Chat with Us LIVE!

Tuesday 8 May 2012

Al-Attas University of Life





Sebuah bas berhenti dihadapan gerbang tanpa pintu di University Of Life pada pukul 12.30 tengahari, 27hb. March 2012, saya berdiri menyambut 26 orang pelajar yang dipimpin oleh Tuan Aminal Rashid Mohd Hussien dari KYM. Itulah yang selalu saya lakukan bila menyambut tetamu. Menyampaikan sepotong ayat adalah tanggungjawab setiap orang Islam yang sudah hampir dilupakan. Begitu juga dengan memberi senyuman sedangkan ianya satu ibadah dan sunnah Rasulullah SAW.
Seperti biasa saya akan melayan siapa saja tetamu, tidak mengira agama dan bangsa sebaik mereka sampai ke dalam taman. Tuhan ibaratkan taman seperti syurga. Tuhan namakan syurga didalam Al-Quran dengan nama syurga Adni ‘garden of Eden’ syurga Firdaus.  Dalam syurga tidak ada kasta, sebab itu saya minta sama ada mereka bergelar Dato, Tan Sri, Tun, mahupun Permaisuri Agung kerana saya menpunyai ramai VVIP, Duta-Duta dari luar negara supaya  tinggalkan kebesaran dan keegoan mereka diluar sebelum masuk ke dalam taman dimana terdapat air sungai yang mengalir dibawahnya sebagai syurga seperti yang digambarkan didalam Al-Quran.

Saya tidak pernah menyiapkan apa yang akan saya sampaikan untuk tetamu yang berdiri didepan saya yang sedang kagum dengan keindahan taman. Di University Of Life seandainya mereka mahu memberikan pandangan tentang kehidupan selaku ‘khalifah Allah’ ayat-ayat al-Quran yang terdapat pada tumbuh-tumbuhan sebagai power untuk membentuk fikrah dan jiwa yang akan menanamkan aspirasi warga untuk mengelola diri terlebih dahulu dengan bijaksana, bukan sebaliknya. 

Di hadapan saya berdiri seorang kawan lama yang sudah saya kenal semasa mengelolakan anak saya masuk ke Maahad Az-Zaytun, Tuan Aminalrashid Mohd Hussain, pendidik yang telah mendapat kepercayaan dari Dato Saroni untuk mengelolakan kolej ini hingga memperoleh pengiktirafan antarabangsa dari Accreditation Service for International College atau ASIC dari United Kingdom, sebuah badan pengiktirafan bertaraf dunia. Saya tak boleh bercakap ikut sedap mulut saya.

ASIC yang mengiktiraf kolej ini bukan badan sebarangan, ia adalah sebuah badan penilai bertaraf antarabangsa yang bertanggung jawab membuat penilaian terhadap sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT), terutamanya IPT dari luar Negara. Apakah apa yang akan disampaikan oleh saya nanti boleh menambah nilai? Satu perkara yang pasti ialah setiap orang yang datang bercakap dengan saya insya Allah akan dapat buah fikiran yang membuat mereka melakukan anjakan paradigma.

Jika ASIC memastikan Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka ini memenuhi piawaian iaitu ‘standard’ yang ditetapkan supaya mutu dan kualiti pendidikan yang diberi oleh kolej ini ke taraf bertaraf antarabangsa. Ilmu yang mereka akan dapat di sini juga akan membuat mereka berfikir sebagai insan berjiwa mulia yang dipandang tinggi oleh ibubapa, kaum keluarga, jiran dan kenalan mereka.

“Hari ini insan yang menguasai ilmu dan mempunyai ijazah semakin ramai dan pada masa yang sama insan yang berilmu, bila sudah mendapat jawatan mula menyalahgunakan ilmu itu dengan melakukan penyelewengan dan penipuan turut bertambah.” Apa penyebabnya? Ramai golongan yang ilmu sekadar menjadikan ilmu pakaian luaran untuk mendapat pengiktirafan dan pengiktirafan yang diberikan kepada mereka yang ada ‘Scrool’ dari Menara Gading namun seringkali menyalahgunakan kuasa menjadi pemecah amanah dan lari dari tanggungjawab. Seperti ulama yang sanggup menjual ayat-ayat Al-Quran dengan harga yang murah untuk boss menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Selaku penulis dan pemikir kebimbangan yang ketara pada masa ini adalah apabila ditanya kepada pelajar IPT berkenaan sama ada mereka akan terlibat dengan rasuah, hampir 30% menganggap bahawa memberi rasuah sudah menjadi sebahagian daripada norma kehidupan dalam Negara kita. Rasuah sudah menjadi budaya kerana mereka dibesarkan dengan hasil rasuah yang diperolehi dari penjaga mereka. Ramai yang beranggapan bahawa kalau mereka tidak ikut serta dengan aliran yang sedia ada, mereka akan ketinggalan dan tak boleh hidup mewah dengan bergantung pada gaji bulanan mereka.

