"Pagi tadi aku sempat singgah ke Wadi Hussein Janda Baik menghadiri bengkel penulisan yang dianjurkan Pak Habib aka Syed Hussein Al-Attas dan ALXS University Of Life.Aku
tiba agak lewat sedikit dari peserta lain yang memulakan sessi jam 9:00
pagi kerana beberapa perkara yang terpaksa aku selesaikan dahulu tapi
sempat menjamah makan tengahari.
Banyak pengalaman dan ilmu penulisan yang dikongsikan Pak Habib dengan peserta termasuk dari seorang penulis wanita yang telah menghasilkan 40 buah buku(aku pastikan namanya kemudian) yang turut hadhir tanpa dirancang dan seorang Professor Fizik/Metafizik Melayu Pertama yang pernah bersama University Malaya(namanya juga akan nyatakan kemudian),Petronas dan pernah menjadi penasihat Kerajaan Malaysia dalam bidang strategik dan keselamatan.
Bengkel tamat menjelang waktu maghrib dan amat berguna untuk mereka mereka yang berminat untuk menceburi bidang penulisan buku."
Gambar diambil dari Aku Peduli Apa@APA
Ada orang bertanya, Pak Habib kata nak buat Universiti of Life,
mana dia universiti itu, tak nampak pun, dah lama tunggu tapi Universiti of
Life tak nampak pun?
Bertolak
dari soalan seperti itu yang adakalanya berbau cemuhan, telah mendesak diri
saya untuk menulis, bukan bertujuan untuk menjawab tetapi mahu membuat
penjelasan. Kita percaya sesuatu cemuhan, pertelagahan dan kecelaruan itu
muncul sama ada secara depan depan atau secara berbisik di antara telinga
adalah disebabkan seseorang itu berada dalam keadaan tidak jelas. Apabila tidak
jelas maka tentu ramai yang tertanya dan mungkin membuat pelbagai persepsi.
Antara
persepsi yang berlegar dalam pemikiran masyarakat masakini ialah sesebuah
Universiti itu adalah satu kawasan
puluhan hektar dan bangunan berpuluh blok yang dikepalai Canselor, ditadbir
oleh dekan, dan ilmu-ilmu pula dijana oleh para pensyarah dan professor, atau
pun, jika universiti bertaraf swasta pula, paling tidak pun dua tiga blok
bangunan serta sebarisan pensyarah. Jadi, di manakah letaknya bangunan
universiti of life itu?
Persepsi
ini memang betul, tetapi sebelum saya menjawab di manakah letaknya University
of Life itu, saya rasa adalah lebih baik saya huraikan dulu, apakah definisi
makna sebenarnya universiti itu?
Universiti
ialah sekumpulan cendiakawan, bijak pandai, para ilmuan yang berhimpun. Dari
himpunan itu maka terhasil ilmu. Atau secara mudahnya bermakna, “Sekumpulan
ilmuan atau insan-insan ilmiah yang menyelenggarakan program pendidikan.”
Inilah makna sebenarnya ‘universiti’.
Universiti
pertama di dunia ialah Universiti Bologna di Itali. Universiti pertama itu
wujud secara spontan pada tahun 1088 apabila para ilmuan barat berhimpun
mengajar ilmu undang undang dan di situ undang-undang Roman digubal.
Tertubuhnya universiti pertama itu disebabkan keadaan dunia pada
masa itu tidak ditadbir urus mengikut undang-undang. Maka wujud keperluan untuk
mengundang-undangkan dunia, menyebabkan sekumpulan para ilmuan berhimpun untuk
mengajar cara cara mentadbir dunia kepada masyarakat. Dari situ, undang-undang
dunia pun mula tersebar dan negara negara di dunia mula teratur.
Kini,
setelah 925 tahun berlalu, semenjak
universiti pertama itu sehingga sekarang, sudah ada puluhan ribu universiti
yang mengajar ilmu-ilmu dunia. Hasil dari tertubuhnya universiti juga, tamadun
manusia berkembang maju ekoran tersebarnya ilmu-ilmu dunia.
