Chat with Us LIVE!

Thursday, 16 August 2012

Pelangi di Janda Baik



Sabtu, 7 Julai 2012 Janda Baik, Pahang


Hari itu terasa seperti hari raya. Itulah hari yang dinanti-nanti oleh Abah, Omar dan aku sejak sebulan sebelumnya. Hari itu, kami namakan ALXS 2012, nama pendek untuk "Al-Attas University of Life", satu tempat perkumpulan orang-orang yang kami gelarkan "A League of Extraordinary Souls" (Liga Orang-Orang Berjiwa Luar Biasa)

Sungguh aku sendiri tak menyangka, pertemuan aku dengan Omar dan Abah lebih setahun dulu (Disember 2010) punya rentetannya tersendiri. ALXS 2012 itu bolehlah dianggap sebagai rentetan siri University of Life  fasa pertama dulu.

Sabtu itu, lebih 70 orang hadir di Taman Hana, Wadi Hussien, Janda Baik. Ada orang yang telah merancang kehadirannya, dan ada juga orang yang ditakdirkan hadir di sana. Antara orang-orang itu termasuklah ibu saudaraku, Nasita Sabari.

Malah, ada orang yang datang jauh dari utara dan selatan tanahair. Di kalangan mereka, ada seorang penulis buku spiritual, Salina Ismail dan pemilik Hana Gold, Yazra Nadia Yahaya, juga seorang blogger tempatan "Aku Peduli Apa", Azmi Ibrahim.

Kalau boleh aku rumuskan, mereka yang hadir itu rata-ratanya punya tujuan yang hampir sama. Beratasnamakan sebuah "pencerahan". Ada orang yang sedang mencari jati dirinya, ada orang yang mencari Tuhannya, ada orang yang mencari agamanya, ada pula orang-orang yang mencari sisi dunia dan akhiratnya. Pelbagai rupa dan watak manusia-manusia para pencari yang ingin meniti jalan siratulmustaqim.

Kehadiran mereka pagi itu disambut mesra oleh Abah dan anak-anak angkatnya yang lain. Seawal 9 pagi, Abah bawa mereka bersiar-siar keliling taman bunga yang beraneka warna, bentuk dan aroma. Di taman juga, ada ditanam pohon-pohon buah; tin, nanas, rambai, tampoi, duku, langsat, rambutan, pulasan, avocado, buah pala, cempedak, kundang, katak puru atau nam nam, belimbing, mencepu, keranji, kurma, ceri, bachang, sentul, ciku, pisang, dan durian. Setiap pohon punya tempoh matangnya yang berbeza-beza. Durian adalah satu pohon yang mengambil masa paling lama untuk berbuah, namun durianlah yang menjadi raja segala buah.

Tujuan pepohon itu tetaplah sama untuk membuahkan rezeki kepada manusia dan sekalian makhluk lainnya. Itulah juga tujuan Abah menanam pepohon buah-buahan itu, demi menurut titah perintah Allah s.w.t. Pernah diriwayatkan bahawa nabi s.a.w telah berpesan kepada sahabat “Seandainya kiamat berlaku esok hari manakala di tanganmu masih tersisa biji benih, tanamlah biji benih terakhir itu”. (riwayat hadith)

Sekalipun buah-buahan itu dijamah oleh burung-burung yang hinggap di pohon, berkat pahalanya tetap mengalir kepada tangan-tangan yang telah menanam benihnya.

Di kolam yang tawar, kelihatan bermacam jenis ikan darat berenang di permukaan airnya. Ikan-ikan itu memanglah habitat alamnya di dalam air. Tak seperti tumbuhan, hanya tumbuhan terpilih seperti teratai yang boleh tumbuh bernafas dalam air kolam. Teratai layu di tasik madu, namun bisa saja hidup segar di kolam berlumpur. Hari itu, tiada kelopak teratai yang kembang mekar di kolam Wadi Hussien, yang terlihat kembang cumalah 'seroja pagi' dan lain-lain jambangan bunga yang beraneka nama dan warna dari merata pelosok dunia.

Sebaik semua peserta siap berkumpul dan bersedia memulakan acara, Abah mula memperkenalkan dirinya, asal-usulnya, falsafah hidupnya dan kisah-kisah hidupnya yang terkumpul lebih 70 tahun itu. Abah telah menulis lebih 60 buah buku, bermula dengan buku pertamanya bertajuk "Firasat: Rahsia Mengenal Diri" yang terbit sekitar tahun 60-an. Buku itulah satu-satunya buku pertama Abah yang pernah ku baca semasa aku di bangku sekolah rendah dulu, usiaku hampir 10 tahun ketika itu, lebih 20 tahun selepas terbitannya yang pertama. Untuk seorang budak kecil yang belum ranum mengenal dunia, buku itu terlihat seperti sebuah buku sakti yang mengajakku untuk segera dewasa dan memeriksa wajah dunia yang sebenar-benarnya setelah puas aku menelek wajahku sendiri.

