Kepada Yang Mulia
Raja-Raja Di Seluruh Negara,
Dengan Nama Allah Yang Pemurah lagi Maha
Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat serta salam ke atas junjungan Penghulu Para Nabi, Muhammad SAW serta kaum keluarga dan sahabat-sahabatnya.
Saudara-Saudara yang saya kasihi,
Surat yang sedang saudara-saudara baca ini bukanlah surat pertama saya kepada seorang raja. Enam tahun yang silam dalam ‘CHALLENGER – SIAPA LAWAN SIAPA’ saya telah menulis kepada saudara kita Sultan Mahmud Iskandar, mengingatkan kekanda kita tentang perlawanan yang boleh merugikan bangsa dan negara kita. Warkah saya telah menjadi sejarah.
Kini sekali lagi datang satu perlawanan, antara Mahathir dan Mahmud, satu Perdana Menteri, yang lagi satu Sultan. Dulu yang memulakan perang hingga mengakibatkan matinya UMNO pun orang Johor juga, dua M pecah menjadi musuh.Politik!... biasalah.
Terlebih dahulu izinkan saya perkenalkan diri kepada saudara-saudara sekalian. Nama saya Hussein Bin Alwee Alattas, berumur 52 tahun, sudah menulis 25 buah buku. Saya telah menjelajahi hampir seluruh dunia. Saya dikenali dengan panggilan Pak Habibahli firasat, pemikir, penganalisa dan peramal politik. Itu sajalah kerja Pak Habib pun.
Nampaknya saya selalu tersepit bila ada pergaduhan antara orang Johor dan orang Kedah. Nasib baiklah Pak Habib tak ‘asobiah’ dari segi puak dan semangat kenegerian. Dan beruntunglah kerana tak kesah sangat dengan peri bahasa ditelan mati emak diluah mati bapak.
Apakah yang hendak dihairankan sangat, telan atau luah, kematian, adalah benda yang paling dekat dengan kita, bertawakal sajalah berpantang ajal sebelum maut. Tapi kalau sudah sampai masa nak mati apa salahnya, mati sajalah.
Sebenarnya pergaduhan ini bukannya satu perkara yang personal. Dan bukan besar macam mana sangat pun, lebih kurang macam kes suami isteri aje. Dulu antara Musa dan Mahathir. Mereka kawan baik, tapi masing-masing mempunyai cara sendiri. Politik…
Mengikut Dr. Mahathir pindaan perlembagaan sudah selesai. Beliau sudah Berjaya, sekurang-kurangnya raja-raja tak berani meminta itu dan ini lagi. Bagi sayakrisis pemikiran ini akan berlarutan buat satu ketika.
Saudara-saudara yang duduk di Istana,
Sebenarnya antara pemimpin politik yang bernama Menteri atau Sultan yang menjadi simbol, dari segi melakukan kesalahan, mereka lebih kurang sama aje, ‘manusia biasa’. Disebabkan rakyat yang tidak berdosa, terutama orang Melayu di kampung-kampung, mahu tak mahu, kita tak ada pilihan melainkan meleraikan dulu kemudian kita cuba baikkan mereka semula, kita tak mahu bergelar pengecut, bacul dan dayus.
Kita terpaksa berbuat sesuatu untuk menyelamatkan satu rumah tangga yang hampir nak roboh ini terutama orang Melayu yang telah melihat kejayaan dan kegemilangan di bawah pentadbiran Dr. Mahathir, mesti memihak kepada pemimpin yang mahukan kemajuan, kiranya kita mahu dunia member kredit kepada bangsa dan negara kita. Kita bukan menyebelahi Che Det anak Master Mohamad yang dulu dianggap Big Brother oleh Al-Mutawakil.
Kita sudah 35 tahun merdeka, apalah erti kemerdekaan kalau masih hidup seperti‘paria’ di dalam sebuah negara di mana agama rasminya Islam.
Kerana kita mahu memulihkan semula maruah Bangsa Melayu, kerana kita mahu pencapaian orang Melayu dibidang ilmu, perniagaan, perusahaan, teknologi moden dan lain-lain yang sedang diusahakan oleh kerajaan masih diperingkat rendah menjadi satu kenyataan. Kita terpaksa melibatkan diri kita. Ini bukan masanya kita menangguk di air yang keruh. Bukan waktu dan ketika hendak memulang paku buah keras. Walaupun kita tahu kedua-duanya, UMNO dan istana sama-sama telah lama buat silap.
Hari ini hampir semua bangsa di dunia sudah bebas daripada penjajahan secara fizikal. Namun masih ada yang terhina pada pandangan umum. Sebabnya ialah bangsa-bangsa ini gagal memaju dan menjayakan bangsa dan negara mereka setelah merdeka.
Sebaliknya ada yang menjadi lebih mundur dari semasa mereka dijajah. Kegagalan bangsa-bangsa yang sudah merdeka untuk mencapai kemajuan tidak dapat tidak membawa kehinaan kepada mereka.
Mereka ini mungkin marah dan mengungkit bahawa kita semua adalah sama dan harus dihormati sebagai manusia.
Tetapi hakikatnya ialah kelemahan atau kegagalan sesuatu bangsa tetap menyebabkan dunia umumnya dan bangsa-bangsa yang maju khasnya memandang rendah kepada mereka.
Sebenarnya kemerdekaan negara sahaja kadangkala tidak mencukupi untuk menentukan kejayaan sesuatu bangsa itu. Demikianlah dengan orang Yahudi yang menumpang di negara-negara Eropah. Mereka lebih berpengaruh dan berkuasa di negara mereka bermastautin dan secara kolektif di dunia semata-mata kerana mereka cekap dalam berbagai-bagai bidang.
Dr. Mahathir Mohammad
Perhimpunan Agung UMNO 1992
Kita kini berada dalam satu zaman dimana kedudukan raja dan para sultan sebagai satu lambing, bukan saja sudah dipersoalkan tetapi keadaannya sudah seperti telur dihujung tanduk. Kita tidak mahu ianya tidak dapat dikawal seperti apa yang berlaku di Sumatra pada 3hb. Mac 1946
“Jatuhkan raja!... Rakyat yang berkuasa…” Beramai-ramai mereka menyanyikan lagu yang membakat semangat rakyat.
“Darah rakyat masih berjalan,
Menderita sakit dan miskin,
Padanya datang pembalasan,
Rakyat yang menjadi hakim.”
Lagu komunis ini telah diharamkan oleh kerajaan Indonesia. Tetapi apabila berlaku satu pengkhianatan oleh pihak Parti komunis Indonesia, lagu yang sama dinyanyikan oleh orang-orang komunis. Contohnya semasa pembunuhan Jenderal-Jenderal di Lubang Buaya pada 30 haribulan September 1965 di Jakarta. Beramai-ramai mereka nyanyikan lagu ini dengan penuh semangat.
Revolusi Istana Dan Rakyat
Kerana pergaduhan ini akan merugikan istana, terutama anak cucu cicit raja-raja yang tak berdosa, yang mungkin akan menjadi mangsa dendam kesumat mereka yang pernah menjadi mangsa kekejaman raja dan kerabat. Saya bimbang tak dapat tanduk telinga nanti dipulas. Apakah tidak mungkin komunis mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh? Amerika memang tunggu peluang untuk tumpang sekaki.
Pak Habib adalah satu-satunya penulis yang telah membukukan peristiwa yang berlaku di Sumatra dalam tajuk Semangat 46 kerana Pak Habib bimbang nasib malang 46 akan menjangkiti ke istana.
