Chat with Us LIVE!

Thursday, 2 October 2014

DINSMAN MEMPERKENALKAN SIAPA SH ALATTAS YANG SEBENARNYA



Che Shamsudin Othman atau Dinsman
Orang tengah sibuk bercakap tentang siapa yang menang jadi Timbalan Presiden UMNO menjelang Persidangan Agung 26 Jun 1981; semua surat khabar melaungkan gema pertanyaan dan kebimbangan Tengku Razaleigh atau Datuk Musa yang akan menang; tiba – tiba SH Alattas mencampakkan sebuah bukuk ketengah – tengah keributan itu, ketengah – tengah gelanggang peminat politik dan para perwakilan UMNO yang sudah berkumpul di Kuala Lumpur untuk membuat pilihan penting itu, dan buku itu dengan tegas dan penuh yakin bertanya: SIAPA SELEPAS MUSA?

SH Alattas penulis politik yang kontroversial dan terkenal kerana sifatnya yang sangat berani ini adalah seorang Ahli Firasat sebab itu beliau berani membuat ramalan yang dianggap tidak munasabah dan memeranjatkan pemerhati politik.

Inilah dia pemimpin yang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia. S.H Alattas (pengarang) bergambar dengan YB Datuk Musa Hitam sebelum perhimpunan agung UMNO Malaysia yang ke 32. Dengan izin dan kehendak Allah apa yang di tulis dan diramal oleh pengarang menjadi satu kenyataan, apakah S.H Alattas masih dianggap penulis irrasional? Kalau dituduh irrasional oleh pengkritik, terserahlah. Walau bagaimanapun, berapa ramai penulis yang dilabel sebagai penulis irrasional? 
Dipetik dari buku  Siapa Selepas Musa -1981


Kemesraan bukanlah kriteria untuk penulis, tapi kritik perlu untuk pemimpin.
Begitulah antara Syed Hussein dengan Mahathir dan Musa.

Hah! Siapa yang tak terperanjat. Pertandingan belum bermula, beliau sudah berani bertanya siapa selepas Musa? Gambar Datuk Musa Hitam terpampang di kulit depan bukunya di bawah gambar Dato Sri Dr. Mahathir. Apakah Musa sudah menang? Jawabnya waktu itu pemilihan belum dibuat, SH Alattas telah meramalkan Musa akan menang, dan Musa akan menang. Dan Pemimpin yang diramalkan selepas Musa iaitu Datuk Abdullah Ahmad Badawi menang kerusi Majlis Kerja Tertinggi dan kini menjadi Menteri Pelajaran dan sudah pun duduk di kerusi Naib Presiden.

Persidangan atau Perhimpinan yang bersejarah itu sudah pun berlalu. Tahulah kita kenapa buku itu tidak bertanya “Razaleigh atau Musa yang menang?” Dua ratus lima undi lebih untuk Musa bukan jumlah yang kecil. Siapa pun tak jangka sebesar itu kemenangannya. Tapi SH Alattas begitu sekali pasti dengan kemenangan Musa? Kerana beliau adalah seorang Ahli Firasat. Kita jangan terkeliru dengan seorang lagi penulis yang sama nama dengannya iaitu Proffesor Syed Hussein Al Attas dari Singapura, seorang pensyarah Universiti yang banyak menulis buku khususnya buku – buku sosiologi. Memang ada orang yang terkeliru. Jadi kita jangan keliru. Syed Hussein Alattas yang sedang kita bicarakan ini ialah Pak Belalang Moden.