Sungguh
pun ribuan universiti telah tersergam dan akan ditubuhkan lagi pada masa
mendatang, Pak Habib rasa ilmu ilmu duniawi ini hanya membuatkan manusia
tersiap diri dalam merentasi dunia sahaja. Sedangkan matlamat manusia ini hidup
ini bukan sekadar di dunia sahaja. Dan semakin dunia bertambah usianya,
ilmu-ilmu dunia tidak mampu menyelesai masalah kerohanian manusia.
Maka
sebab itu lah Pak Habib terpanggil untuk menukarkan tamannya yang sudah
dikenali sebagai taman tercantik ini untuk dijadikan ‘pengkalan ilmu
kehidupan’. Guna untuk menyeimbangi kehidupan manusia yang kelihatan semakin
senget dan rebah. Sebab Pak Habib percaya kehidupan ada lah untuk menemukan dan
menyampaikan kebenaran tentang hidup rohani dan jasmani.
Taman
Pak Habib yang juga dikenali sebagai Wadi Hussein ini, jika didagangkan sebagai
tempat singgahan hujung minggu sahaja sudah boleh menjana pendapatan. Tetapi
Pak Habib sanggup menjadikan tempat ini sebagai garis mula bagi Universiti of
Life walaupun masih samar samar margin keuntungan Inilah perngorbanan jariah Pak Habib untuk
kita.
Taman
Hana Wadi Hussein ini bukan terbina secara mendadak atau sekelip mata, ia
bermula dengan pinggiran hutan tebal di kaki bukit banjaran Titiwangsa. Melihat
keadaan asal hutan itu dan melihatkan lanskapnya yang ada sekarang ini, tentu
seseorang itu berasa tidak percaya ia diusaha sendiri oleh Pak Habib secara
seorang diri, hari demi hari, minggu demi minggu, tahun demi tahun tanpa ada
sebarang bantuan dari sesiapa, sehingga kini tidak kurang tiga puluh tahun
lebih jangkauan masa itu. Malah kaum keluarga Pak Habib sendiri, seperti anak
anaknya juga tidak membantu untuk menerokainya.
Pak
Habib membina Taman Hana Wadi Hussein ini secara seorang diri dari segi wang
ringgit, duit koceknya sendiri yang mendana segala pembelian pokok bunga,
benih, baja, pembinaan rumah, chalet dan segala prasarana yang ada. Proses
pembinaan ini sudah tentulah berperingkat peringkat dan mengambil masa. Susun
atur taman, pemilihan flora dan fauna serta lanskap, senibina rumah, semuanya
dikendali oleh Pak Habib. Dalam istilah Inggeris, ia dibuat secara ‘single
handedly’.
Kini,
kita datang menikmati rahmatnya.
Saya
tahu peristiwa itu kerana saya menyaksikannya di hadapan mata saya melalui
rentasan masa rentasan masa dan. Bukan dikutip dari mulut mulut insan lain atau
dari rakaman penulisan orang.
University
of life adalah sebuah tempat berhimpunnya para ilmuan yang membicarakan tentang
permasalahan hidup masa kini.
Barat
mendakwa Bologna University merupakan universiti pertama di dunia, wujud kerana
menyebar undang undang dunia. Tetapi undang undang di Rom tidak boleh
digunapakai di tempat lain, jangan kan kita yang jauh ribuan batu jaraknya dari
Itali, malah negara jiran tetangganya pun menggubal undang undang sendiri.
Sebenarnya
dari segi faktual, Nabi Muhammad SAW adalah pengasas universiti pertama, kerana
Nabi Muhammad SAW yang menyebarkan ilmu dunia dan akhirat kepada manusia
sejagat untuk digunapakai oleh semua bangsa di dunia. Ajaran Nabi SAW bermula
dari Mekkah itu telah berjaya menghasilkan himpunan para ilmuan Islam semenjak
1434 tahun dahulu. Bukankah himpunan para ilmuan itu adalah universiti?