Role Model yang mereka lihat rata-rata adalah orang yang berbangga sambil menceritakan bagaimana mereka ini berjaya dengan ‘membeli’ orang jika mahu jawatan dalam politik atau mahu harta milik rakyat bertukar jadi milik mereka.

Dengan bangganya, mereka ini menceritakan bagaimana ‘seseorang’ itu dibayar untuk meluluskan sesuatu projek. Lebih mudah jika mereka ada ‘baju kebal’ dan ada hubungan dengan ‘wali syaitan’. Soalnya sekarang, bagaimana kita hendak ‘mencipta’ semula masyarakat kita supaya menjadi masyarakat berintegriti, bermaruah dan mempunyai nilai?

Adakah sistem pelajaran kita hanya baik untuk memperkenalkan huruf dan nombor tetapi gagal untuk mendidik manusia dengan nilai-nilai baik sejagat, menghormati ibubapa, menghormati jiran tetangga, menghormati guru-guru dan patuh pada undang-undang Tuhan dan Negara?

Sekolah dan universiti telah gagal untuk melahirkan manusia yang takut pada Tuhan, takut pada ibubapa, takut pada guru dan undang-undang. Manusia sudah tidak tahu malu bila melakukan keburukan, bermula dengan VVIP, Ketua-Ketua dan anak-anak mereka yang menjadi manusia yang tak tahu menghormati manusia lain, sedangkan ‘hablum minannas’ tanggungjawab sesama manusia sama penting dengan ‘hablum minanllah’ tanggungjawab terhadap Allah SWT. 
Kerana saya takut cakap-cakap saya seperti seorang yang merasa ‘letih’ bila membaca laporan di dada akhbar tentang kes rasuah, samun, rogol, dera yang berleluasa. Barangkali tidak lengkap rasanya akhbar harian kalau sehari tidak ada laporan tentang itu semua. Selaku seorang penganalisa politik dan pemikir, suka tak suka, saya terpaksa membaca akhbar pada hari ini, biarpun ada kalanya bosan.

Mahu melahirkan anak bangsa yang satu hari akan jadi pemimpin negara bukan mudah, kita harus berfikir besar, berjiwa besar, perlu ilmu pengetahuan, kena banyak membaca buku yang boleh mendidik jiwa dan rohani. Syukur saya terjumpa buku ‘Think And Grow Rich’ oleh Napoleon Hill dan ‘How To Win Friend And Influance People’ oleh Dale Carngi selain buku ‘Peribadi’ oleh Hamka. Hanya manusia yang kuat daya pemikiran dibidang kreatif boleh mencipta sesuatu pembaharuan. Selain membaca buku Tasauf Moden oleh Hamka.

Bagaimana mahu mengembalikan masyarakat yang rosak pulih menjadi baik? Bolehkah dengan sekadar ijazah kedoktoran semata-mata dari Universiti Al-Azhar, Universiti dari Mekah atau Madinah atau dari Universiti Islam Antarabangsa? Bagaimana mahu membuktikan Islam adalah agama rasmi Malaysia sebagaimana yang diharap-harapkan oleh orang Muslim yang tahu tanggungjawabnya sebagai khalifah sedangkan pelajar yang berdiri didepan saya ini ada yang penganut agama Hindu, ada juga Kristian, ada pelajar dari Sri Lanka yang tidak tahu berbahasa Melayu? Bolehkah kita serahkan kepada kehendak Allah sedangkan tanggungjawab itu telah Tuhan berikan pada kita selaku khalifah Allah? 

Kerana mereka ini dari Melaka teringat saya prinsip pokok dan akar di zaman pemerintahan Melaka menjadi kesultanan Melayu sebuah kuasa laut yang gagah dan menjadikan Melaka sebuah pusat perdagangan antarabangsa yang masyhur lagi disegani. ‘Pendek kata’ bukan Rosmah kata, biarpun Rosmah bini Najib, wanita pertama Malaysia orangnya pendek, tapi pandai berkata-kata ikut sedap mulut dia dan bila Najib kata “pendek kata” presepsi orang ramai ialah Rosmah yang kata dan orang tak mahu dengar apa yang Najib kata.