Sultan Azlan Shah: Apa pasal you tulis buku mengarut-mengarut macam tu Profesor?
Prof. Syed Hussein: Eh! Itu bukan saya Tuanku.
Sultan Azlan Shah: You kan Syed Hussein Alattas?
Prof. Syed Hussein: Benar Tuanku, dalam Malaysia ini bukan ada satu orang saja Syed Hussein Alattas yang nama sama macam saya.
Sultan Azlan Shah: Itu Syed Hussein Alattas yang mana satu?
Prof. Syed Hussein: Itu Syed Hussein Alattas kawan baik Al Mutawakkil Sultan Iskandar, Tuanku.
Sultan Azlan Shah: Kalau macam itu saya faham.
(Dari buku Revolusi Istana dan Rakyat)
Contoh yang kedua, semasa Datuk Haji Suhaimi dan Anwar Ibrahim sedang bertanding merebut kerusi Ketua Pemuda UMNO 1982. SH Alattas sekali lagi membuat ramalan menggunakan ilmu firasatnya. Muka depan bukunya PEMUDA DIZAMAN MAHATHIR ada dua gambar. Anwar Ibrahim dan Datuk Najib. Pada hal yang bertanding Anwar lawan Haji Suhaimi, tepat seperti yang diramalkannya. Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pemuda dan Datuk Najib menang tanpa bertanding sebagai Naib Ketua. Begitulah yakinnya SH Alattas dengan ilmu firasat hingga sanggup mempertarungkan bukunya yang berjumlah ribuan ringgit.

Dan baru – baru ini beliau telah membuat ramalan yang Tun Mustapha akan kembali berkuasa, Harris Salleh akan jatuh, dan BERJAYA tidak akan berjaya lagi, dalam akhbar WATAN, beliau mengulangi ramalannya dalam bukuk ‘TUAH NASIB PEMIMPIN MALAYSIA’ yang terbit pada tahun 1983. Tepat seperti yang diramalkan. Tun Mustapha kembali berkuasa, Harris Salleh kalah dan berjaya gagal memerintah Sabah.

Hampir setiap ramalannya mengenai pemimpin politik tanah air menjadi benar, buku – bukunya dapat meramalkan dengan tepat semua kejadian politik. Beliau disegani bukan kerana ramalannya yang selalu tepat, tapi kerana beliau adalah seorang Penulis yang berpendirian dan Komited. Seorang penulis yang mempunyai sikap yang tegas dan berani, beliau dianggap sebagai penulis politik yang penting di negara ini.

Datuk Dzulkefllee, bekas Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, YB Pengeran A.K. Alludin,
ahli Parlimen bebas dari Sabah sedang membincangkan sesuatu hal
berkenaan masa depan Sabah dengan S.H. Alattas.
Gambar petikan dari buku ‘Temanku Pemimpin 1972

Pak Belalang Moden atau Ahli Nujum Moden ini mula menulis dengan majalah Filem Malaysia dalam tahun 1961, dengan nama samaran Pak Belalalang Moden. Beliau adalah penulis Melayu yang pertama menulis mengenai Astrologi, ilmu bintang dua belas. Ilmu Palmestri ilmu melihat tapak tangan di majalah seperti Berita Filem, Masa, Matika, Utusan Bumiputera dan lain akhbar.

Beliau adalah seorang yang ahli dalam ilmu Palmestri, membaca tapak tangan, hampir ribuan tangan para pemimpin dan pembesar negara di Asean telah ditelek. Termasuk para Sultan dan kerabat diraja. Lapangan ini juga telah menjajah ke seluruh negara Asia, Timur Tengah, Eropah sebagai seorang Ahli Nujum. Sudah menulis 12 buku – buku yang menjadi “Best Seller” buku pertamanya ialah FIRASAT disamping menulis cerpen, rencana dan sajak.

“Rahsia Mimpi Anda” (1961), bukunya yang ketiga, mengembangkan lagi identiti dirinya sebagai ahli nujum. Menegaskan lagi penggunaan nama samaran Pak Belalang atau Ahli Nujum. Dan seperti lazimnya seperti ahli – ahli nujum yang tradisional yang mempunyai hubungan rapat dengan golongan pemerintah, begitulah juga dengan Pak Belalang Moden ini. Dia mulai mengumpul kawan dari golongan pemimpin. Demikianlah pada tahun 1972 dia menghasilkan buku “Temanku Pemimpin – Pemimpin.”

Tapi Pak Belalang ini Pak Belalang Moden. Fungsi dan sifatnya jauh berbeza dengan fungsi dan sifat ahli nujum tradisional. Hubungannya dengan golongan pemerintah tak sama dengan hubungan yang terdapat antara nujum – nujum tradisional dengan golongan pemerintah mereka. “Temanku Pemimpin – Pemimpin” menunjukkan minatnya terhadap bidang politik dan kepimpinan.