Kesinambungan
dari situ, menyedarkan Pak Habib berasa perlu dan terpanggil menubuhkan
University of Life.
Makna
universiti kehidupan itu bertaburan di muka bumi ini, bertabur makna di sekitar
kita. Tetapi adakah kita mampu mengambilnya?
Universiti
of Life secara kerohaniannya ia sangat penting dan sangat diambilkira
keperluannya. Maka tanpa menunggu lagi, Pak Habib mulakan juga University of
Life sebagai projek rintisan (pilot project).
Sebenarnya
universiti kehidupan ini ada di mana-mana, dan kebahagiaan hidup juga ada di
mana-mana, kerana kebaikan dan rahmat Tuhan itu juga ada di mana-mana. Tetapi
di University of Life ini kita mula menyedarkan manusia tentang keberadaan
rahmat Allah itu semua, sekaligus mencari pintu untuk sampai kepadanya.
Kita
sedarkan manusia bahawa dunia ini, Tuhan sebagai Chanselornya, Nabi dan Rasul
adalah pensyarahnya. Al Quran adalah silibusnya. Mekkah adalah pusat universiti
kehidupan manusia.
Pak
Habib adalah satu tenaga yang mendukung.
Kelas University of Life ialah kelas tentang sharing, caring, giving,
loving, forgiving.
(saling
berkongsi,saling ambil tahu,saling beri memberi, saling sayang menyayangi,
saling maaf memaafi)
Mengapa
saya ikut Pak Habib?
Sebelum
terlibat sama dalam Al-Attas University of Life, sebagaimana orang-orang
lain, saya juga memasuki universiti yang formal. Saya mempelajari subjek
ekonomi, pensyarah saya mengajar ilmu ekonomi dengan begitu hebat sekali dan
dia berjaya menghasil ahli ekonomi
handal. Begitu juga dengan pensyarah subjek pengurusan perniagaan, dia
juga telah mendidik dan menghasilkan ramai ahli perniagaan yang berjaya.
Pensyarah pensyarah subjek subjek lain pun begitu juga.
Namun,
tahun demi tahun, para pensyarah saya, juga pensyarah di universiti lain, masih
bersyarah dengan subjek khususnya. Sedangkan anak didiknya sudah berjaya, sudah
kaya. Pensyarah masih berlegar di dunia syarahannya. Mereka tidak keluar dari
kepompong pendidikan kerana mereka adalah pendidik secara teori sahaja. Jika
disuruh buka perniagaan, mereka mungkin tidak berjaya. Mereka hanya memberitahu
teori dan pelajar-pelajar yang dididik itu mengamalnya dan pelajar pula yang
benar benar berjaya. Itu pengamatan saya di universiti formal.
Berlainan
sekali, apabila Pak Habib mengatakan dia mahu menubuhkan Universiti of Life dan
saya bertanyakan apakah yang akan diajar di universiti itu. Saya berasa amat
terpanggil dan yakin untuk turut serta kerana Pak Habib bukan bercakap secara
teori tentang sharing, caring, giving, loving, forgiving. Sebaliknya dia
sendiri sudah melaluinya dan yang paling saya yakini sekali apabila saya dapati
Pak Habib juga mengamalkan apa yang dia ajari.
Secara
mudah dan ringkas, dia mengajar, memberitahu, berpesan dan mengingatkan kita
akan amalan dan perkara perkara yang dia sendiri amalkan. Dia bukan pensyarah
teori.
Bagaimana
saya tahu Pak Habib mengamalkan apa yang dia ajar?
Saya
mengenali Pak Habib semenjak tahun 80an, ketika saya mula habis pendidikan
diploma lagi saya sudah bersahabat dengan beliau. Melalui seorang kawan
saya bernama Haroun Perancis. Dia lah
orang yang memperkenalkan Pak Habib kepada saya. Sejak itu saya bersahabat
dengan Pak Habib. Pergaulan saya juga mengalami turun naik, ada masa saya
terlalu rapat dengan Pak Habib, mengekorinya ke mana saja dia berurusan selama
berbulan bulan dan kemudian saya berenggang dengan beliau untuk beberapa tahun
namun perhubungan silaturrahim tetap akrab.
