Chat with Us LIVE!

Wednesday, 19 September 2012

PEMIMPIN YANG MENYUMBANG DAN YANG BUAT KERJA SUMBANG


Lebih kurang pukul 8.30 malam, 5 Disember 2008, tetamu istimewa yang ditunggu pun tiba, saya bersama Puan Norsiah Sabri dan Saudara Amran dan isteri saya, Hana menyambut Ahli Parlimen Bentong, YB Datuk Liew Tiong Lai, Menteri Kesihatan untuk penutup majlis dan menyampaikan sijil kepada para peserta yang telah mengambil bahagian dalam bengkel produksi seni.



Seluruh taman dihiasi dengan lampu yang berwarna-warni, di bawah khemah terdapat para penduduk kampung yang diundang untuk menyaksikan jenaka bangsawan dengan percuma dan yang terpenting setiap kali saya mengadakan majlis, keutamaan diberikan kepada lebih kurang 50 anak yatim di rumah anak yatim yang menjadi jiran saya.

Tidak beriman mereka yang boleh tidur nyenyak jika ada jirannya yang tidur dalam kelaparan.”
-Imam Ali K.W.J


Saya berterima kasih kepada Datuk Liew yang dalam kesibukan, masih sanggup hadir di satu majlis kecil di sebuah kampung Melayu yang terpencil di tengah hutan rimba di pergunungan Banjaran Titiwangsa. Kenapa agaknya saya mengundang Menteri Kesihatan hadir ke Majlis Kesenian? Orang bukan Melayu pula. Apakah kerana saya suka menimbulkan kontroversi? Liew Tiong Lai yang baru menang Naib Presiden MCA, bekas Setiausaha Politik Datuk Lim Ah Lek mantan Ahli Parlimen Bentong tidak banyak protokol, tidak banyak songeh. Mungkin dia tahu yang mengundang sunat, yang menerima undangan wajibhadir. Berhentilah menjual insya-Allah sebagai alasan.


Berapa ramai pemimpin kita yang bila diundang di saat terakhir tidak sampai seminggu hendak mengadakan majlis melalui telefon genggam sanggup datang, melainkan undangan itu datang dari Pak Lah, Najib dan Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong, hendak hidup.

Kita hormat pemimpin bukan kerana gelaran Yang Berhormat tetapi yang mesra rakyat, yang tahu tanggungjawab sebagai Wakil Rakyat.

Tidak guna beri nombor telefon handset kalau telefon tidak diangkat. Mesra rakyat bila musim perlukan undi. Di antara yang cepat jawab panggilan saya ialah Datuk Idris Jusuh, biarpun masa itu masih menjawat kerusi MB dan beberapa lagi pemimpin di antaranya Datuk Seri Ali Rustam, Datuk Syed Ali Al-Habshi, Datuk Norza Zakariadan KJ. Tanya mereka yang pernah menghubungi pemimpin yang hipokrit, kawan bila ada hajat terutama bila sudah menjadi Menteri. Memang sakit hati sebab itu kalau Menteri tidak tabur duit, sorry jangan mimpi mereka akan beri undi. Jawabnya memang hendak kena mandi.


Datuk Syed Ali Al-Habshi dan Pak Habib



Datuk Norza Zakaria


Program yang diadakan pada malam ini diadakan buat julung-julung kalinya berjaya menghimpunkan Persatuan-Persatuan Penggiat Seni Budaya (NGO’s) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam sebuah program yang berbentuk bengkel produksi di luar wilayah dan berjaya melibatkan 10 orang remaja dari Kampung Janda Baik.

Mengikut Puan Norsiah, antara lain objektif penganjuran bengkel ini adalah untuk mengeratkan silaturrahim antara ahli-ahli persatuan NGO’s memantapkan pengurusan seni dan hala tuju persatuan, juga untuk membuka minda ahli-ahli baru persatuan (remaja) akan peri pentingannya memelihara seni, budaya dan warisan bangsa.