Hampir diseluruh pelusuk dunia, manusia tidak lagi mahu mendewa-dewakanmanusia, kerana mereka telah sedar bahawa kerja macam itu, adalah kerja sia-sia, apa lagi sesudah kita ketahui asal usul mereka yang didewakan itu sebahagiannya adalah manusia-manusia durjana, penyamun, kaki tangan penjajah yang telah membelakangkan bangsa dan negara semata-mata untuk wanita, takhta dan kuasa. Untuk mendapat dan mengekalkan kuasa, saudara mara tolak tepi.
Tidak ada lagi manusia-manusia agung, yang bersifat kudus, melainkan Allah, pencipta sekelian alam, ramai Yang berhormat Menteri-Menteri pun lebih kurang sama, tidak lagi dihormati seperti sepatutnya akibat salah sendiri, terikut-ikut dengan budayafeudal. Ada yang lebih penyangak dari penyamun.
Mengikut istilah Zahrin Mohd Yasin mereka ini lebih kurang macam tu aje. Pergi cari makan sama-sama, hasil yang dapat, tak bagi rata, itulah yang jadi kecoh. Kalau ulur dan gugur semua o.k.
Sebenarnya rakyat bukan yakin sangat dengan pemimpin 46. Biar pun ada dua tiga yang bekas pemimpin ada ‘Lord Presiden’ yang sudah jadi botol-botol kosong buat bising, orang tahu dulu masa duduk dalam kerajaan senyap. Bila datang musim gugur dan hulur barulah nak buat sibuk. Politik…
Cahaya kebangkitan Islam sudah bersinar di mana-mana. Umat Muhammad di mana-mana tidak lagi mahu mengikut guru-guru ketua agama mereka. Mereka mahu mengikut perjalanan Rasulullah yang sebenarnye. Ketua-ketua yang cakapnya tak serupa bikin telah menyesatkan umat Islam di seluruh dunia. Dalam Islam tak ada amalan “Do what I told you to do but don’t do what I do”. Itu amalan orang-orang murtad.
Setelah kewafatan Rasulullah ramai penduduk Arab murtad, kerana Islam masih belum meresapi sanubari mereka. Diantara mereka ada yang mengaku masuk Islam, tetapi tidak mempelajari dan memahami Islam. Mereka cuma menyatakan keislamantanpa keimanan. ‘Islamnya’ adalah semata-mata untuk menyelamatkan diri, mendapat nama, membolot kebendaan dan kuasa.
Mereka yang ketandusan iman seperti ini apabila dapat peluang seperti yang dilakukan oleh orang-orang munafik dalam Perang Tabuk, akibat menderhaka, berani mendabik dada sambil menyatakan “kami sudah beriman”.
Tetapi Allah meminta Rasulullah SAW menyatakan kepada mereka: “ Kamu belum beriman, tetapi kamu hanya boleh mengatakan kami menyerah diri (patuh tunduk) kerana keimanan itu belum lagi meresap masuk ke dalam lubuk hati kamu”.
Akibat kegagalan saudara-saudara menjalankan amanah Allah, akibat terlalu mementingkan diri dan keluarga serta puak-puak sendiri, akibat cinta dunia dan takut mati telah member gambaran kepada umat Islam, bahawa raja-raja yang berketurunan Islam di seluruh dunia Cuma boleh bermegah-megah, disebabkan mereka terkenal sebagai orang-orang yang terkaya di dunia sedangkan jutaan muslimin dan muslimat diseluruh pelusuk dunia hidup dalam keadaan sengsara. Kemiskinan dan kebuluran telah meragut nyawa dan iman mereka. Inilah kesinambungan Muawiyahisme yang bermula dariFiraunisme.
Fikirkan bezanya keadaan hari ini dengan zaman Muawiyah menjadi raja dahulu? Dan Abu Hurairah menjadi ‘ulamanya’. Alhamdulillah umat Islam sudah bangkit dari tidur yang lebih lama dari peristiwa pemuda yang tidur di gua Al-Kaffe.
Pembunuhan beramai-ramai dilakukan oleh raja Arab Saudi dan Kuwait sambil bersekongkol dengan Amerika, akibat kekebalan yang ada pada mereka, Tuanku-Tuanku patut nasihat dan suruh mereka buang kekebalan itu sama.
Semoga peristiwa berdarah di Memali yang telah berlaku semasa Datuk Musa jadi pemimpin negara dulu tidak berulang lagi, nasib baik ketika itu ada kertas putih yang telah memberikan Musa kekebalan seperti yang ada pada Al-Mutawakil dalam masalah menzalimi manusia. Semoga ianya menjadi peringatan dan pengajaran kepada mereka yang ada kuasa kerana pembunuh tidak akan nyenyak tidurnya.
‘Macbeth, Macbeth sleeps no more’
William Shakespeare
Allah menjadikan manusia untuk menolong antara satu dengan lain bukan suruh berbunuhan sesame sendiri. Inikan pula sesama Islam.
Muawiyah adalah orang yang mengaku sahabat Rasulullah SAW dalam masa yang sama telah melantik dirinya raja dan dengan menggunakan kuasa pedang memaksa rakyat menerima anaknya, Yazid sebagai Tengku Makhkota.
Pembunuhan dan penjenayah telah cuba mematikan Islam dengan menggunakan ‘kuasa kekebalan yang ada pada mereka’ adalah raja yang pertama dalam sejarah Islam yang menghapuskan sistem Khalifah. Keluarga Muawiyah yang telah membunuh hampir semua anak cucu Rasulullah SAW di karbala pada 10 Muharram, Hari Asyura.
Mudah-mudahan dengan terhapusnya kekebalan yang ada pada raja kita, maka akan hapus juga semua kekebalan yang berbentuk ‘Firaunisme’ yang ada pada Al-Malik-Al-Malik yang berada di negara-negara Arab.
Mudah-mudahan Islam akan bangkit semula seperti zaman kejayaannya dan semoga ianya dapat membawa keinsafan kepada raja-raja Islam yang lainnya dan mereka akan bersatu padu membangunkan umat Islam diseluruh dunia.
Alhamdulillah, Allah telah menghidupkan semula Islam di bumi Malaysia yang bertuah. Mudah-mudahan Allah akan selamatkan rakyat dan Negara kita dan umat Islam seluruh dunia.
Saudara-saudara yang bijaksana,
Memang sudah semestinya dalam sejarah sesuatu bangsa, satu perubahan, sama ada dengan cara evolusi atau revolusi pasti akan berlaku, kerana adanya kesedaran dalam pemikiran bangsa itu akibat dari kebijaksanaan dan keberanian pemimpin yang mempunyai visi untuk masa depan bangsanya.
Perubahan diperlukan dalam semua bidang penghidupan kerana ‘Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri’ dan atas kehendak rakyat dan dengan pertolongan Allah, perubahan yang tidak disenangi oleh Tuanku-Tuanku kini sedang berlaku di Negara kita. Dan saya percaya rakyat akan berjaya untuk menuju visi yang mereka telah tetapkan, iaitu Wawasan 2020.
Berpandukan kata-kata pemimpin agung Islam Saidina Ali Bin Abu Talib karamullah Huwajhah.
“Walaupun kita berada di pihak yang (batil) salah, kiranya kita tahu mengatur strategi, kita pasti akan menang.”
Inikan pula kita berada di pihak yang benar yang mahu mengembalikan maruahdan martabat bangsa kita seutuhnya.
Sama ade kita mahu mempercayainya atau tidak, Islam mengajar kita bahawa manusia itu bersifat (baharu) ‘hawadith’ dan yang baharu pasti tidak kekal, pasti akan binasa. Kekayaan dan kuasa tidak akan kekal dalam satu puak manusia buat selama-lamanya. Semua yang diatas tanah akan kembali menjadi tanah. Cuba menungkan kata-kata seorang sufi dibawah ini.