Selama
puluhan tahun saya berkawan dengan Pak Habib, saya sendiri menyaksikan
bagaimana sikap dan amalan hidup beliau. Memang apa yang dia cakap, dia buat.
Itu asas personaliti Pak Habib. Maknanya jika dia mengajar kita tentang loving,
caring, sharing, giving, dan forgiving. Memang itulah amalannya. CAKAP
SERUPA BIKIN.
Berapa
ramai kawan kawan yang telah menipunya, termasuk saya. Berapa ramai kawan yang
telah mencemuhnya, yang telah mengambil kesempatan ke atas dirinya. Pak Habib
tetap begitu juga, dia tidak mahu membalas dendam, malah dengan senyumandia
tetap menerima semula kawan kawan yang menipunya dan itulah yang saya alami
secara peribadi dengan beliau. Pak Habib tetap menerima sesiapa sahaja yang
ingin menerimanya. Tiada dendam, tiada sakit hati, tiada marah, malah dia terus
memberi dan berkongsi kepada sesiapa, walaupun orang itu pernah menjadi
musuhnya pada satu waktu.
Sebagai
sahabat yang mengenali dan bercampr gaul dengan Pak Habib selama 30 tahun
lebih, saya kenal orang orang yang pernah memusuhinya, saya kenal dengan orang
orang yang pernah mengambil kesempatan ke atasnya, saya kenal dengan orang
orang yang Pak Habib pernah tolong.
Antara
sikap yang saya tidak senangi pada awal persahabatan saya dengan beliau ialah
tentang WAKTU ATAU MASA. Sekiranya kita berjanji dengan beliau dan kita
terlambat untuk datang sebagaimana masa yang dijanjikan, Pak Habib akan
melenting marah. Bukan sikit-sikit marahnya.
Saya
yang membesar dengan budaya janji Melayu, iaitu semasa berjanji akan mengambil
sikap sambil lewa, sering melambat lambat dan mengambil mudah dengan waktu,
pada mulanya berasa terkejut juga dengan
sikap Pak Habib yang terlalu marah jika terlambat. Sikap menepati masa inilah
yang adakalanya saya berasa agak rimas, tetapi saya tahu sikap menepati masa
sepertimana yang dijanjikan itu adalah amat penting dalam hidup. Lama kelamaan
saya mula memahami kepentingan tersebut. Sekiranya saya tidak dapat datang pada
masa yang dijanjikan kerana sebab sebab tertentu saya akan cepat cepat
memberitahu beliau tentang kelewatan tersebut. Sebab Pak Habib tidak akan
berkompromi dengan waktu yang dijanjikan. Menepati masa yang dijanjikan ini
bukan saja berurusan dengan saya, malah dengan sesiapa saja, beliau tetap
memegang prinsip yang sama. Baik dengan kawan kawan mahu pun dengan anak anak
beliau. Banyak peristiwa di hadapan mata saya sendiri, Pak Habib meninggalkan
sesuatu tempat pertemuan, kerana pihak yang berjanji itu datang lambat.
Sikap
Pak Habib yang terlalu berkira dengan masa itu memang sesuai dijadikan teladan,
setiap manusia dan ummat Islam khasnya wajib menguruskan dan menggunakan masa
dengan cara yang paling optimum lagi berkesan. Banyak ayat-ayat dalam Al-Quran
yang menggesa umat Islam mengguna masa dengan betul.
“Demi
masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali
orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati
supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran.”
(Al-Asr:1-3)
Masa
adalah harta manusia yang cukup berharga. Orang yang membuang masa dengan
percuma sebenarnya menganiaya dirinya sendiri.
