Chat with Us LIVE!

Thursday, 9 January 2014

TAN SRI TIANG SERI





TAN SRI TIANG SERI

Dari buku LAGENDA S.H ALATTAS






  Tan Sri Osman Saat


Kalau tidak kerana Baginda Sultan, Tan Sri Osman Saat belum tentu boleh jatuh dari tempat duduknya yang sudah mempunyai akar tunjang yang begitu teguh. Pokok tua yang tegap, besar dan rendang sangat disayangi oleh ramai orang terutama ahli UMNO dan para pegawai kerajaan yang tumpang berteduh dan makan buah-buahannya. Banyak baiknya Pak Seman ini, kalau tidak masakan boleh jadi Menteri Besar di bawah empat Perdana Menteri.

Osman Saat mula menjadi ahli UMNO pada 11 Mei 1946, menjadi Wakil Rakyat dari tahun 1954 hingga 1982. Pada tahun 1974, setelah 20 tahun berturut-turut jadi yang Berhormat, dia minta berhenti dari menjadi Menteri Besar tapi Allahyarham Tun Razak mahu dia meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar. Masa Hussien Onn jadi Perdana Menteri, dalam pilihanraya 1978 Osman Saat pernah minta berhenti tapi Hussien Onn mahu dia terus jadi Menteri Besar.


                                                          
        Tun DR Mahathir Mohamad


Tahun 1982 dia hendak berhenti lagi. Kata Mahathir, berhentilah. Sultan Mahmud sudah pun memberi arahan suruh kosongkan pejabat. Rakyat pun ramai yang mahu dia berhenti.

Setelah 14 tahun dia jadi Menteri Besar, 28 tahun sebagai Wakil Rakyat, dia sudah jadi seperti seorang gergasi. Selain dari Tun Mustapha, dialah Menteri Besar yang terkaya di Malaysia. Rakyat tidak senang dengan kekayaannya. Orang politik lain cemburu, mahu jadi kaya macam dia juga. Inilah antara sebab dia mula bosan jadi Menteri Besar. Kalau dia tidak jadi Menteri Besar pun dia memang kaya dan sudah kaya pun.

Kekayaan, pangkat, kuasa dan darjat tidak boleh dicari oleh manusia. Ini semua pemberian Allah. Ramai ahli UMNO para Yang Berhormat, terutama EXCO kerajaan yang mahu jadi Menteri Besar. Tapi janganlah hendak jadi Menteri Besar, yang terus kehilangan kerusi Yang Berhormat pun ada.

Peristiwa arahan Sultan Johor supaya Tan Sri mengosongkan pejabatnya adalah peristiwa yang memulakan jatuhnya seorang Menteri Besar. Ekoran dari peristiwa itu pergolakan politik Johor jadi tambah meruncing dan ia menjadi isu besar akhbar-akhbar tempatan. Orang-orang UMNO, juga pegawai kerajaan yang pernah menumpang tuah Pak Seman, jadi serba tidak kena.

Rauf yang dulunya Datuk, sekarang Datuknya sudah kena rampas, mula menggelabah. Tan Sri sudah tidak jadi Menteri Besar, Setiausaha Peribadi yang dulu bukan main eksyen pandang manusia yang tidak boleh beri dia apa-apa keuntungan, yang datang hendak jumpa Tan Sri, dia pandang macam beruk tengok orang. Kalau hidup makan gaji, tumpang tuah Menteri, janganlah berlagak lebih Menteri dari Menteri, Inilah jadinya.

Dulunya saya pernah kata pada dia: Hidup ini bukan lama sangat, kalau hendak selamat: beringat. Awak tidak tahu siapa sebenarnya yang datang jumpa awak. Awak tidak tahu apa kuasa yang ada pada manusia tersebut. Awak fikir awak yang berkuasa. Kalau awak tidak lepaskan orang tersebut tentu dia tidak dapat jumpa Menteri. Awak tidak tahu hubungan manusia tersebut dengan Menteri, hubungan manusia tersebut dengan Allah SWT.