Perdana Menteri mahukan satu Malaysia, bagaimana mengajar anak muda mengenai prinsip perpaduan yang seperti akar dan pokok, seperti aur dengan tebing. Aur ialah bambu, pernah lihat akar pohon buluh? Tetapi tidak seperti api dengan kayu, seperti lagu dan irama o.k. Inilah yang akan menjadikan Melayu gagah dan cemerlang bila Melayu berani keluar dari pemikiran katak dibawah kaca. Cara hidup berbudaya seperti inilah juga yang perlu diterapkan ke dalam jiwa anak-anak Malaysia sebagai sendi kepada amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. 

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh yang ma’aruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman pada Allah.”

Al-Imran: 110

“Kerjasama dan hubungan antara pohon dengan akar boleh menjadi analogi yang amat asas dalam tradisi dan falsafah kepimpinan Melayu-Melaka dan mudah untuk difikirkan keunggulannya tetapi cukup praktikal, tanpa akar pokok tidak akan berdiri, tanpa pokok pula akar tidak akan hidup! Oleh itu, barulah masyarakat dapat hidup dan kerajaan dapat ditegakkan bila mereka jadi pemimpin negara nanti.” Seperti pepatah Melayu seperti ‘aur dengan tebing’.

Para pemuda hendaklah menyakini bahawa matlamat Allah SWT menciptakannya adalah untuk mengabdikan diri secara ‘mutlak’ kepada-Nya. Dia suruh taat pada perintah ibubapa, kenapa tak taat? Kenapa ingkar?

Apa yang nyata, berbakti kepada kedua-dua ibu bapa, bersikap mulia serta menunaikan hak-hak terhadap mereka adalah antara tugas yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam. Perintah mentaati keduanya jelas termaktub di dalam Al-Quran, (Surah Luqman, ayat 14) yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepadaku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada akulah tempat kembalimu.” 

Pekerjaaan tidak sama dengan karier, wang, pendidikan, jabatan, pengakuan dan lain-lain sebagainya memang penting dalam karier, namun bukan segalanya seperti orang Islam dengan orang-orang yang beriman, orang yang ikhlas. Jadi umat Islam itu penting kerana Islam adalah agama yang dipilih oleh Allah dan agama terakhir diatas muka bumi, tetapi lebih penting jadi umat Islam yang bertaqwa mentaati perintah Allah. 





“Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula), mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: “Ya Tuhanku, tunjuklah Aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya Aku dapat berbuat amal yang salih yang Engkau reda; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya Aku bertaubat kepada Engkau dan Sesungguhnya Aku termasuk orang yang berserah diri”. 

Surah Al-Ahqaf - ayat 15

Barometer yang paling penting dalam pekerjaan (karier) dan kehidupan ada dalam diri kita sendiri pada setiap orang. Pernahkah kita mengukur keimanan kita, sejauh mana kasih sayang kita terhadap ibubapa kita?

Pada akhirnya, hanya ada dua pertanyaan penting yang relevan dalam karier dan kehidupan: Apakah saya bahagia? Dan apakah saya telah melakukan sumbangan terhadap ibubapa, keluarga, jiran tetangga, saudara seagama, sebangsa, negara, dunia dan alam semesta terutama ibu? Lupakah kita yang syurga itu berada dibawah tapak kaki ibu?

Pernah seorang sahabat mengadu kepada Rasulullah mengenai perangai ibunya yang suka meminta-minta kepadanya. Baginda marah dan menempelak sahabat itu dengan mengatakan bahawa bukan saja dalam harta malah dalam dirinya sendiri ada hak kedua-dua ibu bapanya. Jelaslah ibu bapa mempunyai hak terhadap apa saja yang ada pada kita.

Sejak kita di dalam kandungan, ibu menanggung segala kesakitan dengan penuh sabar. Begitu juga setelah dilahirkan, ibu mengasuh dan menjaga kita dengan penuh kasih sayang. Jika kita sakit, ibu tidak lelap tidur. Mereka berkorban apa saja untuk kita. Tetapi setelah kita besar dan boleh berdikari, sanggupkah kita mengecewakan hatinya. 