Bukunya yang kelima. KENAPA ROSLI DHOBY DAN TIGA HERO SARAWAK DIHUKUM BUNUH?” (1975), menjelaskan lagi tentang perkembangan baru karier ahli nujum ini. Dia bukan sahaja membuat ramalan, tetapi juga membuat penyelidikan. Berasaskan konsep mengenal diri dia menyelidik mencari maklumat – maklumat untuk mengenali sesuatu secara lebih mendalam. Mempersoalkan sesuatu untuk mendapatkan kebenaran. Kerja seperti ini menuntut keberanian. Tuntutan ini memang ada pada dirinya. Risiko juga perlu dihadapi dan diterima. Akibatnya dia diharamkan masuk ke Sarawak. Kita tak perlu bertanya sebabnya kenapa? Salahnya apa?

Pak Belalang Moden tidak berserah kepada nasib. Dia juga bukan sahaja yakin kepada dirinya sendiri, tetapi juga kuat berusaha untuk mencapai kejayaan yang dimimpikannya. Ini terbukti melalui bukunya yang seterusnya, “9/10 Rezeki Dari Perniagaan” (1975). Dia tidak memperjudikan hidupnya. Dia berniaga. Sebelum menghasilkan buku pertamanya dia telah berpengalaman menjadi Pengurus jualan Grolier International Corporation, Preston Corporation dan Holiday Magic East bagi kawasan Selatan Semananjung. Semua buku – bukunya dijualnya sendiri. Buku Pertamanya Firasat, Tiga kali dicetak. Hampir 30 ribu naskah. Jadi konsep hidup berniaga dengan segala keperluan – keperluan berhubungan dengannya memperkuatkan konsep dan ilmu firasatnya.

Selepas berjaya menggemparkan golongan – golongan tertentu di Sarawak, pada tahun 1978 dia menggemparkan pula golongan – golongan tertentu di Melaka. Bomnya ialah buku “Perang di Kuala Linggi 1978”.

Minatnya terhadap politik semakin kuat.

Melangkah dan Berjaya. Itulah azam dan itulah matlamat. Penyelidik dan peniaga memang sukakan cabaran. Cabaran menjadi rangsangan. Beliau diharamkan masuk ke Sarawak, dia menulis lagi buku tentang Sarawak, “SARAWAK KEPADA SIAPA HENDAK DISERAHKAN?” (1979). Keberaniannya menyatakan pendapat dan pendiriannya semakin jelas. Dia kurang senang dengan pimpinan waktu itu. Dia banyak memuji Datuk Amar haji Abdul Taib Mahmud. Rupanya ramalannya benar – benar terjadi kemudiannya, sekarang Datuk Amar Taib menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Pelancaran buku ‘Pemuda Di Zaman Mahathir’ di sebuah Hotel di Kuala Lumpur. Penulis meramalkan Anwar Ibrahim akan menang Ketua Pemuda dan Najib Tun Razak akan menang Naib Ketua Pemuda tanpa bertanding. Hanya Akhbar Cina saja yang menyiarkan ramalan tersebut.

Bukunya yang terakhir sebelum “Siapa Selepas Musa?” ialah “Bahtera Lama Nakhoda Baru”. Dia seorang ahli nujum kini dia menjadi pemerhati politik yang rajin dan tekun, serta berani. Ahli Nujum moden ini yakin benar pada dirinya. “SIAPA SELEPAS MUSA?” PEMUDA DIZAMAN MAHATHIR, TUAH NASIB PEMIMPIN MALAYSIA, dan PERDANA MENTERI KELIMA adalah bukti yang cukup nyata. Dengan tegas dia mengemukakan pendapatnya, berdasarkan penyelidikan dan ramalan firasatnya. Itulah kelebihan SH Alattas sebagai pemerhati dan penganalisa politik; berkebolehan dan berpengetahuan dalam ilmu firasat.

Petikan dari 
Bacaria 
Oleh Dinsman
Keluaran 28hb. Julai 1985.

No comments:

Post a Comment

A Closer Look.

Translate