“Jika dunia ini dapat dimisalkan sebagai suatu kendi (yang dibuat daripada emas) yang rapuh dan lemah, sedangkan akhirat dapat dibandingkan dengan suatu kendi (yang terbuat dari tanah) yang tidak boleh pecah lagi kekal abadi, maka tentulah orang-orang bijaksana akan lebih menyukai yang kedua dari pada yang pertama.”
Dari surat Imam Al-Ghazali
Kepada Sultan Saljuq
Jika kekebalan ini tidak dihapuskan semasa Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri, apakah pemimpin sesudahnya akan mengekalkannya nanti? Apakah pemimpin sesudahnya berani? Biar bagaimanapun kita patut angkat topi kerana keberanian Mahathir mengeluarkan kita dari kepompong, dari selubung yang sudah terlalu lama menutupi umat Islam yang terlalu mementingkan dunia.
Busuk pemerintah, busuk ulamaknya maka busuk jugalah umat yang dipimpinnya. Mengikut hadith, rakyat di dalam satu Negara mengikut rajanya sebagai contoh, rakyat Saudi dibawah pimpinan Fahd, ramai yang menyerupainya terutama semasa berada di luar negerinya ibarat ikan yang sudah busuk kepalanya pasti perutnya juga akan pecah menjadi busuk.
Firaun berlawan dengan Nabi Musa a.s. adalah sebaik-baik teladan yang boleh kita pelajari dari Al-Quran. Begitu juga contoh terbaru dari Iran dimana Almarhum Imam Ayatullah Rohullah Khomeini, pemimpin agung Islam (Shiah) berjaya menjatuhkan raja segala raja yang dibantu oleh kuasa-kuasa besar dunia, kini Iran menjadi Negara Islam yang maju terutama dibidang ilmu yang telah ditinggalkan oleh baginda Rasulullah.
Segala-galanya di dunia ini adalah pinjam-pinjaman belaka. Kita manusia tidak lebih dari seorang pelakun di pentas sendiwara.
Apalah yang Tuanku sekalian hendak berkeras dan bertegang urat sangat dalam hal keduniaan seperti ini? Mati semua tinggal. Apakah saudara-saudara akan mati sepertiharimau mati meninggalkan belang, mati seperti haruan makan anak, atau seperti raja bersiong? Mudah-mudahan tidak seperti Sultan Mahmud mangkat dijulang atau raja-raja dizaman dulu dengan sejarah yang amat aib dan memalukan keturunan raja-raja Melayu.
Manusia disuruh memilih jalan ke syurga namun terserahlah…
“Sehari yang dihabiskan oleh seorang raja yang taqwa untuk menyelenggarakan keadilan, setara dengan enam puluh tahun yang dihabiskan oleh seorang suci untuk ibadah dan solat”
Sabda Rasulullah
Raja yang hendak selamat dunia dan akhirat mesti berpegang di bawah naungan Rasulullah SAW dan bernafaskan iman dan taqwa.
Rakyat di Malaysia umumnya dan bangsa Melayu khususnya telah menempuhi banyak daerah perubahan di sepanjang sejarahnya. Peri laku dan cara berfikir Tuanku patut turut berubah sama, barulah Tuanku dapat menerima apa yang berlaku dengan tenang dan penuh rasional. Kalau tidak tentu boleh sakit jiwa dibuatnya nanti, ini pun ada yang makan tak kenyang, tidur tak lena, berjalan pun dalam keadaan serba salahakibat malu yang amat sangat, sabar.. istighfar dan mengucap, tentu ada hikmat semuanya ini.
“dah cam no, arak pun Tuanku dan segala undang nak berniaga sama. Segala pasir, kerja potong rumput, AP, Kobis dan rezeki rakyat pun nak dirampas sama. Den dah kato, tak ada kojo. Ketua-ketua adat tak patut tak beradat, apalagi adat yang bersendikan Islam, kalau terasa sakit cepat-cepatlah cari ubat, terasa diri berdosa tunggu apa lagi, bertaubatlah. Itu namanya ajaran penebusan dosa dari Rasulullah SAW.
Cuba renung kembali kehidupan Tuanku sebelum dan sesudah merdeka. Kereta yang dinaiki, istana yang menjadi tempat kediaman sudah bertukar menjadi mahligai kayangan. Apakah ujian dari Allah ini telah menjadikan Tuanku sekalian seperti manusia yang lupa daratan? Seperti kacang lupakan kulit, membuang tongkat sesudah menyeberang jambatan? Inilah padahnya, baru sedikit Allah nak tarik sudah menggelabah. Di beri sebesar gunung minta lagi. Dengar cakap Pak Habib, jadilah manusia yang bersyukur dengan sedikit yang ada sebelum dilaknat Allah Ta’ala.
Ramai orang Melayu sudah tak percaya lagi bahawa mereka mentimun, dan Tuanku durian. Pada mereka kedudukan Tuanku kini sudah berubah menjadi tempoyaksesudah Tuanku terkoyak akibat pendedahan. Alangkah sedihnya bila timun sudah bolehmelanyak durian yang sudah jadi tempoyak. Aduh sakitnya.
Dimanakah kesucian jikalau raja yang mereka sembah itu misalnya “mati bergelumang dengan arak”. Dimanakah kewibawaan Raja jikalau undang-undang Negara tidak dipedulikan dengan merampas bukan haknya lagi?
Dimanakah kewarakan jikalau selepas sembahyang di masjid terus bermain judi dengan wang rakyat? Banyak mengabui rakyat sehingga konsep daulat seorang raja, dikeramatkan padahal daulat itu tertumpu kepada legitimacy, dengan izin, yang berasaskan kelakuan yang mulia.
Semoga surat ini dapat menimbulkan kesedaran kepada saudara-saudara bahawa tanah dan bumi yang diami ini bukanlah haknya malah ianya adalah hak rakyat dan makhluk-makhluk Allah.
Raja-raja bukanlah sebagai superhuman yang menjelma darireincarnation dewa-dewa. Raja-raja adalah manusia biasa yang ditabalkan oleh rakyat dengan janji dan sumpah seperti yang termaktub dalam sumpah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Pertama lagi yang digubal oleh Demang Lebar Daun. Janji dan sumpah diantara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun hanyalah satu kontrak sosial sahaja, bukan divine contract. Jikalau mana-mana Raja yang melanggar sumpah dan janji ini seperti ia mengaibkan rakyatnya yang disebutkan terang-terang dalam sumpah ini, iaitu contohnyamenampar rakyatnya, maka istana Raja itu akan terbalik ‘bumbung turun ke bawah, tiang naik ke atas’. Kiasan ini ialah kiasan bahawa Negara itu akan hancur.
Dr. Affirudin
Dewan Rakyat
Itu baru perjanjian antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba. Cuba kita perhatikan bagaimana pula raja-raja dizaman ini mengangkat sumpah, dan apa akan jadi pada mereka yang dimakan oleh sumpah yang dijanjikannya. Ingatkah Tuanku sumpah dengan menjunjung Quran tak boleh buat main-main?
Apabila seseorang raja ditabalkan, ia lazimnya mengangkat sumpah yang berbunyi: “Wallahi, wabillahi, watallahi.. beta akan memerintah seadil-adilnya” dengan menjunjung Qur'an di atas kepalanya.
Upacara ini berunsur Islam, dan menekankan dua perkara. Pertama, raja bersumpah untuk berlaku adil. Kedua, raja adalah dibawah kemuliaan Quran yang dijunjungnya dan oleh itu, tertakhluk di bawah hukum-hukum Allah yang terhimpun didalam Quran dan tidak mengatasinya.
Kesedaran rakyat yang mahukan perubahan secara drastic akibat dari ombak ketiga yang bukan saja telah merubah politik, ekonomi dan geography dunia secara global tapi ianya telah melibatkan negara kita yang menjadi tumpuan dan perhatian dunia.