Nah, sekarang apa jadi? Saya masih menulis juga lagi, dan janji saya pada awak dalam buku ini, biar cerita awak dan cerita Budak Yusuf bekas Setiausaha Datuk Rais Yatim itu jadi contoh pada Setiausaha-Setiausaha yang lain. Apa yang awak buat pada orang kampung, ahli UMNO dan manusia yang lain itu, Tuhan tidak suka. Saya fikir Pak Seman pun kurang senang  dengan perangai awak.

Langkah Baginda Sultan mengambil semula pejabat Menteri Besar yang pernah menjadi pejabat Sultan di masa pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim (nenda Baginda) adalah wajar, kata setengah pihak, sekiranya betul pejabat itu menjadi hak kepunyaan Baginda.

Pejabat Kerajaan kepunyaan rakyat. Sekarang pejabat itu tidak digunakan oleh Sultan. Ia dibiarkan kosong begitu saja. Sultan boleh buat apa dia suka. Siapa boleh tegur? Dia Raja Johor. Tapi ramai juga member tidak seronok Sultan buat perangai macam itu.

Bila seseorang Sultan, menurut kebiasaan negeri-negeri di Malaysia, tidak mempercayai seorang Menteri Besar yang mentadbirkan negeri di bawah naungannya, itu adalah alamat awal Menteri Besar itu tidak akan panjang usia pemerintahannya. Paling lama hanya buat sementara waktu sehingga seorang Menteri Besar baru yang sealiran dengan Sultan tersebut dilantik.

Perbuatan yang luar biasa macam ini, menghalau Menteri dari pejabat kerajaan kerana hendak duduk sama sepejabat dengan Menteri, kerana kononnya Almarhum nenda Baginda pernah berpejabat di situ, membuat rakyat rasa kecewa. Rakyat sekarang semua sudah pandai cakap: Dulu lain, sekarang lain.



Sultan Muhammad V
Rakyat suka Sultan yang ada sifat kemanusiaan dan sifat kerakyatan.


Rakyat suka Sultan jadi Imam di masjid, baca khutbah macam yang Baginda pernah buat semasa mula menjadi Sultan dulu. Baginda pernah mengingatkan rakyat dalam khutbah baginda di Masjid Jami’ Sultan Abu Bakar Johor Bahru pada 15 Mei 1981, yang kebetulan saya hadir disitu. Beginilah antara lain bunyi khutbah baginda.

Saudara-saudara sekalian.

Kita suka mengingatkan kembali kata-kata Saiyidina Abu Bakar Al-Siddiq ketika berucap selepas dilantik menjadi Khalifah yang pertama Katanya:
Saudara-saudaranya sekalian. Aku dilantik menjadi pemimpin kamu, sedangkan aku bukanlah orang yang paling baik diantara kamu. Maka sekiranya kamu dapati aku berada di atas kebenaran. Maka sokonglah aku. Dan sekiranya kamu dapati aku tak betul, maka betulkanlah aku.
Taatlah kamu kepadaku selagi aku taatkan Allah dalam menjalankan tugas-tugasku kepada kamu. Maka sekiranya aku derhaka kepada Allah maka janganlah kamu taatkan daku.
Sebenarnya orang yang paling kuat pada pandanganku ialah orang-orang lemah yang dirampas haknya, sehingga aku dapat mengembalikan hak-hak itu kepadanya. Dan orang yang paling lemah pada pandanganku ialah orang-orang yang kuat yang mengambil hak orang lain, sehingga aku dapat mengambil hak-hak itu daripadanya.

Saudara-saudara sekalian.

Kita mahukan rakyat kita sekalian memberikan nasihat dan buah fikiran sekiranya didapati apa-apa yang kita jalankan itu bertelingkahan dengan hukum-hukum Allah dan RasulNya serta adat istiadat Melayu, kerana keteguhan, keamanan dan kemakmuran negeri ini hanya dapat dicapai dengan semangat persaudaraan, muhibah, bersatupadu, muafakat dan rasa tanggungjawab setiap anak negeri ini melaksanakan tanggungjawab masing-masing, biar di mana saja, dengan ikhlas, amanah, jujur zahir dan batin.

