Sementara menunggu berjumpa dengan ‘Sheikh’ selepas maghrib, saya duduk di lobi hotel yang disiapkan untuk tetamu, belum lama mennggu pelayan membawa minuman petang, syukur pada Allah, bersyukur pada yang sedikit Allah akan menambah, tetapi jangan lupa berterima kasih pada manusia yang memberi. Kita belum sampai taraf Tuhan suruh malaikat menghantar makanan terus pada kita.
Sheikh Panji Gumilang |
Seperti biasa ‘Sheikh’ memang penuh dengan jadual menemui tetamu, maka saya keluar untuk melihat tumbuh-tumbuhan sambil berfikir, apa ertinya hidup ini, apa tujuan Tuhan menghidupkan kita? Apa yang kita hendak buat dengan hidup ini? Percayalah kalau sudah berusia 60 atau 70 tahun tetapi masih tidak mahu mengajar apa lagi mahu belajar, lebih baik jadi pohon yang boleh ditebang, boleh buat rumah selain perkakas juga kayu api.
Kita di suruh mencari ilmu dari dalam buian hingga ke liang lahad. Tak mahu membaca, tak mahu cari guru, macam mana nak dapat ilmu? Tanpa ilmu agama, bolehkah masuk syurga? Kita tak tahu pun yang kita pernah berjanji dengan Allah. ‘Alas tu birabbikum’. Bukankah aku ini Tuhanmu? Benar, Engkau ini Tuhanku. Itulah perjanjian di alam Lahut. Kita leka berhibur pagi petang, siang malam, leka shopping, leka ‘bola’, pagi bola, malam bola, makan bola, tidur bola, seolah-olah hidup kita di atas muka bumi untuk minat yang ditentukan oleh nafsu saja. Tak peduli langsung nak belajar ilmu akhirat sedangkan mati satu kemestian, boleh berlaku pada bila-bila saja. Mati nanti dalam kubur nak jawab apa bila ditanya ‘marabbuka’? ‘Marabbuka’ itu binatang apa? Apa bendanya? Siapa Tuhan kamu? Bola, bola bola, gol, gol, gol. Alangkah baiknya jika kita mempunyai anak yang soleh, yang tidak memutuskan kita dengan akhirat.
Anak yang mengalami masalah keciciran sejak dari rumah bakal mengalami nasib yang serupa dalam pembelajaran. Apabila berlaku keciciran di sekolah, kemungkinan besar mereka mengalami keciciran dalam masyarakat. Generasi yang mengalami keciciran ini hanya menambah beban kepada keluarga dan masyarakat. Tanggungjawab siapa kalau bukan alim ulama’. Peranannya sebagai khalifah Allah memperbaiki keadaan hari ini.
Anak yang keciciran dalam pembelajaran sering kali terlibat dalam masalah disiplin seperti ponteng sekolah, bergaduh, mencuri, menipu guru dan terlibat dengan gejala salah laku seks. Oleh sebab itu, pendidikan anak harus bermula di rumah. Ilmu mengurus anak perlu dipelajari oleh ibu bapa. Mempelajari kemahiran keinsanan yang membawa pendekatan kasih saying juga perlu diketahui oleh ibu bapa. Membina hubungan yang erat dalam kalangan keluarga terutama anak-anak harus menjadi keutamaan sehingga mereka dewasa. Pendidikan anak juga menuntut kesabaran dan belas kasihan terhadap anak.
Kerosakan akhlak anak berpunca daripada kecuaian ibu bapa terutama ketika mendidik anak sejak dalam buaian lagi. Jika ibu bapa cuai mendidik anak terutama untuk melaksanakan suruhan dan larangan agama, kesannya bakal diterima apabila anak meningkat dewasa. Itulah tujuan buku ini ditulis untuk menyelamatkan manusia dari kesengsaraan hidup di dunia dan azab di akhirat. Kita perlu kembali kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad sebagai pembawa rahmat bagi sekalian alam.
Nabi kita suruh tuntut ilmu hingga ke negeri China, kita tak peduli langsung sabda Rasulullah SAW. Ada ulama kata hadith ini tak sahih bila tersedar Eropah dan USA pergi dari Cina dan kita bergantung hidup pada Cina yang menguasai kita dan seluruh perniagaan yangada di negara kita dikuasai oleh ‘the overseas Chinese’. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kita sekadar jadi kaum pembeli, ramai yang jadi pencacai, jadi hamba abdi akibat tak peduli. 9/10 peratus pendapatan adalah dari berniaga. Pada bulan Jun 1975, saya ada menulis sebuah buku bertajuk ‘9/10 Rezeki Adalah Dari Perniagaan’, buku cenderamata P.P.P.K.M.N.J Cawangan Johor Bahru. Semua pergi menuntut ilmu untuk mengabdikan diri ‘saya yang menurut perintah’ bukan yang memerintah. Lu fikirah bro. Kenapa saya ke Tanah Jawa? Kenapa saya minta anda fikir ‘tafakur’, ‘think’. ‘Marabbuka’ itu apa? Tuhan anda itu siapa? Dan apa pentingnya agama kepada anak-anak bangsa kita?