Belum pernah rasanya berlaku dalam sejarah setelah merdeka Negara ini, semacam kebangkitan dan penyataan yang meluap-luap, rasa tidak senang terhadap perilaku pihak istana. Cerita-cerita yang selama ini tersebar luas di kalangan rakyat, yang dibisikkan dengan penuh waspada dari seorang ke seorang, kini terbongkar tanpa bendungan. Ianya sudah tidak dapat dikawal lagi seperti api yang memamah rumput kering dihutan gersang.
Kesedaran di kalangan rakyat ini terbangun secara serentak, tanpa mengira kaum dan kedudukan kecuali manusia-manusia yang hatinya ditutup oleh Allah.
Sekiranya setengah-setengah pihak berasa serba salah dengan isu “krisis perlembagaan” tidak lama dulu, sekali ini keraguan itu ternyata hilang walaupun ada yang mempersoalkan nawaitu Dr. Mahathir tetapi apabila mereka menyedari bahawa krisis yang berlaku hari ini sebenarnya adalah ‘krisis pemikiran’, mereka yang pemikirannya terbuka bangga terlibat menentang kemungkaran pihak raja-raja yang merosakkan bangsa dan negara.
Suara yang terdengar melalui media dan yang dibincangkan dengan hangat oleh pelbagai pihak, merupakan suara rakyat yang tulen dan jati, Namun Tuanku berhak menganggapnya sebagai permainan politik kerajaan untuk merebut kekayaan dan kuasa yang ada pada Tuanku untuk dibahagi-bahagikan sesame mereka.. terserah, katalah apa pun.
Penyamun Tarbus. Apa, mika ingat beta tak tahu?
Di Malaysia perubahan yang banyak telah kita alami setelah kurun ke-18 disebabkan pemerintahan kolonial Inggeris, dari segi ekonomi dan politik, tetapi ia mengandungi unsur-unsur moden yang kita perlukan sekarang. Dan yang paling ketara ialah apabila Mahathir mengambil alih kepimpinan negara.
Ratu Inggeris yang menjadi Berhala Besar kepada Negara yang pernah dijajahnya juga telah jauh berubah. Entah esok, entah lusa, England juga akan menjadi sebuah republik.
Perdana Menteri semasa membentangkan usul pindaan perlembagaan ada berkata bahawa kerajaan tidak berniat hendak menukar sistem yang ada kepada Republik, namun segala-galanya terserah kepada pilihan rakyat. Manusia boleh merancang, namun Tuhan saja yang dapat menentukan segala-galanya.
Saudara-saudaraku sekalian,
Apakah Sembilan orang raja yang sedang menduduki istana di Malaysia akan kekal sebagai raja pada tahun 2000 nanti? Mahathir selaku Menteri Dalam Negeri akan mengambil tindakan kepada sesiapa yang mempersoalkan institusi raja-raja? Ghafar Baba sebagai orang kedua menafikan yang kita sedang menuju kearah republik. Ini cakap-cakap orang politik. Mereka boleh buat apa kalau republik menjadi pilihan rakyat?
Dr. Mahathir bukan kuat sangat, jika sekiranya pengundi di Kubang Pasu menolaknya, ini bererti dia mesti bersara dan kembali sebagai seorang doctor biasa.
Dan jika ada pihak yang berani membongkar siapa Ghafar sebenarnya, apakah Ghafar masih boleh kekal dikerusinya? Dan tak mustahil Ghafar akan terjun botol akibatbola golf dipadang Sembilan lubang. Tidak ada manusia yang dapat lari dari Balasan Allah.
Apakah peluang Tengku-Tengku Makhkota dan Raja-Raja Muda untuk mewarisi takhta? Ini yang patut difikirkan oleh Tuanku kiranya Tuanku tak mahu berubah dan bagaimana hendak memujuk rakyat, supaya tidak memusuhi mereka. Kita sedar kenapa saudara-saudara semua sebulat suara tidak mahu menandatangani rang undang-undang yang mahu dipinda. Kasihan Tuanku yang terpaksa dalam keadaan di telan mati emak, diluah mati bapak.
Ini zaman manusia terpaksa memilih yang terbaik di kalangan terbilang bukan lagi mahu memilih yang terbilang dari kalangan yang terbuang. Kita jangan membiarkan rakyat terpaksa membuat pilihan. Akibatnya nanti institusi raja-raja terpaksa di pindahkan ke muzium apabila tidak ada lagi calun anak raja yang layak untuk dijadikan Ketua Agama mereka. Dan tidak mustahil Tengku Ibrahim dan Majid berperang merebut mahkota ayahandanya.
Tengok apa jadi pada Tengku Ali, Sultan Terengganu yang dihalau dari singgahsana dan mahkotanya diberi pada raja yang ada hari ini.
Mereka yang duduk dalam rumah kaca jangan cuba main baling-baling batu.
Saya faham, sudah menjadi kebiasaan raja-raja, sejak dilahirkan hingga mereka menghembuskan nafas yang terakhir, mereka tidak pernah ditegur, apa lagi dimarahi. Saya selaku seorang rakyat turut bersimpati dengan peristiwa saudara-saudara diserang oleh media massa dan media elektronik. Tapi ‘everything is fair in war’ siapakah yang telah mengisytiharkan perang?
Rakyat tak ada pilihan, Tuanku tak boleh rasa kecewa sekiranya mereka sedikit pun tidak memikirkan bahawa yang diserang, yang dikutuk, yang dicaci dan di cerca,dihina dikhalayak ramai ini adalah manusia yang luar biasa. Raja mereka sendiri ibaratmenepuk air didulang mercik ke muka sendiri juga. Inilah satu ‘self destruction’ yang telah dilakukan oleh orang-orang Melayu. Dapatkah kita menerimanya sebagai Qadak dan Qadar dari Allah? Tapi rakyat yang seperti orang sakit kencing manis, sebelah kaki terpaksa di potong untuk meneruskan hidup mesti dilakukan juga.
Peristiwa ini diibaratkan seperti orang sudah jatuh dibiarkan ditimpa tangga. Kemudian dijatuhkan pula pasu bunga di atas kepala, alangkah malu dan sakitnya. Kasihan tuanku –tuanku sekelian yang seluar katuk yang dilondehkan dikhalayak ramai. Apa nak buat, hari ni hari mereka.
Ampun Tuanku, satu dua ampun, rakyat hari ini ‘ribu-ribu ampun’ dah tak main lagi. Tak berdosa, tak bersalah, mintak ampun banyak-banyak sangat buat apa? Hutang ‘ampun’ rakyat yang Tuanku simpan sekian lama belum dibayar lagi. Kalau ada dividen macam ASN atau ASB sikit punya best. Tentu Melayu kaya lepas ni.
Terlebih dahulu, bagi pihak para penulis dan media massa, sekali lagi saya memohon maaf dari saudara-saudara, Tuanku terutama Yamtuan Besar Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Kelantan dan yang lain-lainnya.
Saya sedar mengata dan mengutuk orang ni berdosa tetapi ini ajelah caranya untuk menyelamatkan Tuanku sekelian dan Negara kita. Ini baru bunga dari kemarahan rakyat. Tengoklah bertapa bahayanya sebatang pena, maka ingat-ingatlah pena itu lebih berbahaya dari segala senjata terutama bila ramai sangat manusia yang macam Abdullah Munshi sudah menjelma. Dulu masa Pak Habib seorang saja Tuanku tak mahu membaca. Sekarang bacalah dengan nama Allah.
Bukan saja saya berasa sedih, namun ramai umat Melayu seolah-olah tak dapat menerimanya. Bayangkanlah bukan sekali dua, tapi hampir setiap hari, kalau tak kuat iman, tak kuat pendirian, boleh ‘game’. Sorry big brother saya pinjam bahasa ‘Mat Rock’ bukan Mat Bulat yang tak boleh bergolek lagi. Kesihan.