Dalam celoteh Abah yang mengundang gelak tawa orang, ada saja buah hikmah yang boleh dipetik orang-orang yang berjiwa rasa. Abah bilang, cermin-cermin di tamannya sengaja dibikin besar-besar agar orang ramai bisa mencermin dirinya masing-masing. Apa yang terlihat di cermin, itulah refleksi atau pantulan dirinya yang nyata. Setiap kita adalah cermin kepada kaum keluarga, sahabat handai, ahli masyarakat, warganegara, dan penduduk bumi seluruhnya. Bila kita menginginkan refleksi cermin yang indah, perindahkanlah peribadi kita terlebih dahulu.



Tempayan-tempayan besar yang tertulis kalimah IQRA', TAFAKUR, THINK, FIKIR dan sebagainya lagi diharapkan dapat mengajak pengunjung-pengunjung taman untuk merenung ciptaan alam dan mengguna kudrat akal sebaik-baiknya dalam menguruskan kehidupan secara kreatif.

Kalau dulu-dulu, orang Melayu berkreativiti melalui pantun seloka dan peribahasanya. Antara yang disebut orang tua-tua, "Kalau dengar guruh di langit, jangan dicurah air tempayan". Untuk aku, tafsiran modennya boleh juga bermaksud, walaupun kita dijanjikan ganjaran bonus oleh bos, janganlah dijoli semua baki gaji yang tersisa. Kalau menyimpan tabungan hari tua, simpanlah seperti sebanyak-banyak air dalam sebesar-besar tempayan. Kalau mahu menggunanya, cedoklah dengan gayung, jangan dibazir-bazirkan tak menentu tujuannya. Bila hujan turun, sediakanlah tempayan secukupnya. Air tempayan boleh disimpan, diguna untuk hari-hari kemarau.



Dalam hidup, kita harus mengenal yang mana cermin, yang mana tempayan, yang mana roda kehidupan. Alat-alat berguna untuk menata hidup dengan sejahtera.



Roda, dalam bahasa Inggerisnya dipanggil "wheel", bunyinya seakan-akan "will". Roda atau wheel, mesti bergerak dan menggerakkan kerana itulah fungsinya yang utama. Bila roda bergerak, pasti tak terlepas dari menggilis jalan. Ada jalan berbatu, ada jalan bertar, ada jalan berlopak air, ada juga jalan berpasir. Adakala roda di atas, dan adakalanya ia di bawah. Begitulah lumrah hidup, adakala sukacita, adakala dukalara. Namun, sentiasalah beringat kata mutiara orang Inggeris, when there is a ('wheel' of) will, there is a way. Di mana ada (roda) kemahuan, di situlah kita menemukan jalannya.



Setiap apa yang diletakkan di taman seperti roda kereta lembu yang terdapat di anjung banglo Abah punya falsafahnya tersendiri. Kitaran hidup manusia adalah ibarat putaran roda yang menggilis jalan, kita tak selamanya berada di atas, dan tak selamanya mesti di bawah saja. What goes up must come down, and what was down eventually will get up again.

Melalui kisah-kisah inspirasi Abah, aku menemukan jati diriku yang asli. Aku bertambah yakin dengan hakikat hidup yang sesungguhnya bahawa Allah itu Maha Adil, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, Maha Meninggikan, Maha Merendahkan, Maha Menghidupkan, Maha Mematikan, Maha Berkuasa, Maha Pencipta, Maha Mulia juga Maha Agung. Dialah Pentadbir segala urusan Langit dan Bumi, Raja sekalian Alam. Dia mengetahui segala apa yang aku bisikkan di hati nubari, atau segala yang aku lahirkan dalam tutur dan ucapkata. KeberadaanNya lebih dekat dari urat nadiku sendiri.



Setiap orang punya citra dirinya yang unik. Saat dia berjuang untuk mengenal dan memahami makna dirinya, di situlah detik mula dia mengenal Tuhannya yang Satu. Tak terganti, takkan boleh diganti dengan apa-apa sembahan selainNya. Bila Tuhan telah dikenal, barulah agama meresap ke lubuk hatinya.

Agama yang kudus mengiktiraf segala bentuk keindahan azali. Andainya agama bisa tergambar seindah pelangi, pernahkah kita menyoal diri; apakah pelangi bisa terzahir tanpa Cahaya dan titis Hujan? Indahnya pelangi kita nikmati di siang hari. Jarang sekali pelangi ditemukan di malam hari. Mungkinkah tujuh jalur pelangi yang ditemui nuraniku sudah kalian temukan di Janda Baik?


Catatan pengalaman N Hanizah Ramli

No comments:

Post a Comment

A Closer Look.

Translate