Apa salahnya di mana saja kita berada kita bertafakur? Kita adalah makhluk yang ada akal, ada duit cepat aje nak belanja, ‘shopping’ , ‘shopping giler’. Kenapa ada akal tidak digunakan? Berapa ramai manusia yang menggunakan akal fikirannya? Bukankah dunia ini sebuah pentas, kata Shakespears. Kita sekadar pelakun, pengarah dan produsernya siapa? Penulis skrip siapa? Untuk hidup di dunia dan di akhirat inilah yang akan saya kongsikan dengan anda ‘Alattas University Of Life’.
Kebetulan saya adalah antara manusia yang tidak berani membuang masa yang dipinjamkan sesuka hati saya.
“Demi masa manusia itu sentiasa didalam kerugian” (Al-Quran)
Ramai yang pandai bercakap ‘masa itu emas’, cakap saja ikut sedap mulut. Jika waktu ituemas, kenapa ramai sangat yang membuangkannya begitu saja. Anda bagaimana? Tahukah anda di pentas dunia ini anda cuma seorang fakir, nyawa anda itupun milik Allah. Jangan kata segala-gala yang lainnya, hendak jawab ‘marabbuka’ pun tak tahu, Islam apa namanya? Semoga Allah ampunkan dosa saya dan dosa anda.
Kenapa bila berada di taman kita tidak memerhatikan pendedahan tentang kebesaran Allah yang jelas pada tumbuh-tumbuhan yang mengandungi ayat-ayat Tuhan? Selaku umat Islam anda tentu tahu bukan saja hidup perlu menjawab soalan, mati pun lagi banyak soalan yang perlu anda jawab. Syurga, neraka, alam maya ini dia bosnya. Pelik, anda tak kenal bos, murid tak kenal guru besar, rakyat Malaysia tak kenal Perdana Menteri, tak tahu lagu Negaraku. Sudah ditukar jadi lagu Negarakuku
Pernahkah anda terfikir apa yang dapat anda pelajari dari taman yang mengandungi unsur-unsur keTuhanan? Apa bezanya antara pokok dan tokoh? Ada pohon di dalamnya lebih berharga dari emas, sudah mati ‘kayu gaharu’ bila dibakar harganya mahal kerana wangi. Anda bagaimana? Wangi atau busuk nama yang akan anda tinggalkan nanti? Ular dan buaya kulitnya jauh lebih berharga dari manusia yang tak beragama.
Pernah lihat pohon kelapa (niur), jika di hutan harimau adalah raja, pohon niur adalah raja tumbuh-tumbuhan, isi, kulit tempurung, pelepah, daun, lidi, umbut dan batangnya boleh jadi bahan pertukangan. Manusia sebagai khalifah Tuhan harus mempunyai akhlak, adab, tutur kata, budi bahasa, ilmu, amal seperti Nabi Muhammad SAW baru hidupnya bermula.
Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.
Al-Hajj - 22:46
Saya takut nak buang masa yang diamanahkan maka saya fikir-fikir dan terjemahkan fikiran saya dalam bentuk tulisan. Mana tahu apa yang sedang saya fikirkan mengenai Melayu itu apa? Islam itu apa boleh kejutkan anda kerana manusia itu makhluk yang alpa, lalai, sudah sampai ajal baru mahu ingat Tuhan, baru mahu bertaubat. Sudah terlambat. Agama itu nasihat menasihati. Buku yang saya tulis ini untuk Melayu terutama yang beragama Islam yang berada di Nusantara, tapi Melayu bukan Islam pun tak salah baca, mana tahu mereka juga boleh mendapat manfaat. Iqra’. Baca dengan nama Allah. Apakah saya perlu berceloteh dengan panjang lebar kerana bukan senang mahu menjawab soalan yang dikemukakan tanpa fakta. Melayu itu siapa?
Begitu istimewa institusi IMR, Artikel 160 memperuntukkan bangsa Melayu wajib beragama Islam. Kalau seseorang Melayu itu murtad, menjadi bukan Islam maknanya dia bukan lagi Melayu. Bila sudah tak ada Melayu, apa akan jadi pada Raja-Raja Melayu? Apakah orang yang menerima wakil lebih mulia dari yang memberi wakil? Mereka tak peduli pun.