Kasihan Tok Mat, Setiausaha Agung UMNO yang sudah jadi ‘kuih bingka’, akibat mempunyai dua boss, Al-Mutawakil dan Mahathir dalam satu masa. Lain Kali pemimpin UMNO tak boleh duduk dalam jemaah raja-raja lagi.
Nak buat macam mana memang satu kebiasaan kepada sebahagian orang Melayu, cepat kasihan, cepat simpati kepada siapa saja yang mereka anggap terpukul berlebih-lebihan. Sebab itu timbul perasaan simpati dan marah, tapi lama kelamaan, bila mereka sedar bahawa apa yang disampaikan oleh pihak media massa adalah ubat yang terbaik bagi saudara-saudara. Rakyat tak kisah asal jangan melampau sudahlah. Rengan… rengan no problem.
Yang nampaknya akan membahayakan Tuanka ialah juak-juak dan botol-botol kosong yang akan menggunakan Tuanku sebagai senjata dan alat mereka. Kelemahan orang Melayu digunakan oleh puak yang sudah hampir terkangkang tunggu masa nak masuk longkang saja lagi, merekalah yang mengambil kesempatan, tanpa memikirkan perangai Melayu yang hangat-hangat tahi ayam dan tak suka berfikir secara serius. Sifat yang tak tegas, tak konsisten, cepat lupa, yang tidak disedari oleh Tuanku yang kini berada di dalam kecemasan, adalah perangai dan amalan orang-orang Melayu, bila terantuk baru nak terngadah.
Sesudah Tuanku semua kalah nanti mereka akan kata yang sudah, sudahlah, nak fikir apa lagi? Sebab itu sudah jadi sejarah. Sebenarnya Tuanku, yang sayangkan sangatkekebalan Tuanku itu ialah Ali Ali Baba dan kapitan kapitan. Tak kira bangsa Melayu ke, China ke, India ke tau Serani ke, sama saja yang memperniagakan kekebalan Tuanku untuk kekayaan mereka. Mereka makan isi, Tuanku cuma dapat tulangnya saja. Mereka inilah yang menggunakan orang Melayu supaya terus bergaduh sesama sendiri.
Raja-raja yang saya sayangi,
Hendak buat macam mana Tuanku, rakyat terpaksa bertindak melalui media massa dan media cetak, kerana mereka tahu dengan perantaraan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Besar, Tuanku bukan saja bo layan teguran dan nasihat, tapi ada masanya mereka kena peleceh aja. Tuanku tahu siapa mereka.
Kalau selama ini Melayu dibuat seperti anak anjing (patik) dan debu-debu di tapak kaki (duli-duli) apakah sekarang mereka akan peduli sangat apa yang sedang berlaku di dalam istana? Al-Mutawakil semasa membuli seorang anggota polis di Istana Pasir Pelangi memanggil anak buah Menteri Dalam Negeri anjing dan memanggil bapa anjing dan mencabar bapak-bapak anjing dari sejak jadi Tengku Mahkota hingga tercetus peristiwa Bukit Serene. Inikah akibat dari jiwa hamba yang masih tertanam dalam lubuk hati orang Melayu. Bilakah agaknya kita boleh duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan saudara-saudara semua?
Selama ini rakyat tak pernah dapat melihat apa yang berlaku di dalam istana. Tembok perpisahan antara raja dan rakyat sudah berlalu begitu tebal. Raja hidup macammerak kayangan,sedangkan rakyat seperti gagak di rimba, macam enggang dengan pipit. Padahal tangan-tangan rakyatlah yang menyuap Tuanku sekeluarga. Alangkah baiknya jika ada muhibbah dan silaturahim antara kita yang mengaku bersaudara, Allah Tuhan kita, Muhamad nabi kita dan Al-Quran kitab kita.
Kalau Tuanku nak murka pun murkalah. Bukan hari-hari rakyat dapat peluang nak marah raja, dalam seumur hidup inilah pertama kali dan mungkin terakhir.
Izinkan rakyat meluahkan perasaan mereka semoga Tuanku dapat memahami siapa rakyat Tuanku sebenarnya, tak kenal maka tak cinta.
Sebab itu Tuanku kena ingat, kepada siapa Tuanku nak murka? Kepada rakyat? Cuba Tuanku Tanya pada diri sendiri, Tuanku siapa dan rakyat itu siapa?
Bukankah rakyat itu raja dan raja itu rakyat? Ini baru pertama kali rakyat menunjukkan kemurkaan mereka, Tuanku nak marah tak patut, tapi kalau nak marah pun marahlah, tapi ingat…, kalau Tuanku marah ia boleh merbahayakan kedudukan Tuanku sekelian. Marah…?
“Marah nanti kena jual”
Ahmad Nisfu
Filem P. Ramlee
Tiga Abdul
Ingat-ingatlah Tuanku sekalian, kesabaran itu sebahagian dari iman, dan Allah berserta dengan mereka yang sabar. Banyak-banyaklah beristafar Tuanku. MengucapTuanku. Jika ada peluang bertaubat dan minta bantuan dari Allah dalam keadaan retak mencari belah macam ini, Tuanku tak ada daya dan upaya melainkan sujud kepada Allah, beristafar dam minta petunjuk.
Cuba bertenang dan jangan melatah, jangan cepat-cepat nak marahkan rakyat yang tak berdosa. Cuba cari punca bagaimana perkara macam ini boleh meletup? Cari jalan kompromi. Kalau tak ada api masakan ada asap. Apa salahnya sesekali cari salah sendiri. Sekuat-kuat manusia adalah orang besar yang mahu mengaku salah dan sanggup meminta maaf. Mustahil diantara raja tak ada yang buat salah.
Bukankah dahan juga yang boleh menumbangkan pokok? Biar bagaimanapun cuba ikut nasihat Rasulullah, jangan marah. Berlawan dengan keadaan marah boleh menghukum diri sendiri. Orang yang hendak selamat mengikut ajaran Rasullah jangan sesekali marah-marah.
Mengikut firasat Raja Azlan, Yang DiPertuan Agung:-
“Sejarah telah menunjukkan juga bahawa di setengah-setengah negara, takhta telah dialihkan dari istana dan ditempatkan di muzium untuk dijadikan bahan sejarah budaya”
Firasat seorang raja yang satu ketika dulu pernah menjadi Ketua Hakim Negara telah memberikan aspirasi kepada rakyat yang mahu berfikir, dan inspirasi kepada saya untuk menulis surat yang terpanjang kepada sembilan raja pada satu masa.
Terima kasih saya juga kepada seorang puteri raja yang sangat kontroversi akibat perkahwinan dan penceraiannya dengan Mike Tyson, Muhamad Taib Menteri Besar Selangor yang selalu buat kecuh dengan istana. Ku Yah yang banyak menjadi bahan dalam buku-buku saya terutama WANITA, TAKHTA DAN KUASA.
Keberanian Ku Yah, jiran saya di Kampung Janda Baik dalam mempertahankan ideologi Dr. Mahathir dan memperjuangkan aspirasi untuk memberi kesedaran bagi pihak istana biarpun tindakannya mendapat tentangan yang hebat dari istana, tapi dia tetap menentang arus, sanggup berjuang bersama-sama bekas suaminya.
Sekalung bunga untuk Ku Yah, anakanda Sultan Selangor, penerbit Majalah Wajah, yang satu-satunya puteri dari istana yang berani melibatkan diri bukan saja dengan kata-kata semasa saya mengadakan temu bual dengannya, tetapi dilahirkan di kertas hitam putih.
