Dulu sekali sekala
Semasa aku bersama Tuk Imam
Tuk Kiai
Bersama alim ulamak berjubah dan berserban
Ayah serta orang yang bijak pandai
Yang dihormati ramai
Tunduk hormat penuh kasih
Menagih berkat cium tangan
Dulu di wajah guru di muka ulamak
Berpakaian Rasul
Bintang berkerdipan
Cahaya purnama wajahmu tuan
Nur jelas kelihatan
Dulu suara Tuhan
Pesanan Ambia bergema
Dari hati dari nubari
Tanpa material
Tanpa pangkat di dunia
Sekadar mahukan berkat
Mengharap hidayat
Kini aku sunyi tanpa ayah
Die telah berpindah ke alam barzah
Sukar untuk bermusyawarah
Sesama pendakwah
Malam seribu tahun memanjang
Air sungai mengeruh seribu musim
Bila imam yang alim
Tergamak membuat zalim
Menipu diri
Mengaku mualim
Memakan daging
Saudara mukmin
Untuk mendapat untung
Tak berapa sen
Baru kelmarin aku melihat
Satru kafilah orang-orang kampung
Main pondonk-pondok ikut sunah Rasul
Bermisai, berjanggut; berjubah dan berserban
Ada kitab di tangan
Berpolitik penuh angan-angan
Syurga bukan lagi jadi idaman
Wanita, harta dan kuasa yang jadi habuan
Kerusi Perdana Menteri menjadi buruan
Dalam madrasah murid keluh kesah
Guru munafik mengaku khalifah
Akulah utusan Allah
Untuk memimpin sekuruh ummah
Bersongkok berkain pelekat
Menyebut nama Tuhan pelat-pelat
Quran, hadith perniagaan sendirian berhad
Mana mungkin ramai tak sesat
Tuk Guru rohaninya tak sihat
Hakikat, tarikat makrifat
Sudah terjerat
Bagaimana ilmu
Mendapat berkat
Lautan tak bertepi
Ayah dan orang tua
Melihat aku dalam mimpi
Aku tinggal seorang diri
Hanya kepada Allah ku serah diri.
Kampung Wadi Hassan
Johor Bahru
1981
No comments:
Post a Comment