Bila orang Melayu ‘murtad’, ramai yang ‘murtad’ dianggap terbatal kedudukan dia sebagai bangsa Melayu. Ini penting difikirkan oleh seorang ketua Agama yang berbangsa Melayu kerana perlembagaan hanya memberikan hak dan kedudukan istimewa kepada bangsa Melayu yang beragama Islam, seperti yang dimaktubkan di bawah Artikel 153. Islam ‘addin’ adalah cara hidup yang paling sempurna. Islam apa namanya jika tak ikut Al-Quran dan Sunnah Nabi? Mungkin munafik.
Kenapa ramai Melayu hari ini yang malu menjadi Melayu dan ramai Melayu yang murtad? Apakah kerana mereka malas membaca atau hal-hal mengenai Islam tak diajar oleh ibubapa. Apakah tingkah laku ibubapa, ketua-ketua dan isteri mereka lari dari kehidupan dan tingkah laku sebagai orang Islam yang beriman? Bagaimana di sekolah dan IPTS, kawan-kawan, apakah Islamnya di Mykad saja?
Baca terus, inilah antara benda-benda yang akan saya kongsikan di Alattas University Of Life supaya Melayu tak hilang di dunia. Biarpun sudah ada 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib, Perdana Menteri Malaysia.
Ramai yang mengaku Islam, namun segala kelakuan, peribadi, akhlak dan perbuatannya tidak selaras dan bersamaan dengan Islam. Angkuh, riak, zalim, kejam, membazir, dari hal makan minum perlukan tanda halal, apakah wang yang diberi makan keluarga halal dari hasil pekerjaan? Bagaimana dengan hubungan persaudaraan dengan jiran tetangga? Ada banyak hal lain dalam kehidupan tidak berteraskan Islam. Ramai yang sudah jadi sepertiThe Overseas American seperti dalam buku saya tajuk yang sama. Akibat kebimbangan ini saya cuba hidupkan semangat Islam yang dapat dipelajari dari alam, isi Al-Quran yang terdapat di dalam taman.
Jika kita lihat sebuah rumah terbakar, apakah kita tengok saja sambil berpeluk tubuh. Kita bukan haiwan, tengok haiwan lain kena sembelih atau dibelasah orang kita duduk diam tak buat apa-apa. Saudara kita sedang menuju ke api nuraka, kita tak berani sabung nyawa untuk selamatkan sebelum sampai bomba?
Perjuangan yang kita lakukan hari ini ialah warisan perlawanan rakyat yang ditindas sebelum ini. Islam menentang ketidakadilan dan manusia yang menyembah selain dari Allah. Itulah tugas Rasulullah SAW. ‘Mannabiuka’, siapa Nabi kamu?
Perjuangan menghidupkan kembali Islam ibarat mata rantai, kita bukan yang terdahulu, bukan yang terakhir. Sebagai contoh saya pilih Sheikh Abdul Kadir Jailani Sultanul Awlia yang terkenal di kalangan Melayu. Kita adalah penerus kepada perjuangan yang belum selesai. Siapa kalau bukan kita yang mesti meneruskan perjuangan untuk melakukan yang terbaik ketika di zaman kita?
Bagaimana anak muda hari ini harus berani mencipta sejarah jika kita tidak memperkenalkan Syariat, Hakikat, Tarikat dan Makrifat yang menjadi amalan para sufi yang telah menghidupkan semula Islam?
Apakah akibat minda Melayu yang sudah terlalu lama dijajah di Indonesia oleh Belanda, di Malaysia oleh Inggeris maka kita terus tidur seperti pemuda yang terdapat dalam kisah Pemuda Al-Kahfi? Minda hanya akan terbuka bila ‘mata hati’ kita tidak lagi buta. Bagaimana mahu menghidupkan ‘mata hati’ kita jika anda tidak membaca Ihya Ulumuddin oleh Imam Al-Ghazali dan Sirrul Asrar oleh Sheikh Abdul Qadir Jailani? Apakah kerana sistem pendidikan yang hanya mengutamakan Syariat dan Bahasa Arab semata-mata tanpa ilmu Hakikat, Tarikat dan Makrifat gagal mengisi makna Al-Quran di dalam dada supaya murid-murid yang tak kenal, kenal siapa diri mereka sebenarnya.