Memang sudah lama saya ingin Taman Hana menjadi perkampungan Seniman, tempat berkumpulnya para pelakon, pemikir, penulis dari seluruh nusantara di taman yang saya bina setelah mendapat ilham dari Taman Ismail Marzuki di Jakarta dan taman serta pentas di kediaman tokoh agung Rendra di Indonesia yang anda dapat saksikan dalam youtube saya di www.shalattas.com




Taman Ismail Marzuki di Jakarta, Indonesia

Keinginan saya menjadi satu kenyataan apabila kick off yang pertama dimulakan oleh saudara Amran dari  Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ketika beliau tersesat dan tertarik dengan konsep Wadi Hussein, taman di tengah-tengah hutan rain forest tertua di dunia seperti dalam filem The Last Horizon.





Pada mulanya saya tidak bersetuju program ini diadakan kerana saya belum bersedia biarpun Wadi Hussein yang namanya saya pilih kerana saya dilahirkan di Kampung Wadi Hassan, dibesarkan di Wadi Hana di Johor Bahru yang dibuka oleh datuk saya Almarhum Datuk Syed Hassan Alattas D.K yang dilahirkan di Pekan, Pahang.

Taman yang telah memenangi lanskap yang mengandungi flora dan fauna, telah dikunjungi oleh jutaan manusia di seluruh dunia melalui internet dan hampir setiap minggu ada saja pengunjung dari semua bangsa. Akhir-akhir ini, ramai pengantin, orang Cina yang suka bergambar di Taman Hana pada hujung minggu.

Saya bangga jika kita dapat menyumbang sesuatu kepada agama, bangsa dan negara kerana saya percaya bila manusia mati hanya tiga perkara yang tidak memutuskannya pertama ilmu yang bermanfaat, sudah 56 buah buku saya terbitkan, selain sudah berpuluh tahun menulis di akhbar, majalah dan internet. Mudah-mudahan amal jariah jika diterima, ke semua ibadah tersebut untuk kedua orang tua saya yang sudah arwah, semoga Allah kurniakan kami anak-anak yang soleh. Saya sentiasa mengingatkan diri saya, daripada menadah tangan mengharapkan subsidi kerajaan lebih baik kita menyumbang sesuatu kepada kerajaan.

Memang saya bercadang untuk mengundang Menteri Kebudayaan, Datuk Shafiee Afdal yang akan merebut kerusi Naib Presiden untuk merasmikan pentas yang diberi nama Pentas Sudirman apabila siap sepenuhnya nanti tetapi kita perlu masa yang panjang. Mulakan dengan Ahli Parlimen Bentong dulu, dia pun peminat seni juga.

Mungkin ramai yang terlupa arwah Sudirman Haji Arshad, Datuk Sarimah dan penghibur terkenal selain Datuk Siti Nurhaliza, penulis terkenal Pak Sako dan Keris Mas berasal dari Pahang, pahlawan Mat KilauTok Gajah dan Tun Abdul Razak, bapa Datuk Najib yang telah memenangi kerusi Presiden UMNO, orang Pahang.


Pak Sako
 
Keris Mas


Inilah wajah Pahlawan Mat Kilau yang diambil pada tahun 1970

Sejak berita gempa bumi di Janda Baik, pengunjung dari KL yang suka bercuti di hujung minggu di resort sertahomestay mula berkurangan, padahal bukan seperti kejadian di Bukit Antarabangsa yang berlaku pada subuh 6 Disember 2008.

Antara sebab saya memberi sokongan sepenuhnya untuk mengadakan program seperti ini supaya keyakinan orang ramai bahawa gempa bumi tidak menjadi masalah dan tanah tinggi milik Melayu ini perlu diberikan pendedahan kerana ianya sama indahnya seperti Bukit Tinggi Frazer atau Cameron Highland. Hendak harapkan EXCO Pelancongan Pahang, buang masa. Ketika Datuk Maznah menjawat jawatan tersebut sekalipun, dia tidak pernah melawat taman ini dan memajukan industri pelancongan Janda Baik. Manalah orang tidak marah pada pemimpin UMNO yang tidak membantu memajukan Melayu.

Saya selalu mengingatkan diri saya jika mahu disayangi, kita perlu menabur budi dan menabur jasa dengan ikhlas, dengan tidak mengharapkan pembalasan. Ramai pemimpin kita yang sudah lupa tugas dan tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara. Bila ada jawatan keutamaan diberi kepada keluarga saja. Rasa kepedulian terhadap bangsa dilupakan. Mereka menjadi begitu materialistik.