“Adalah juga satu perkara yang tidak wajar raja yang menjadi ‘payung’ kepada rakyat dan negara menyalahgunakan kuasa semata-mata kerana adanya peruntukan membabitkan kekebalan raja. Tidak timbul soal kekebalan kerana manusia ini sama saja disisi Allah. Perlembagaan oleh semua pihak tidak mengira darjat atau pangkat.”
Tengku Puteri Zahariah Bte
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
MAJALAH WAJAH
Januari, 1993
Saya percaya tindakan Azlan dan Nazrin telah mempengaruhi ramai anak raja yang rasional.
Semasa membuat ramalan tersebut, pandangan Raja Azlan adalah dari segi ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan. Yang Arif Raja Azlan menggunakan mata kepala beliau ketika itu. Dan belumpun lama bayang-bayang firasatnya telah menjelma manjadi kenyataan.
‘Prophecy’ dan kata-kata seorang raja mengikut bahasa istana ‘berdaulat’, mengikut kata orang tua-tua dulu Tuanku dianggap manusia “mulut masin”. Cakapnya menjadi satu kenyataan.
Kalau kita tidak boleh terpengaruh dengan kata-kata seorang “Lord Presiden”yang dengan tiba-tiba boleh jadi raja, kemudian dilantik pula menjadi Yang DiPertuan Agung, kita nak percaya cakap siapa lagi? Selaku seorang ahli firasat, saya yakin denganfirasat Raja Azlan. Baca bab senjata makan tuan sebagai bahan bukti.
Anakandanya Raja Nazrin, selaku Pemangku Raja Perak telah membantu untuk membuktikan firasat ayahandanya itu betul. Nazrin bangun membela rakyat yang dizalimi oleh seorang anak raja dari Johor.
Kedua beranak yang pada mulanya adalah rakyat biasa begitu juga dengan ibu Nazrin. Tuanku Bainun yang diangkat oleh Agung sebagai Tunku yang telah menimbulkan kemarahan pada ramai raja telah menjadi pejuang kepada rakyat.
Kalau bukan kerana raja dua beranak dari Perak ini yang berdiri teguh dibelakang rakyat, mustahil Dr. Mahathir berani bersuara besar dan memulakan perang dengan Bukit Serene dan istana keseluruhannya Che Det bukan kecil anak, dia sudah pegang raja cukup-cukup, baru dia bertindak. An ada raja lain yang bersubahat dengan diapun. Tapi depan raja-raja cukup lain pula. Nak hidup, Brother!
“Tiada satu sistem pun yang wujud pada zaman moden yang menafikan rakyat daripada hak asasinya dan kebebasan mereka,”
Raja Nazrin
Pemangku Raja Perak
Begitulah tegasnya anakanda Yang DiPertuan Agung dalam satu temu ramah tanpa menyebut peristiwa itu, tetapi difahamkan ketegasan itu dirujuk kepada tindakan Sultan Johor memukul jurulatih hoki Maktab Sultan Abu Bakar, Douglas Gomez baru-baru ini.
Raja Nazrin selaku Pengerusi Hoki Perak telah mencetuskan satu revolusi pemikiran antara raja dan kerajaan yang telah melibatkan rakyat jelata semasa baginda mempertahankan Penjaga gol negeri itu, Mohammad Jaafar Selvarajah Veloo akibat dipukul oleh putera Sultan Johor, Tengku Majid Idris sempena sukan SUKMA di Johor Bahru, Julai 1992.
Cerita Nazrin dan Selvarajah Veloo senyap bila timbul Sultan Mahmud dan Douglas Gomes di Bukit Serene. Apa lagi yang menjadi Presiden Hoki Malaysia adalah Raja Azlan sendiri, maka terjadilah ‘Battle of the Galaxy’, deng... de deng... Eh Eh dah macam wayang pulak.
Suara dari atas bukit bergema biarpun peristiwa ini bermula di atas padang bola hoki di Larkin, Johor Bahru. Kes Veloo dan Majid mati di situ saja, maka bermulalah satu episod yang baru.
Kalau kita mengkaji sejarah,kita akan dapati sejarah selalu berulang. Jatuhnya kerajaan feudal Melayu di masa lampau disebabkan perkara yang kecil juga. Sebagai contoh bola sepak raga yang terkena destar Raja Muhamad, akhirnya Tun Besar Tengah di bunuh.
Peristiwa itu diceritakan dalam Al-kisah Cetera Yang kedelapan Belas, Sejarah Melayu. Namun berapa kerat sangat kerabat di raja yang nak baca buku yang di tulis oleh Tun Sri Lanang, biarpun Tun Sri Lanang penglipur lara Istana. Apa lagi buku yang di tulis oleh Abdullah Munshi dan S.H. Alattas yang cuba mengingatkan istana sejak sepuluh tahun dulu.
Bertapa pada masa itu, permainan sepak raga menjadi kegemaran. Anak kepada Bendahara Paduka Raja iaitu Tun Besar bersama kawan-kawan sebayanya bermain sepak raga bulatan di jalan (lebuh) yang lapang. Malangnya raga yang disepak oleh Tun Besar terkena destar Raja Muhammad hingga jatuh ke tanah. Akibatnya Tun Besar dibunuh hingga mati.
Tengok bertapa tidak sportingnya anak raja. Sejak zaman dulukala hingga ke hari ini sebiji bola punya pasal, tak peduli manusia tumbang. Apakah mereka tak tahu membunuh itu satu dosa besar? Adik prebet Adam pun jadi mangsa Sultan Mahmud di padang golf Bola oh bola.
Benda-benda yang bulat dan bergolek ini memang bahaya. Bila agaknya Tuanku-Tuanku nak bertitah:
‘Sumpah tujuh keturunan, anak cucu beta tak boleh main benda-benda bulat yang merbahaya macam ini lagi’.
Kata Mamak teh tarik pada saya pula semasa diinterview mengenai bola hoki dan bola golf: “Mahu main bola kalu, sendiri punya bola mainlah. Orang punya bola, ramai-ramai main mesti banyak susah. Macam-macam sakit mesti mari.”
Ada ulama berpendapat kesalahan membunuh, berzina, mencuri merompak, khianat dan minum arak dimasukkan setara dengan kesalahan ‘jenayah murtad’. Antara yang menjadi sandaran mereka ialah dua hadis yang menegaskan: “Sesiapa menukar agamanya, bunuhlah ia” dan “tidak halal darah seorang Islam kecuali salah satu daripada tiga perkara; lelaki (yang berkahwin) yang berzina, membunuh dengan sengaja dan orang meninggalkan agamanya.
Fenomena murtad yang menimpa dunia Arab ini juga menimpa masyarakat Asia Tenggara, terutamanya Melayu Filipina. Sungguhpun ia berlatarbelakangkan sejarah kesultanan Islam dan bangsa Melayu, tetapi kini hampir hilang identitinya.
Setelah sekian lama Sepanyol menjajah, kemudian disambung oleh kerajaan Filipina menjadikan Kristian sebagai ideologi negara, hak orang Islam terhakis. Jihad “Moro” pimpinan Nur Misuari terpaksa diteruskan untuk mempertahankan kesucian dan akidah dengan menuntut Negara Autonomi Islam. Kita yang masih kuat ini leka bertelagah pasal apa?
Di Indonesia hampir 90 peratus daripada 180 juta penduduknya yang selama ini dianggap Islam mula dipertikaikan. Pada hal ada lebih kurang 40,000 diseluruh kepulauannya. Tetapi kepimpinan Islam masih tak menonjolkan walaupun semua raja-rajanya sudah dihapuskan.
