Chat with Us LIVE!

Wednesday, 12 September 2012

5 Cara untuk Meneroka Tujuan Hidup Anda


Maklumat paling bernilai sepanjang sejarah ketamadunan manusia ini hanya dapat diukur  nilainya apabila ianya berupaya menyeru orang ramai untuk melakukan perubahan dan mengajak mereka untuk bertindak di luar norma kebiasaan mereka. Inilah titik permulaan satu REVOLUSI.



Melalui ‘maklumat’ tersebut, seseorang dapat mendalami hal-hal yang tak terjangkau oleh imaginasinya akibat kekontangan yang dibatasi bahasa dan alam makna yang terdapat di persekitarannya. Melaluinya juga, seseorang dapat berhubung dengan tingkat ilmu yang lebih tinggi.

Bertindaklah dengan panduan naluri,  bukan dengan emosi. ‘Mati’kanlah diri anda sepertimana yang dilakukan oleh Gandalf The Grey sebelum dia menukar dirinya menjadi Gandalf The White dengan jalan pencerahan. “Kau tak berkuasa di sini, wahai Gandalf The Grey!” kata si Saruman.


Kesedaran anda perlu melalui proses ‘kelahiran semula’, ianya akan memandu jiwa anda untuk mencapai keunggulan Cahaya yang akan melenyapkan ilusi diri yang palsu.

Bayangkan jiwa anda seumpama satu Cahaya yang terang benderang, yang sama sekali tak dapat dihinggapi kabus debu atau emosi-emosi yang tak seimbang. Cahaya itu tetap wujud sungguhpun anda sedang tidur. Cahaya itu telah wujud terlebih awal daripada memori-memori pertama keberadaan anda di muka bumi ini!

Bajalah jiwa anda; inilah satu-satunya hakikat kewujudan anda. Melalui cara ini, anda sendiri dapat meneroka dan merungkai segala persoalan yang berlegar di alam semesta ini.

Ambillah seberapa banyak masa yang anda perlukan untuk membaca, bertakafur, solat dan meningkatkan potensi diri anda. Bagaimanapun, haruslah diingatkan tujuan utama semua aktiviti ini adalah untuk anda menyusun, mengatur dan mencantum idea-idea kendiri yang akan membantu anda memahami makna diri anda yang sebenarnya.



Apabila anda selesai melakukannya, anda akan lebih memahami diri ruhani anda. Justeru itu, kembara menuju Tujuan anda akan membawa anda sampai ke destinasinya dengan tenteram. Mari kita berkongsi 5 cara yang boleh memandu anda menyahut seruan kudus itu:

1.    Berkarya dengan sepenuh hati. Apabila anda memberikan sepenuh perhatian kepada buah karya anda, anda sedang mengikat janji kepada diri sendiri di mana anda tidak akan berkompromi dengan apa sahaja unsur yang merendahkan atau menafikan keaslian diri anda. Jiwa yang tulus terhadap tujuan kudus penciptaannya hanya akan berkhidmat dan memberikan yang terbaik kepada dunia kerana dia menyedari wujud dirinya yang melewati sempadan zaman.

2.    Perhatikan lagenda-lagenda yang mengilhamkan inspirasi kepada anda. Kisah-kisah mereka tentunya dapat dijadikan pedoman sekiranya anda dapat merasakan persamaan yang wujud dalam perwatakan-perwatakan mereka. Selamilah fikiran mereka, sentuhlah jiwa nurani mereka dan cubalah fahami kesengsaraan dan hasrat hati mereka. Jika mereka mampu melakukannya, begitu juga anda! Apatah lagi, anda yang sedang membaca artikel ini.

3.    Soal, tafakur dan berdoalah. Jiwa anda perlukan suntikan ruhani agar dapat dibangkitkan dari tidur panjang. Kewujudan kita ini adalah seumpama deruan ombak di tengah lautan, sejalur cahaya dari sinar mentari, atau juga seperti sebuah planet dalam gugusan galaksi. Dengan menyoal alam ini, kita menjuruskan diri kepada jiwa dalaman iaitu serpihan dari sumber azali kita. Dengan bertafakur, kita dapat memerhatikan setompok debu yang terkumpul di tempat yang sepatutnya, dan mendengar kocakan air kolam yang terlihat tenang di permukaannya. Kita akan mula melihat diri kita sebagai pantulan sumber azali itu.  Melalui doa dan solat, kita menyerahkan seluruh keberadaan kita kepada Maha Pencipta yang memiliki segenap jiwa raga ini untuk diabdikan sebagai menebus hutang nyawa kita ke hadratNya.

4.    Carilah ‘jiwa’ lain yang ‘semirip’ kita. Setiap ‘jiwa’ yang kita temui itu, sama ada sedang merana, tumbuh dewasa, ‘mati’ atau ‘hidup’, kewujudan mereka pastinya menjadi pelajaran berguna untuk anda sekiranya anda dapat menjadikannya ‘cermin’ jiwa anda sendiri. Apa yang anda perlu lakukan ialah menghubungkan diri anda dengan mereka. Jika mereka membalas sapaan anda dengan kasar, jiwa merekalah yang menderita. Sebaliknya, sekiranya mereka membalas sapaan anda dengan lebih santun, itu bermakna sapaan anda telah bersambut. Di sinilah bermulanya pelajaran-pelajaran berguna dan peluang untuk anda menyambung silaturrahim.

5.    Selalulah memulangkan kembali apa yang telah anda perolehi atau memberikan lebih daripada apa yang telah anda perolehi. Apabila anda telah sampai kepada destinasi tujuan anda, bantulah mereka yang lain untuk sampai kepada tujuan hidup masing-masing. Ajarkan kepada mereka bagaimana anda mampu mengharungi segala bagai cabaran yang merintangi perjalanan anda, dan bagaimana caranya anda berdepan dengan waktu-waktu yang mencemaskan. Kongsikan ilmu dan pengalaman berharga yang telah mengubah kehidupan anda secara keseluruhannya.



Latihan Luar Biasa hari ini:

1.    Keluarkan sehelai kertas dan sebatang pensil tajam (pen pun boleh!)
2.    Bayangkan anda mempunyai segala sumber di dunia ini; duit, tenaga, kreativiti, dan cinta. Apakah yang akan anda berikan kepada seisi bumi ini di mana tiada satu jiwa lain pun dapat melakukan seunik  yang anda lakukan.
3.    Ambil seberapa lama yang anda perlukan untuk membiasakan diri dengan anggapan bahawa anda adalah seumpama sebiji benih yang akan ranum secara besar-besaran pada masa hadapan. Tuliskan perkara-perkara yang dapat anda sumbangkan jauh lebih baik daripada mana-mana jiwa yang hidup di atas muka bumi ini.
4.    Ambil sehelai lagi kertas, dan tuliskan “Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang” di atas kertas tersebut.
5. Tulislah 20 perkara yang anda percaya akan membawa perubahan terbesar pada diri anda mulai sekarang.



Dengan adanya P.T.A ini, anda boleh menyimpan di dalam apa sahaja peralatan, termasuk  telefon dan komputer ataupun dompet anda. Anda akan mengembangkan idea tersebut dan menzahirkannya menjadikannya lebih jelas dan nyata. Dengan izin Allah, mudah-mudahan Tujuan itu akan mengunjungi anda.






No comments:

Post a Comment

A Closer Look.

Translate