Apakah sesudah 51 tahun merdeka kita masih hidup menadah tangan, masih bersikap subsidi, hidup dengan bantuan kerajaan tetapi masih retorik dengan ketuanan Melayu. Jadi Tuan macam mana kalau ramai orang kita hidup dalam kemiskinan? Apa pun tiada, ramai masih duduk dalam rumah pangsa PPRT, lantai menjadi bumbung dan bumbung rumah orang menjadi lantai orang di tingkat atas, berkongsi dinding. Apa gunanya retorik tentang tanah air? Bila tanah dan air sudah dimonopoli oleh puak tertentu saja. Jika tidak ada tapak tanah, sebidang tanah untuk sebuah rumah di muka bumi pun tidak ada, hendak berpolitik macam mana?

Anda akan bertanya untuk apa saya buat taman di kawasan seluas 6 ekar tanpa mendapat bantuan dari kerajaan? Tuhan kita kaya. Kenapa kita tidak percaya pada sifat pemurah dan penyayang Allah? Tuhan beri kita akal dan tulang empat kerat untuk apa?

51 tahun kita merdeka, Cameron Highland, Frazer Hill, Penang Hill, Maxwell Hill semua taman yang indah di tanah tinggi peninggalan penjajah. Janda Baik adalah satu-satunya tanah tinggi milik Melayu. Kisah bagaimana perkampungan ini dibuka telah didokumentasikan oleh arwah Keris Mas dalam sebuah novelnya.
Cameron Higland

Genting Highland

Sesudah mereka, Genting Highland terbina dengan megahnya menjadi mercu tanda pusat perjudian dan hiburan atas usaha kegigihan Uncle Lim, Tan Sri Lim Goh Tong. Bukit Tinggi milik Berjaya Group, orang Melayu sekadar menjadi pekerja sahaja. Beribu Melayu jadi pekerja dengan keluarga Lim. Pemimpin kita buat apa? Leka berpolitik dan leka berebut kuasa, nasib rakyat tidak terbela.
Lim Goh Tong

Kita perlu tanya apa sumbangan yang boleh kita beri pada negara, bukan apa yang negara boleh beri pada kita? Seperti yang diingatkan oleh mendiang John F. Kennedy.


John_F._Kennedy
Pelik, pemimpin politik sanggup berhabis berjuta ringgit beli undi, tidak bolehkah disalukan sedikit untuk membangunkan industri pemikiran? Perpustakaan awam memberi grant kepada karyawan yang mahu berkarya. Kita terlupa antara perkara terpenting untuk membangunkan tamadun sesebuah negara, ia memerlukan para karyawan, seniman, pemikir dan sasterawan. Kalau ada pun sekadarmelepas batuk di tangga.





Dari segi ini saya hormat Datuk Seri Ali Rustam, dia telah memberikan sokongan kepada persatuan karyawan yang dipimpin oleh Freddie Fernandes membuka pejabat di Rumah Media Melaka di mana dimuatkan untuk pengarah filem yang berminat dalam filem animasi, boleh menggunakan peralatan seperti komputer tercanggih khusus untuk animasi. Selain dari itu, Datuk Ali memberi tanah lot untuk karyawan membina rumah kediaman mereka di Melaka.

Dengan izin Allah, saya bercita-cita untuk menubuhkan sebuah yayasan supaya bila saya sudah menjadi arwah nanti, kediaman dan taman ini akan menjadi Warisan Negara “National Heritage” yang mengandungi auditorium, sebuah perpustakaan yang menyimpan semua buku karya penulis Melayu dari seluruh nusantara sejak zaman dulu kala.

Saya yakin dengan bantuan kawan-kawan yang ikhlas, yang ingin membangunkan bangsa yang masih tidur lena, dengan industri pemikiran menerusi sastera dan seni budaya, insya-Allah tahun 2009,  University of Life yang pertama di Malaysia akan dibangunkan di Janda Baik. Aset Al-Hussein Foundation yang akan dimulakan bernilai 5 juta ringgit. Kalau Tan Sri Lim Kok Wing boleh tubuhkan universiti dan seterusnya University Lim Kok Wing di London, kenapa kita tidak boleh memulakannya di Kampung Janda Baik?