Satu
lagi prinsip yang saya rasa perlu saya beritahu di sini, Pak Habib seorang yang
perfectionist. Jika dia melakukan sesuatu, khususnya dalam bidang penulisan,
dia mahu hasil yang terbaik. Bukan kerja yang melepaskan batuk di tangga
sahaja. Jika sesuatu kerja itu dibuat, beliau mahu satu penghasilan yang paling
terbaik, setelah diolah berulang ulang kali. Kadang kala sikap terlalu
mengharap yang terbaik ini menimbulkan rasa bosan, namun Pak Habib tetap dengan
cara kerja nya itu. Apa juga kerja yang dia mahu kita lakukan, dia mahu ‘result’
dan bukan alasan. Budaya kerja sebegini harus ada kepada kita semua jika
mahukan kejayaan dalam apa jua bidang kita buat. Tetapi ramai orang yang
mungkin berasa kekok dan tidak selesa dengan budaya kerja seperti itu.
Ketika
menyiapkan sesuatu penulisan, walaupun penulisan itu sudah dianggap bagus dan
memuaskan, Pak Habib masih berasa tidak puas, dia akan membaca berulang kali,
lagi dan lagi. Setelah dia benar benar berpuas hati, barulah dia berhenti.
Budaya
menghormati masa dan fokus dalam melakukan sesuatu pekerjaan itu satu budaya
yang patut kita ambil bukan saja sebagai iktibar tetapi kita harus terapkan
dalam perbuatan kita sehari harian.
Dari
Pak Habib lah saya belajar bagaimana menyukai pekerjaan yang saya lakukan. Semua orang akan berasa terbeban dengan tugas
yang diberikan sehingga hasil kerja tidak maksima. Sebaliknya, bila seseorang
mengerjakan sesuatu yang disenangi dan disukai tentu kerja itu akan terasa
menyenangkan, waktu terasa singkat, dan kita mempunyai semangat untuk
mengerjakannya.
Sebab
itu apabila dia mengatakan dia mahu menubuhkan universiti of life berpandukan
lima asas tersebut , saya percaya dia berjaya. Kerana Pak Habib itu adalah
sebuah University of Life yang bergerak. Konsep sharing, caring,
giving, loving, forgiving itu dibawa ke mana-mana sahaja dia pergi. Di mana ada
Pak Habib disitulah Universiti of Life miliknya.
Teringat
saya pada satu kisah, ketika Professor Di Raja Engku Aziz mahu melamar
isterinya, Puan Azah Aziz, pada mulanya lamaran itu cuba dielak. Lalu Azah Aziz
memberi alasan, dia belum bersedia untuk berumahtangga kerana ingin melanjutkan
pelajaran ke universiti. Professor Engku Aziz menjawab, “awak tidak perlu
masuk universiti, awak berkahwin dengan saya, sama seperti awak berkahwin
dengan sebuah universiti.”
Kini,
Pak Habib di usia 70an, saya menjadi akrab semula dengan beliau kerana saya
mahu mengutip semula pengajaran-pengajaran hidup yang masih banyak lagi belum
saya pelajari. Dengan menjadi akrab dengan Pak Habib, saya sebenarnya sentiasa
berada di samping sebuah Universiti Kehidupan.
Membaca
pengamatan saya terhadap Pak Habib yang saya tulis ini, mungkin ia bergaya
keterlaluan menyanjungnya. Saya menulis dengan ikhlas tanpa sebarang motif.
Inilah sifat dan sikap Syed Hussein Al Attas dari sudut mata saya yang
terkumpul puluhan tahun itu.
Personaliti
personaliti seperti Professor Engku Aziz, Pak Habib, Professor Syed Naquib,
Almarhum Professor Dr Syed Hussein al Attas ini semua adalah universiti yang
bergerak. Mereka memiliki banyak pengalaman dan ilmu yang boleh dimanafaatkan
untuk kita semua mengikut bidang masing masing. Ilmu yang sentiasa mengekori
mereka ke mana saja mereka pergi.
oleh
AZIZAN AHMAD PhD
No comments:
Post a Comment