakyat boleh menerima mereka? Tetapi kerana Mahathir  - MAHA THIR, Mahathir Boleh, maka semuanya boleh. Yang tak boleh cuma rakyat sahaja. Tak boleh bercakap, tak boleh menegur. Jadi apa yang boleh? Kalau bab tepuk tangan bila Mahathir berucap, itu boleh. Bila ada pemimpin ketawa mereka pun ramai-ramai turut ketawa sama - ketawa orang politik, siapa yang ketawakan siapa? Itu sendiri tanya, sendiri jawablah.

Dalam ucapan penutupan di Persidangan Agung UMNO 1999, Mahathir telah mengutuk ulama. Para perwakilan yang duduk di dalam bertepuk gemuruh. Mahathir kutuk Saudara Anwar yang sebelum ini ramai yang menganggap beliau sebagai ulama dan para perwakilan yang berada di dalam dewan bersorak-sorai. Macam macam lagi Mahathir cakap yang dapat ditakrifkan oleh orang Melayu sebagai perbuatan menghina. Malah Anwar pun sudah saman Mahathir kerana menghina mahkamah.

Sementara mereka yang berada di dalam Dewan Merdeka bergelak ketawa dengan penjelasan penjelasan yang Mahathir berikan, macam mana pula dengan mereka yang menjadi pemerhati di luar dewan, di persekitaran bangunan PWTC atau di mana mana sahaja? Apakah mereka turut gelak ketawa dan bersorak-sorai atau sebaliknya mereka mentertawakan Mahathir dan mereka yang berada di dalam dewan? Ha ha ha ha. Those who laugh last, laugh the loudest.

Kepada mereka yang menjadi perwakilan dan mereka yang tergolong dalam masyarakat Yes Men, Pak Habib cuma nak ingatkan, ‘Janganlah menang sorak, kampung yang tergadai.’Isu pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sudah cukup memberi tamparan yang hebat terhadap maruah orang Melayu.

Tindakan Mahathir mendedahkan senarai kroni kroni Anwar itu memang bagus . Setidak tidaknya rakyat dapat lihat bagaimana pemimpin menggunakan kuasa melalui jawatan yang dipegang oleh mereka untuk political mileage masingimasing. Tapi apakah motif tindakan ini sebenarnya? Apakah Mahathir mahu save his own faceApakah Mahathir tidak mempunyai kroni-kroninya sendiri atau wakil-wakil rakyat yang perlu dijaga untuk memastikan dia sentiasa mendapat sokongan? Dan kenapa tak dedahkan sekali saham-saham yang diterima oleh mereka-mereka ini? Pak Habib bimbang takut silap-silap haribulan, ‘Menepuk air di dulang terpecik muka sendiri.’ Apakah tidak ada cara lain lagi untuk menarik minat dan sokongan orang orang UMNO terhadap kepimpinan Dr Mahathir?

Hanya Allah SWT sahaja yang boleh mengembalikan ketenangan dan kedamaian kepada manusia. Allah SWT jualah yang memberi kenikmatan kepada hamba hambaNya. Allah akan sentiasa menghulur bantuan kepada hamba hambaNya. Jadi Mahathir kenalah berhati-hati dan beringat kerana bila ketakutan rakyat mula memuncak, mereka tidak akan teragak agak untuk berdoa dan meminta bantuan dari Allah SWT supaya menunjukkan mereka kebenarannya. Kalau betul Mahathir berada di tempat yang benar, dia akan sentiasa dilindungi oleh Allah SWT. Tetapi bagaimana kalau dia yang tak betul?

Apa pun keadaannya yang paling penting sekarang kita semua perlu menyedarkan diri kita terlebih dahulu dari buaian mimpi dan dari terus terlena.  Rakyat sudah mulai sedar bahawa politik kuasa dan media massa tak boleh tolong. Malah mereka yang  dulunya dianggap kawan pun dah lari dan angkat kaki main jauh jauh. Dan mulalah mereka merasa sunyi dan takut.

Oleh itu marilah kita mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat (hablunminannas) ada duit tolonglah orang miskin, orang susah. Hulurlah, gugurlah. Jangan semua benda nak telan seorang sahaja. Kalau pemimpin jadi jerung, pengikut jadi bilis, maka inilah masanya jerung nak “ngap” bilis habis-habisan. Sekali jerung buka mulut, semua bilis jadi korban.

“Jika kamu dalam keadaan takut (bahaya) maka bersolatlah kamu sambil berjalan atau berkenderaan.”
(Al-Baqarah:239)

Dengan mengambil iktibar ini, Pak Habib mengharapkan agar isi kandungan buku ini menepati perintah amar makruf dan nahi mungkar yang dianjurkan agama Islam. Segala sesuatu yang baik itu adalah daripada Allah dan segala kekurangan adalah kelemahan kita.

Marilah kita perbaiki segala kekurangan kita dengan menambah ilmu pengetahuan tentang bagaimana untuk menghadapi kegawatan dan menghadapi bahaya bahaya besar dari musuh-musuh besar yang hendak membinasakan agama, bangsa dan negara kita, baik dari dalam mahupun dari luar negara, dari kalangan musuh yang kita kenal mahupun yang kita tidak kenal,  dengan meminta petunjuk dan bantuan dari Allah SWT. Terutama musuh utama yang ada di dalam diri kita sendiri – nafsu. Nafsu yang tak pernah kenal erti kepuasan.