Yang pelik, ada seorang pemimpin janji hendak menghadiahkan sebuah rumah peninggalan penghulu yang telah dibeli dari kampungnya untuk disimpan sebagai warisan rumah Melayu, senyap macam itu jer! Cakap tidak serupa bikin punya. Tidak payahlah cakap ikut sedap mulut kalau tidak boleh tepati janji.

Tidak perlu beri apa-apa pada saya. Tuhan saya kaya, saya percaya dengan kekuatan ayat kun faya kun. Jika mahu sokongan penulis ketika berebut kerusi dalam pertandingan UMNO, kalau awak layak kita bantu. Kalau penulis sendiri pun kena kelentong, macam mana? Mudah-mudahan dia ini bertaubat dululah sebelum hujung tahun ini.

Kalau musim pemilihan barulah ahli UMNO dapat rasa duit pemimpin-pemimpin. Ada yang bagi 300, ada 500, bukan bersedekah tetapi untuk pancing undi. Ketika itulah mengikut cerita kawan saya bila pemimpin buka almari, duit jatuh berdebuk-debuk diikat satu ketul RM5,000 dan RM10,000. Baru kita tahu betapa kayanya pemimpin kita.

Duit datang dari mana? Pantang pemimpin kena jemput. Kalau boleh semua bahagian nak pergi supaya dapat undi tertinggi. Penulis bukan boleh beri undi. Inilah kerja pemimpin yang suka buat kerja sumbang sambil menyumbang tanpa rasa kepedulian.

Habib Hassan Alattas
Datuk saya, Datuk Habib Hassan Alattas yang meninggal dunia pada tahun 1932, meninggalkan sebuah Madrasah Alattas di Pekan selain Pulau Habib Hassan di Kuala Pahang. Beliau berasal dari Sulawesi dan mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga Sultan Pahang. Arwah Tan Sri Osman Saat mantan MB Johor, Datuk Syed  Mohd Idrus, Datuk Syed Zin mantan Speaker Dewan Undangan, Datuk Ali masih Speaker, Mufti Besar Negeri Sembilan dan Perak adalah murid tua Madrasah Alattas Johor Bahru. Tok Habib Hassan Alattas adalah seorang ulama dan pendakwah, selain pengasas dan tuan punya Madrasah Alattas dan Kuliyatul Alattas Kolej Islam yang pertama di Malaysia. Selain dari membina beberapa buah masjid  dan surau di Johor dan Pahang.

Amran telah mencadangkan sebuah banglo 4 bilik yang didiami oleh peserta dijadikan sebagai Teratak Karyawan dan ia telah dirasmikan oleh YB Datuk Liew Tiong Lai.

Saya berterima kasih kepada Ahli Parlimen Bentong yang telah banyak membantu penduduk kampung. Selalunya di musim Hari Raya dia akan mengunjungi penduduk Janda Baik, tetapi tahun ini dia sibuk dengan pemilihan jawatan dalam MCA.

Faridah Merican & Joe Hasham
Ada beberapa perkara yang menarik sepanjang perkampungan Seni itu, saya dapat berjumpa dengan teman-teman lama di antaranya Radin,Khalid Salleh lebih mesra dengan panggilan Wak,Datuk Faridah Merican dan Abon yang datang untuk memberi ceramah.









Khalid Salleh

Antara teks ucapan beliau yang menarik ialah tentang nilai yang hampir pupus dari masyarakat kita. Orang kita terlalu meterialistik. Datuk Liew Tiong Lai bukan saja tidak makan babi biarpun Cina, dia seorang vegetarian, bawang putih pun dia tidak makan. Ada orang kita tidak makan babi, tetapi tetap minum arak, makan duit anak yatim, makan rasuah, bila lagi hendak muhasabah diri?

Datuk Liew Tiong Lai memberitahu, saya membuat taman ini tidak mengambil wang kerajaan, dia ingin membantu jadikan tempat ini sebagai homestay. Saya menolak dan meminta dia membantu orang kampung yang lebih layak dari saya menerima bantuan. Dia memberi RM10,000 untuk bantuan JKKK Kampung Janda Baik. Baguslah pemimpin yang suka menyumbang, tetapi tidak buat kerja-kerja sumbang.

No comments:

Post a Comment

A Closer Look.

Translate