Bekas tanah jajahan Belanda ini selain mengharungi proses Kristianisasi, Islam yang dianuti masih kuat dipengaruhi adat serta penyatuan unsur pra-Hindu dan Buddha yang dikenali sebagai ‘kejawen’. Malah kejawen sudah mendapat pengiktirafan secara tidak langsung dan dianuti oleh beberapa pemimpin negara Indonesia. Apakah kekebalanPak Harto jauh lebih kebal dari raja-raja di Malaysia hingga rakyat Indonesia tak dapat berbuat apa-apa?
Apakah mereka yang menunggu kelahiran seorang Mahathir di Indonesia? Menunggu kelahiran Imam Mahadi (Ratu Adil) sudah lama tak menjelma-jelma juga walaupun Arqam sudah berkembang disana.
Implikasi daripada sebiji bola, Raja Muhammad tidak dapat mewarisi takhta Kerajaan Negeri Melaka. Dan siapa tahu akibat beberapa biji bola, sejarah kejatuhan raja-raja akan berulang? Yang sudah pasti raja-raja di Malaysia akan kehilangan kekebalan mereka.
Akibat seulas nangka yang dimakan oleh isteri Laksamana Bentan, seorang manusia yang bernama Sultan Mahmud ketika itu menjadi raja telah membunuh ibu dan anak yang tidak berdosa. Inilah ‘Firaunisme’ yang berlarutan di negara kita.
Peristiwa Bukit Serene telah membuka sejarah lama dihati rakyat yang sudah luka ini berdarah semula. Kalau tidak dihentikan bahaya akhirnya.
Kalau kita selidik bola hoki, bola sepak raga, bola golf yang sebenar telor angsa dan seulas nangka ini cuma sebab saja. Sebenarnya adalah disebabkan sikap angkuh, sombong dan zalim yang keterlaluan, raja bertindak mengikut hawa nafsu. Inikah suratan takdir namanya?
Maka terjadinya Qadak dan Qadar sebagai pembalasan dan hukuman dari Allah hasil dari doa-doa manusia yang dizalimi. Akibat tidak dapat mengawal perasaan kerana merasakan diri “ Akulah raja dan raja boleh buat apa saja” telah membawa duka nestapa.
Saya tidak takut pada Tuanku sekelian sebab Tuanku pun macam saya juga, tak ada lebih tak ada kurang, kita jadi dari setitik air mani yang hina. Bila mati jadi bangkai yang sangat busuk. Apakah yang hendak dimegah-megahkan dan diagung-agungkan sangat? Kerana kita tak sedar diri, tak kenal diri maka iblis dengan mudah dapat menggoda dan membinasakan kita. Tapi kalau kita benar-benar takutkan Allah, seganas-ganas binatang di hutan belantara tidak akan mengapa-apakan kita. Inikan pula manusia yang keturunan yang sama macam kita.
Memang ulama ahlul sunnah di keliling Tuanku dan kerajaan kita sedang nyenyak tidurnya, namun tak boleh berdiam diri, kubur Tuanku kena jawab sendiri, lebih-lebih lagi Tuanku yang menjadi ketuanya. Mengikutkan kata Sultan Selangor yang sudah, sudahlah mulai hari ini:
“Kalangan ahli Dewan Diraja Selangor janganlah teragak-agak untuk menegur atau menasihati anggota kerabat diraja negeri agar dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik. Juga hendaklah menasihati anggota kerabat diraja yang didapati menunjukkan prilaku sumbang dan banyak mengadakan perundingan serta bersedia memberi nasihat jika berlaku apa-apa perkara buruk.”
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Sultan Selangor
MAJALAH WAJAH
Januari, 1993
Apakah Tuanku berfikir bahawa Melayu yang sudah didedahkan dengan segala macam keburukan sistem feudal dari zaman dahulu kala hingga ke hari ini mahu kekal menjadi pacal-pacal yang hina? Masih mahu kekal sebagai anak anjing dan debu-debu di bawah tapak kaki saudara-saudara sekalian buat selama-lamanya? Di India mereka tak main kasta-kasta lagi.
Rakyat yang sudah tahu bahawa raja-raja dengan sewenang-wenangnya telah membazir, dan memboroskan hasil jerih pekik dan titik peluh mereka mahu terus membiarkan kekebalan berkekalan ditangan manusia-manusia yang bersultan di hati beraja di mata berkekalan? Sebodoh lembu yang sudah terkeluar dari kandang susah nak dimasukkan semula.
Kalau belanja berpatut-patut tak apalah, ini sudah lebih. Kalau duit sendiri o.k-lah, ini hak rakyat. Masih ramai umat Melayu hidup di bawah paras kemiskinan. Raja membazirkan wang ringgit rakyat ikut sedap hati.
Mahukah rakyat kekalkan kekebalan yang ada pada raja yang hobinya anak-beranak, memukul, membantai orang sesuka dan sehendak hatinya, bukan satu, dua kes, yang tercatit 23? Apakah tidak ada kerabat diraja yang lebih elok dari mereka yang layak duduk di atas takhta menggantikan mereka?
Rakyat sedar bahawa yang mulakan kisah ini ialah Sultan Johor dan keluarganya saja, Itu dari segi kriminal. Bagaimana dari segi lain?
Peribahasa ada berkata, akibat nila setitik rosak susu sebelanga, akibat seekor kerbau membawa lumpur semuanya terpalit. Sultan lain tak garang dan kejam macam kerabat Johor tetapi apakah mereka baik dari segi lainnya. Kelakuan raja bukan saja orang Kampong, budak-budak yang belum berhingus yang ubun-ubun masih lembik pun sudah mula kritikal?
Rakyat sesudah memenangi pilihanraya umum tahun 1955 memilih sistemDemokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan kerana keadaan orang Melayu hidup ketika itu dalam keadaan daif, buta huruf dan serba kemiskinan akibat dari pemerintahanfeudal, dimana undang-undang tidak dapat dikuat kuasa, keadaan dalam negeri kucar-kacir dan keamanan tidak menentu 37 tahun yang silam. Itu dulu Tuanku, dulu lain, sekarang lain, tak percaya Tuanku dengar lagu Datuk S.M Salim yang terbaru Dulu Lain... Sekarang Lain...
Bila kita hendak berlawan tak kira dengan siapa pun, kita kena fikir, untung ruginya kita berlawan. Kita kena ukur kemampuan kita, jangan kita ikutkan nafsu akhirnya lesu. Ikutkan hati akhirnya mati. Ikutkan rasa binasa. Pesan orang tua-tua patut diambil kira.
Apakah sembilan raja hari ini mampu berlawan dengan 18 juta rakyat? Berlawan dengan Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri yang dipilih oleh rakyat bererti bergaduh dengan rakyat jelata.
Perlawanan ini bukannya sesuatu yang peribadi, ini bukan pergaduhan antara Mahathir dan Mahmud, ini melibatkan sistem, ini melibatkan kerajaan. Suka atau tidak, raja mesti mempertahankan sistem yang mereka pilih atau kembali saja ke zaman feudal.
Apakah raja-raja berkemampuan memerintah negara jika ditakdirkan mereka dapat kuasa dari tangan Perdana Menteri? Hari ini bukan saja sultan tapi juga kerabat diraja telah turun menemui rakyat minta mereka menyokong parti pembangkang? Saya rasa ada raja yang dah gian nak berpolitik.
Kalau raja-raja nak berkuasa dan berlawan dalam pilihanraya, bagus, tetapi mereka mesti meletakkan jawatan sebagai raja dan bertanding di dalam pilihanraya. Namun Sultan Kelantan dan Terengganu tak payahlah, takut ‘disqualified’, maklum sajalah.
Yang penting apakah Semangat 46 dan PAS sanggup berikan mereka kerusi PM dan kerusi kabinet kepada raja jika mereka menang nanti? Kalau masih nak jadi Wakil Rakyat biasa, buat apa?