Selama ini Pak Habib memang memperjuangkan yang hak, mengajak manusia terutama pemimpin kepada perintah amar makruf dan nahi mungkar tetapi disebabkan masih ada sesuatu yang kurang pada diri sebagai seorang manusia biasa yang kurang berilmu tetapi tetap mahu menyampaikan amanah, maka ada di kalangan mereka yang membacanya gagal untuk mengubah sesuatu yang disarankan.

Mungkin juga disebabkan ramai yang beranggapan cara Pak Habib menulis bertentangan dengan agama Islam kerana bahasa yang kasar dan keras, maka sebab itu Pak Habib cuba bermohon ampun dari Allah, dengan ini mudah mudahan sesiapa saja yang membaca buku ini akan mendapat taufik dan hidayat dari Nya.

Dan marilah kita menyusun semula agenda dan keutamaan kita dengan membetulkan cara kita berfikir, menjadikan diri kita manusia yang baik kerana kita adalah sebaik baik makhluk yang dicipta oleh Allah SWT memberhentikan segala pertelingkahan, mendidik diri supaya menjadi manusia yang berfikiran terbuka, bersikap  lebih banyak memberi daripada meminta, berlajar bersyukur terhadap apa yang ada, hentikan sifat tamak dan perangai bakhil. Sikap yang dibenci oleh Allah SWT. Loving, giving, caring, sharing and forgiving adalah motto Al-Attas University of Life.

Bila lagi mereka yang bakhil ini yang menjadi musuh Allah SWT mahu digantikan dengan sifat penyayang, pengasih, bertimbang rasa, beranggapan baik ‘husnuzan’ dan sebagainya serta sentiasa mengorak senyum. Ini kerana senyuman itu satu ibadah. Tukarlah muka bengis yang menakutkan dengan muka manis.

Mudah-mudahan dengan perubahan sikap dan penyusunan semula agenda ini, Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lepas dan menyelamatkan bangsa dan negara kita dari bala bencana dan sekaligus mengembalikan kedamaian dan kemakmuran kepada negara Malaysia serta rakyatnya.

“Ya Allah! Hidupkanlah diri kami dengan keindahan Al Quran, muliakan kami dengan kemuliaan Al Quran dan serikanlah kami dengan ketinggian martabat Al Quran dan pakaikan dengan pakaian permata Al Quran, masukkan kami ke dalam syurga dengan syufaat Al Quran, selamatkan lah kami dari segala bencana dunia dan azab hari akhirat dengan berkait kehormatan Al Quran.”

Marilah kita bersatu menjadi seperti anak sungai menuju ke laut. Di sana kita pasti akan bersatu dengan fikiran yang betul. Kalau pun tidak dapat memperbaiki ekonomi kita, tetapi dalam waktu yang sama kita juga harus memperbaiki dalaman kita yang boleh memberikan kita kekuatan untuk bertahan dengan apa saja ujian yang datang pada kita semua di masa masa akan datang. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kita tidak mampu untuk berpecah dalam keadaan krisis yang kritikal ini terutamanya kita orang Melayu.

Kita lupakan mereka yang mengaku beragama sekadar memakai topeng-topeng agama. Kita ketepikan mereka yang pepat di luar, runcing di dalam, di mulut kata percaya dengan ajaran yang dibawa agama sedangkan di hati lain bicara. Kita pisahkan manusia manusia munafik dan hipokrit dari golongan kita. Kita perangi mereka sebagai musuh kita kerana orang-orang munafik dan hipokrit inilah yang menimbulkan huru-hara. Tetapi janganlah kita memusuhi mereka secara peribadi. Kita ajak mereka bertaubat. Kita lakukan satu taubattul nasuha di seluruh negara. Kita ajak semua orang berkasih sayang.

Kita perlu dedahkan siapa petualang dan pengkhianat bangsa ini, dari kita sibuk menyalahkan kuasa kuasa luar, kuasa asing, sedangkan perbuatan dan tingkah laku kita, lebih asing daripada orang asing. Kita terlupa pada orang yang telah menganggap kita ini sebagai ‘alien’. – nak kata Melayu tak Melayu, nak kata Islam tak Islam, nak kata hantu pun tanduk di kepala tak nampak. “Nang bo ti nang, qui bo ti qui,” olang tak selupa olang, babi sudah ale J.E.Jantan tak serupa jantan, betina pun tak serupa betina. Ada rambut belum tentu rambutan, ada duri belum tentu durian. Tapi hakikatnya, itulah dia landak di hutan. Dan ada juga pemimpin yang serupa macam ini.

Mari kita dedahkan kerana memang dalam dunia ini ada tiga jenis manusia. Satu yang macam Qabil, suka membuat kerosakan, pembunuhan  dan kerja-kerja yang mungkar. Mereka bersahabat dan bersubahat dengan syaitan; satu lagi mereka yang melihat kerosakan dan semua jenis kemungkaran berlaku di hadapan mata, mereka cuma sedih, menangis dan susah hati tapi tak buat apa apa; dan yang ketiga segelintir manusia yang ada perasaan kasih yang didalam diri mereka dan sentiasa menyeru manusia agar berbuat baik dan mencegah kemungkaran. Jenis inilah yang ketandusan dalam masyarakat kita hari ini.

Akhir sekali mari kita cermin muka kita. Kita buka topeng kita dan kita lihat siapakah kita yang sebenarnya. Apakah kita hantu di ambang senja ataupun manusia di siang hari? Atau pemimpin di ambang maut? Takbir! Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.

(Di petik dari buku Mahathir Di Ambang Senja, 1999)

No comments:

Post a Comment

A Closer Look.

Translate