Imam Al-Ghazali |
Pelik, lima kali sehari azan Allah hu Akhbar, Allah yang Maha Besar, dikumandangkan, Allah paling dekat dengan diri kita, tak terasa kebesaran zat Tuhan yang ada dalam diri kita. Apakah asma Allah yang sepatutnya hidup dalam diri masih tertidur? Selain melakukan solat, azan mengajak kita menuju kejayaan. Kenapa kita masih gagal mendapat hidayat dari Allah? Lu fikirlah Bro!
Bolehkah kita salahkan ego pemimpin yang besar yang tidak boleh menjadi teladan biarpun Mahathir telah memperkenalkan kepimpinan melalui teladan? Akibat tak ada ‘role model’, pemimpin atau ketua-ketua agama yang boleh dijadikan teladan, kita terus tidur. Lu fikirlah Bro.
Saya tiba-tiba terfikir kenapa ke Tanah Jawa untuk belajar pasal Melayu? Ayahanda saya Almarhum Habib Alwee Alattas lahir di Tanah Jawa berhampiran Masjid Ampel di Jawa Timur. Walaupun definasi Melayu ialah mereka yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu, berasal dari kepulauan Melayu, tetapi di Johor Jawa, Arab dan Pakistan tidak diiktiraf sebagai Melayu, maka Melayu itu apa? Melayu itu siapa? Asalnya dari mana? Bugis, Raja Melayu kerana Raja Johor keturunan Melayu tetapi ada campuran Mat Salleh. Kasihan Jawa, Mandeling, Banjar dan lain-lain etnik tidak diiktiraf sebagai Melayu. Melayu kaya dengan budaya yang mereka bawa bersama, budaya ketika berhijrah dan menetap di Tanah Melayu. Semua itu sudah jadi sejarah (history), sebab itu kerajaan Indonesia marah bila budaya dari Indonesia di pelgiat sebagai budaya Malaysia.
Tan Sri Ismail Hussien |
Saya teringat di sini Gapena pernah mengadakan simposium serantau Tak Melayu Hilang Di Dunia, ketika itu Dato Aziz Deraman menjadi Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, ianya berlangsung di Dewan Tan Sri Ismail Hussein di Al-Zaytun sebagai penghargaan kepada Ketua Satu Gapena. Jawa mengiktiraf Ismail Hussien yang berasal dari Acheh.
Melayu telah dipecah-belahkan oleh penjajah sehingga pengertian Melayu yang diungkap Pendeta Zaaba sangat berbeza dengan gelagat pemimpin dan Ketua Agama Islam dan budaya Melayu. Kata Zaaba, “Melayu itu kuat kerana berpegang pada akidah Islam, semangat perjuangan dan memiliki budi pekerti”. Zaaba atau Zainal Abidin Ahmad adalah tokoh sasterawan dan pemikir yang dihormati dan menjadi orang Melayu pertama lulus peperiksaan Senior Cambridge pada 1915.
Dulu bangsa Melayu hebat dan dihormati kerana agama Islam dijunjung, budayanya dikelek. Kenapa agama dijunjung tanpa Islam? Mereka tak kenal diri dan tak kenal Tuhan, tak tahu yang mereka bukan sekadar manusia biasa tetapi manusia luar biasa (special being), makhluk istimewa 3 dalam 1, jasad, roh dan akal. Tuhan ada disisi mereka dan mereka telah berikrar dengan Allah “Arastubirabbikum kalu bala shahidan”. ‘Tidak ku sembah selain Engkau’. Orang kafir tidak diajar yang manusia itu ‘sirr’ rahsia Tuhan dan Tuhan itu rahsia manusia. Istimewanya Melayu bila mereka kenal diri dan kenal Tuhannya.
Hari ini agama dan budaya dibiar tergolek akibat air yang keruh di hulu maka keruh juga di hilir. Siapakah yang akan menghidupkan Melayu supaya tidak akan hilang didunia kalau bukan mereka yang berjiwa Islam dan mempunyai ilmuhakikat, tarikat dan makrifat?
Dalam diri manusia terdapat seluruh bagian dari alam. Seseorang yang berhati bersih akan melihat seluruh isi alam dalam dirinya. Laut, misalnya, jika permukaannya tenang dan airnya jernih, semua ikan dan haiwan-haiwan yang terdapat di dalamnya akan nampak gerak dan diamnya.
Akan Kami perlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami pada segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa sesungguhnya (Quran) itu benar.
