Bismillahirrahmannirrahim
Tarikh 7 Julai 2012 merupakan tarikh yang sangat penting dalam hidup saya. Sangat bersyukur pada Tuhan kerana mengerakkan hati ini untuk mendaftar dan pergi ke kelas University Of Life pertama anjuran anak Abah (Pak Habib untuk saya pada ketika itu), Omar Al Attas.
Pertemuan pertama itu sangat-sangat penting, tetapi yang lebih penting ialah perjalanan kehidupan yang saya lalui selepas pertemuan pertama tersebut. Semuanya sangat-sangat berharga untuk diri saya.
Tidak semuanya indah seperti pelangi, tetapi setiap satunya memberi pengajaran dan pembaikan dalam nilai hidup saya. Setiap pertemuan dengan abah sangat saya hargai.

Melihat pada keadaan wanita dan kanak-kanak di sekeliling saya, saya akur dengan kata-kata abah. Pembentukan peribadi wanita mukmin hari ini sangat penting untuk memastikan pembinaan generasi islam masa hadapan yang kukuh, berperibadi dan kembali digeruni oleh musuh-musuh Islam.
Sangat menyedihkan apabila melihat terlalu ramai wanita yang dalaman nya kosong, sangat rapuh. Bagaimana mampu untuk menjadi penyokong kuat dan pendidik pada anak-anak dan masyarakat yang hebat sekiranya diri sendiri sangat lemah dan kosong? Kekuatan dalaman yang utuh sangat penting. Dan Kekuatan dalaman hanya akan diperolehi melalui pengisian rohani atau spiritual, melalui pengenalan diri sendiri, melalui pengenalan dengan tuhan, melalui pengenalan pada ingin mengetahui rasa cinta pada rasul dan Allah dan seterusnya sunggguh-sungguh kenal dan cinta pada Allah dan kekasihNya.
Saya berkongsi harapan abah, visi abah, inspirasi abah. Dan permulaan untuk semuanya harus bermula dengan diri saya dahulu. Bak kata-kata Michael Jackson dalam lagunya Man in The Mirror:
“To change the world, I must first change the man (woman) in the mirror.”
Pembabitan saya secara langsung dalam program University Of Life di Janda Baik saya gunakan untuk belajar lebih dalam tentang diri, tentang Alam, tentang manusia, tentang tuhan. Melalui abah saya sedar dengan sifat Rahman yang ada pada tuhan, bagaiman kasih sayangNya yang menyebabkan wujudkan alam ini dan seluruh isinya. Bagaimana kerana RahmanNya dosa kita akan sentiasa diampuniNya, sekiranya kita benar-benar ingin bertaubat. Kerana Kasih sayangNya lah kita semua dapat bernafas, makan, bergurau dengan keluarga dan rakan-rakan.
Saya belajar untuk menerima diri sendiri, dan menerima orang lain. Memaafkan diri sendiri, dan memaafkan orang lain. “ Never judge anyone.” Antara pelajaran pertama saya dengan abah.

Melihat kaabah pada kali pertama, terdetik di hati
“Islam itu mudah! Simple! And so magnificent!”

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): "Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).
Bagaimana manusia dari setiap pelosok dunia dengan pelbagai latarbelakang datang menyahut panggilanNya melalui pelbagai cara. Kesungguhan mereka berusaha untuk memperoleh kasih sayang Allah, untuk mengenalkan diri kepada Rasulullah SAW kerana takut-takut diri ini tidak layak dikenalkan dengan rasulullah, memujuk, merayu pada Allah agar mengizinkan kekasihNya untuk memberi syafaat kepada hambaNya yang sangat hina ini, agar layak untuk bertemu denganNya nanti.
Melihat pada ramainya manusia di Mekah dan Madinah, terlintas di hati;

Saya melihat sendiri bagaimana manusia menghinakan diri sendiri di rumah Allah, menghina masyarakat kelilingnya, menghina agama, menghina kekasihNya, menghina DIa. Semuanya di rumahNya!
“Sungguh manusia itu suka menzalimi diri sendiri.”
Tetapi di sebalik kehinaan yang dibuat sendiri oleh hamba-hambaNya, ada golongan manusia yang sangat mencerminkan keperibadian Rasulullah, keperibadian para sahabat. Ada yang masih berimpian tinggi dan tekad kukuh memegang pada janji-janji Allah di dalam Al-Quran. Ada yang terlihat jelas sifat kasih sayang Tuhan dalam dirinya, keadilan dalam dirinya, keperibadian Rasulullah dalam diri mereka.
Indahnya! Disebalik keburukan, ada cahaya dan keindahan yang sedang menanti masa untuk bersinar terang!
Dan ketika itu, saya tahu, visi saya bersama-sama dalam University Of Life. Untuk bersama-sama membesarkan keindahan cahaya itu di seluruh dunia. Untuk menambahkan manusia yang mempunyai jiwa seperti Saidina Hamzah, Saidina Ali, dan semua para sahabat. Untuk wujudnya kembali keperibadian Siti Khadijah, Siti Aisyah dalam diri umat Muhammad. CahayaNya sangat terang, dan semakin terang dalam sangat ramai manusia yang ada di sana.
“Disebalik kegelapan ada cahaya terang. There’s actually hope!”
Loving, Giving, Caring, Sharing, and Forgiving.
University of Life, mengajar manusia untuk hidup. Hidup sebagai hambaNya yang gah di dunia, sebagai makhluk ciptaanNya yang terbaik.
Terima kasih Allah kerana mempertemukan saya dengan insan yang saya panggil abah, dan juga University of Life.
No comments:
Post a Comment