Jawatan, pangkat, tempat kerja, wang adalah pelengkap pekerjaan, bukan pekerjaan itu sendiri, begitu juga pelengkap hidup anda perlu mendirikan rumahtangga mencari pasangan hidup seperti sama pentingnya agama, iman, ikhsan. Apa bukti anda sebagai seorang Islam tanpa iman dan ikhsan? Bagaimana hubungan kita dengan sesama manusia terutama ibubapa. Kebanggan atas karier berawal dari kejujuran kepada diri sendiri atas apa yang dirasakan dan keberanian untuk terus jujur. Pekerjaan seperti juga Islam sekadar alat atau kenderaan yang akan membawa kita ke satu tempat yang kita kehendaki, akhirat menuju ke syurga. Karier sepatutnya dijadikan tarikat, ilmu kerohanian dalam perjalanan mendekatkan diri pada Tuhan.
Oleh kerana besarnya pengorbanan ibu bapa terhadap kita, maka sewajarnyalah Allah mewajibkan kita mematuhi mereka. Itulah anak yang baik (soleh). Ganjaran di atas layanan kita terhadap ibu bapa dibalas oleh Allah tunai semasa di dunia lagi. Tengok apa jadi pada si Tanggang yang menderhaka pada ibunya? Anak yang  mentaati ibubapa mereka, anak-anak mereka juga akan taat kepada mereka. Sebaliknya jika kita menderhaka kepada mereka, anak-anak kita akan derhaka kepada kita pula. mahukah kita meneruskan kesinambungan keluarga sebagai anak durhaka? 

“Barang siapa ketika paginya mendapat keredaan ibu bapa, nescaya dibukakan baginya semua pintu syurga. Sebaliknya jika pada pagi lagi telah menyakiti hati ibu bapa, nescaya akan dimasukkan ke dalam neraka.” 

Ini adalah perkara yang penting saya ingatkan kepada pelajar-pelajar yang singgah di ‘University of Life’. Anak zaman ini jarang yang menghormati ibubapa, apakah kerana anak-anak diberi minum susu lembu, tidak susu ibu? Anak yang dijaga oleh babu bukan ibu. Anak cina makan pengat, sendiri punya diri sendiri mahu ingat.

Macam mana mahu menjaga hati dan perasaan ibubapa supaya tidak tersinggung ataupun disakiti kalau anak-anak tidak pernah didekati? Berapa ramai anak yang tidak taat perintah, suruhan dan larangan ibubapa kerana mereka anak terbiar, tidak pernah mendapat kasih sayang apa lagi perhatian, membesar sendiri seperti anak yatim piatu?

Berapa ramai ibubapa yang mempunyai ‘quality time’, masa istimewa untuk mendidik anak-anak supaya menghormati ibubapanya. Ibu yang pandai maki hamun, mengherdik dan melaknat anak dengan sumpah seranah jadilah anak seperti kata yang terkeluar dari mulut ibu.

Memang benar anak jangan sesekali  menderhaka kerana neraka tempat anak yang menderhaka terhadap ibubapanya. Namun siapakah yang menjadikan anak seperti Yahudi dan Nasarani kalau bukan ibubapa? Pendidikan pertama bermula dengan ibu.

Bagi mereka yang derhaka kepada ibubapanya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup ketika di dunia dan juga di akhirat. Selain itu, menderhaka kepada kedua-dua ibubapa bererti menderhaka kepada Allah SWT. Bagaimana jika anak yang dibesarkan itu seperti anak liar membesar dijalanan dengan kawan-kawan yang macam Ali Setan? Apakah tidak mungkin mereka jadi ‘wali setan’?

“Keredaan Allah daripada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” 

Hadis riwayat at-Tirmizi. 

Apa pun kita perlu ingat berbuat baik kepada ibubapa adalah antara ibadat yang dituntut dalam Islam sekali gus kita akan dapat menjadi penyejuk mata bagi ibubapa kita, lebih-lebih lagi apabila mereka melangkah ke usia emas. Seperti biasa saya suka adakan sesi soal jawab mengenai peribadi dari saya berlagak seperti pakar motivasi. Saya bertanya adakah mereka pernah menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh ibubapa sejak kita kecil lagi?  

Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya, aku bertanya Rasulullah SAW: “Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?” Rasulullah SAW menjawab : “Ibumu.” Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab: “Ibumu.” Kemudian aku bertanya: “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab: “Ibumu.” Kemudian aku bertanya: “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab, “Bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi).

No comments:

Post a Comment

A Closer Look.

Translate