Dan apakah mereka boleh berfikir seperti Dr, Mahathir? Kita sudah tengok Tunku, Ku Li dan Ku Din, masa jadi Menteri kabinet. Arwah Tunku anggap orang Melayu ini tak lebih dari kucing, baca surat Tunku dalam buku saya ‘TALKIN UNTUK UMNO’
Hendak berlawan macam mana? Mereka sama sendiri pun tak betul, tak bertegur sapa. Pasal bola sebiji, keluarga raja Perak berperang dengan keluarga raja Johor. Kerana bola sepak, kerabat Kedah dan Pahang berjauh hati, hampir tercetus perang dingin antara dua negeri. Macam budak-budaklah...
Dan bila Raja Azlan dilantik menjadi Agong. Tak pernah Sultan Johor menghadiri upacara negara melainkan menghantar Tuanku Bendahara sebagai wakil baginda dan di Johor beliau sendiri telah mengisytiharkan diri sebagai His Royal Highness the King of Johor.
Macam manalah orang Johor tak ego. Patutlah sesudah Musa Hitam letak jawatan, dia masih merasakan yang dirinya masih Timbalan Perdana Menteri dan orang-orangya tak pernah iktiraf Ghafar Baba, apa lagi Tan Sri Muhyiddin selaku Ketua Perhubungannya kena peleceh dengan budak-budak Musa. Musa masih merasakan diri Ketua. Macam mana UMNO Johor tak dihinggap ‘Sindrom Bisu’. Kesihan Bang Din, mana nak berlawan dengan pihak yang membalas dendam menghentam Mahathir habis-habisan. Selamatkah negeri kita kalau ego begini berterusan.
Tuanku,
Tanpa Tuanku sedari negara ini bukan lagi milik Melayu. Melayu biarpun rakyat majoriti 56% tetapi umat Melayu di bawah payung dan naungan Tuanku adalah umat dan rakyat yang masih hidup dibawah paras kemiskinan. Orang Melayu yang kaya raya selain dari Tuanku dan para kerabat masih boleh dibilang dengan jari, iaitu menteri-menteri dan kuncu-kuncu mereka yang tahu memperkudakan Tuanku sekelian.
Janganlah hendaknya kita biarkan sejarah berulang. Apakah Tuanku lupa nasib Tuanku sekelian dan umat Melayu semasa raja-raja menandatangani perjanjian diatas ugutan Mac Michel? Bila orang putih yang suruh untuk kepentingan mereka, cepat-cepat Tuanku tandatangani, Tuanku sain tetapi bila rakyat yang menyelamatkan takhta dan istana Tuanku, Tuanku tunjuk sombong, Tuanku main-mainkan rakyat. Mula-mula Tuanku kata setuju, kemudian berdalih, berbohong.
Tak kira siapa kita ini, sama ada raja, menteri atau pegawai tinggi kerajaan, selagi mulut kita dan keluarga kita disuap oleh tangan-tangan rakyat, kenalah kita beringat-ingat sikit. Jangan kita gigit tangan yang menyuap ke mulut, nanti “miss soru’, atau soru tergelincir, saya pinjam juga kata-kata rakyat.
Pak Menteri, Pegawai-pegawai Kerajaan dan raja serta kerabat mereka tidak tahu apa erti kehilangan sesuap nasi, apa erti kelaparan, kerana mereka hidup dalamkemewahan. Masalah mereka ialah memilih makanan dalam ‘menu’ jenis makanan untukdimakan, berbeza dengan rakyat, yang terpaksa memikirkan dapatkah aku sesuap nasi hari ini. Tahukah saudara masih ada orang yang hanya dapat makan sehari sekali dinegeri kita? Bila agaknya Tuanku sesekali turun, jadi rakyat, naik mini bas, tumpang tidur di rumah-rumah haram dan cuba memerah tenaga cari sesuap nasi dengan hasil titik peluh sendiri.
Biarpun setiap hari saudara melihat apa yang sedang berlaku pada manusia di Somalia, Sudan dan negara-negara Afrika, penderitaan rakyat di Bosnia, dan negara yang ditimpa peperangan dan bencana alam. Ia tak akan mempunyai erti apa-apa kerana sudah menjadi kebiasaaan manusia ‘berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul’.Sama seperti kita menunjuk warna kepada manusia yang buta. Mudah-mudahan Allah memberikan taufik kepada raja-raja dan para pemimpin kita yang hidup dengan membazirkan milik rakyat.
Apakah sesudah negeri kita menjadi seperti Bosnia, seperti Somalia baru kita hendak insaf dan bertaubat? Apakah kita tidak melihat bahaya kuasa-kuasa besar yang ingin melihat negara menjadi kucar-kacir supaya Amerika dan sekutunya England kembali memiliki kita? Mengucaplah Tuanku, beristafar, sebelum segala-galanya terlambat. Ini giliran saudara meminta ribuan ampun dari Tuhan dan datang kepada rakyat untuk meminta maaf dan menghalalkan harta rakyat yang telah dibelanjakan mengikut sekehendak hati.
“ingat-ingat Tengku; lagi akan ditanya Allah Taala pada hari kemudian akan segala hal rakyat itu kepada rajanya. Dan lagi, Tengku, bermula-mula yang masuk neraka itu segala raja-raja yang zalim ia atas rakyatnya... Maka janganlah Tengku kira orang yang menjadi raja itu terlebih besar dan terlebih mulia daripada rakyatnya melainkan orang yang terkecil lagi hina adanya. Iaitu hamba segala hamba Allah.
Kesah Pelayaran Abdullah Munshi
Sebelum saya mengakhiri warakah ini, memandangkan bulan Ramadhan sudah hampir tiba, sesudah itu muncul pula bulan Syawal yang mulia, Pak Habib menawarkan diri untuk meleraikan pergaduhan antara Istana dan UMNO. Marilah berdamai dan berbaik semula. Adat manusia memang tak sepi dari membuat salah dan silap. Lautan mana yang tak bergelombang, bumi mana yang tak di timpa dek hujan. Itu pun untung Tuanku-Tuanku semua yang jadi raja. Kalau kita entah macam mana?
Pak Habib tahu mereka macam suami isteri yang berpisah dan tak bertegur sapa akibat marah yang tak ketara, namun niat dihati masih nak baik semula. Lidah dan gigi lagikan tergigit, inikan pula dua institusi yang macam gergasi dalam satu telaga.
Marilah kita buang yang keruh dan ambil yang jernih. UMNO lahir dalam istana, dan bila mati pun, Al-Mutawakil juga yang menghidupkannya semula di dalam istana. Kenang-kenanglah kebaikan orang yang kita musuhi kita mahu berbaik semula.
Siapa lagi kalau bukan pemimpin UMNO yang diharapkan untuk meneruskan tradisi menjaga raja-raja. Bukankah mereka yang meletakkan semula raja-raja di tempatnya? Dan buat sementara dan satu ketika kepada siapa lagi raja-raja nak menyandarkan nasib mereka?
Fikirkanlah, kiranya perang dingin ini berlarutan, apa jadi pada anak cucu kita? Apakah satu hari nanti kita cuma sanggup berkata, bahawa pada satu masa dahulu negara kita ini adalah sebuah negara yang indah, permai, aman dan damai tetapi akibatkelalaian, kesombongan dan kezaliman kita, negara ini sudah bertukar menjadi padang jarak padang terkukur. Fikirkanlah sebelum nasi menjadi bubur, sebelum kita semuaberpindah ke dalam kubur.
Sekian, wabillah hi taufik walhidayat.
Yang benar,
Syed Hussien Alattas
Pondok Pak Habib
Wadi Al-Hussien
Kg Janda Baik,
Bentong, Pahang.
15hb. Rejab 1413
Bersamaan
6hb. Feb 1993.
No comments:
Post a Comment