(QS Al-Hajj, 22:32)
Kenapa hari ini kita didedahkan lebih ramai ‘penjenayah kolar putih’ yang ditahan dalam penjara adalah Melayu begitu juga mat rempit, penagih dadah, penceraian, keruntuhan moral dan hidup di bawah taraf kemiskinan. Peratusan yang cemerlang dalam akademik oleh anak-anak Melayu sepatutnya dapat memberi gambaran ‘kecemerlangan’ dalam segala aspek kehidupan terutama dari segi adab (disiplin). Apakah kerana mata pelajaran sivik atau moral gagal mendidik pelajar dengan nilai-nilai murni, adab mengikut Nabi Muhammad SAW?
Saya percaya di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Niat penting, segala amal bermula dengan niat.
Amal dan niat saleh akan menyebabkan timbulnya kewibawaan pada diri seseorang. Ia akan tampak beda dengan orang lain, ucapannya didengar dan bermanfaat. Sebaliknya, amal dan niat buruk akan menyebabkan pelakunya diselimuti kegelapan kerana mata hatinya gelap.
Setiap anak yang dilahirkan adalah Islam. Mereka seperti bibit-bibit yang perlu dipelihara, jika tidak disiram dengan air tidak akan tumbuh. Manusia disiram dengan ilmu, amal dan peringatan. Ibubapalah yang menjadikan mereka Hindu, Buddha, Kristian, Atheist dari prilaku ibubapa.
Saya mahu anak-anak saya menjadi orang-orang terkemuka, yang baik, ‘soleh’, berjaya di dunia dan di akhirat, sebab itu saya perlu pilih sekolah yang terbaik untuk mereka di peringkat asas primary. Saya mahu mereka menjadi ahli akademik yang beriman dan bertaqwa, berani keluar dari kepompong, berfikiran dalam kotak akibat ada ijazah untuk jual ayat-ayat Al-Quran dengan harga yang murah, berfikir besar, tidak mahu jadi ulama jumud disebabkan ‘colonization’ penjajahan minda bentuk baru.
Tidak ada gunanya kita menyalahkan penjajah yang telah menanam ‘jiwa hamba’ kerana kita sudah jadi bangsa yang ‘merdeka’, hidup di negara merdeka tetapi tak tahu sejarah. Kemerdekaan manusia yang bermula bila Allah turunkan Al-Quran, hidup kita seperti kereta tanpa manual.
Tugas pertama Islam menegakkan keadilan, menentang kekejaman dan kezaliman dan membebaskan hamba abdi. Lupakah kita siapa Bilal r.a. Muazin pertama dibebaskan baru dia boleh mengamalkan Islam sebebasnya, hanya Allah yang disembah. Apa penyebab rakyat tak berani jadi tuan kerana agama dikuasai oleh beberapa kerat manusia yang berkuasa merasa diri mereka itu tuhan? Apakah kerana setelah orang putih keluar, bangsa sendiri yang jadi tuan, kita kekal sebagai hamba tuan yang tak kenal diri dan Tuhan?
Saya bosan retorik dengan ‘ketuanan Melayu’ oleh mereka yang masih menjilat kasut tuan membuatkan orang Melayu merasakan yang kita terhutang hidup kepada manusia yang diagung-agungkan seperti Tuhan? Lu fikirlah Bro...
Ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang tidak akan meninggalkanmu: didunia mahupun di akhirat. Ilmu adalah alat. Meskipun ilmu itu baik (hasan), tapi hanyalah alat, bukan tujuan. Oleh kerana itu, sedikit ilmu alat sudahlah cukup. Ilmu harus diiringi adab, akhlak dan niat-niat saleh. Ilmu demikian inilah yang dapat mengantarkan seseorang kepada maqom-maqom yang tinggi.
Apa sebabnya saya sanggup menyerahkan anak ke Al-Zaytun kalau bukan kerana saya tidak yakin dengan sistem sekolah dan universiti hari ini yang gagal untuk melahirkan manusia yang boleh mencapai menjadi ‘insanul kamil’, manusia yang bukan saja takut tetapi mencari kecintaan Tuhan untuk menjadi ‘wali Allah’.
Manusia akan melakukan apa juga bentuk jenayah bila mereka tak tahu malu bila melakukan keburukan, bila mereka tak dapat membezakan antara dosa dan pahala akibat tidak adanya asas tauhid di dada. Ramai manusia yang namanya saja Islam tetapi buta agama. Mereka malu jika buta IT, apalagi buta huruf, akibat buta mata hati mereka bukan saja tidak tahu menghormati manusia lain tetapi tak ada rasa kemanusiaan terhadap manusia dikeliling mereka. Tengok sajalah perangai mereka yang merasakan diri dan keluarga berada di atas undang-undang. Lu fikirlah Bro.
menarik artikel ini. Terima kasih atas pencerahan ini.
ReplyDelete