Ini sumpah dan janji seorang Sultan, Ulil-Amri di dalam rumah Allah di hadapan ratusan rakyat di atas mimbar. Dan adalah tanggungjawab setiap orang Islam mengingatkan saudaranya seandainya saudaranya tersilap. Saya mempunyai hak untuk mengkritik pemerintah, kerana Islam menggalakkan kritikan membina, apabila pemerintah melakukan kesalahan. Saya akan gagal dalam kewajipan saya sebagai seorang Islam jikalau saya tidak menegur pemerintah kerana kesilapannya.

Bila Sultan menghalau seorang Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat, yang membuat kerjanya dengan betul mentadbir negeri dan membawa kekukuhan kepada parti dan kerajaan keluar dari bilik yang sudah didudukinya selama 14 tahun, tentulah perbuatan Sultan itu memalukan Menteri Besar dan rakyat.

Bagaimana kalau Tan Sri Osman Saat ikutkan hati marahnya dan menentang Sultan? Bukan tidak pernah terjadi rakyat menderhaka kepada Raja kerana mengikutkan hati. Pepatah Melayu: ikutkan hati mati, ikutkan nafsu lesu, ikutkan rasa binasa. Tentu Johor akan menjadi huru-hara. Tapi kerana taat setia orang Melayu kepada Raja masih menebal di jiwa, masih patuh pada pesan Laksamana Hang Tuah “Pantang Pahlawan Menderhaka”,  kerana ada orang keliling Pak Seman berjiwa kambing, tidak berani bercakap pada Tuanku, “Ini macam kerja tidak betul” maka tercatatlah sejarah di negeri Johor, Sultan yang sepatutnya duduk dalam Istana merebut kerusi di pejabat Menteri Besar. Sultan sudah melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh baginda. Ada orang kata ini semua silap para penasihatnya; kalau tidak masakan Tuanku mahu berbuat begitu.

Tuanku Sultan pun manusia biasa macam kita juga. Bumi mana yang tidak ditimpa dek hujan, lautan amana yang hendak bergelora. Anak cucu Adam mana yang tidak membuat silap dan salah?

Nasib baik marah Ketua Perhubungan  UMNO Johor yang mempunyai ahli seramai 200,000 itu tidak merebak kepada ahli parti. Kalau tidak tentu susah Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri hendak menyelesaikan masalah sebesar ini. Alhamdulillah, segalanya sudah selesai.

Jasa Pak Seman pada UMNO Johor sangat besar. Dulu ahli UMNO Johor Cuma 20,000 orang. Pak Seman adalah pemimpin UMNO yang telah menambahkan ahli sebanyak 10 kali ganda. Begitu punya kuat pengaruh Osman Saat, dia masih juga mengalah. Dia tahu tidak guna menentang. Waktu ketika nasib sedang malang, buat apa pun semua rugi, ada saja yang tidak betul.  Baik bertenang, kerana air yang surut satu hari nanti akan pasang juga, bila sampai waktunya. Lagi pun Pak Seman tahu Mahathir dan Musa bukan suka sangat dengan dia. Sebab mereka suruh dia letakkan jawatan Ketua Perhubungan UMNO Johor  dan akhir sekali Musa suruh dia bersara dari jadi Timbalan Ketua Perhubungan. Kononnya Mahathir yang suruh. Jawab Pak Seman: Suruh saja dia berhenti dari UMNO, itukan lebih baik lagi. Lebih baik Pak Seman bawa diri dan bersembunyi diam-diam, kalau hendak hidup senang.

Cerita Tan Sri Osman Saat ini bukanlah cerita antara Menteri Besar dengan Sultan sahaja. Ini cerita antara Raja dengan rakyat. Ada rakyat yang hairan Rajanya yang berkhutbah di sana sini suruh rakyat bersembahyang, suruh rakyat taat pada agama, boleh membuat kerja yang tidak sepatutnya dibuat oleh seorang Raja yang pandai berkhutbah.
Berkata benarlah kamu sekalipun pahit. Dan berkata benarlah kamu walau terhadap dirimu sendiri. Hadith Nabi.

Adakah kamu menyuruh manusia berbuat baik, sedangkan kamu lupakan diri kamu sendiri? Firman Tuhan.

Kalau Sultan boleh halau Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat dari pejabat kerajaan kepunyaan rakyat, itu bererti Sultan sudah tidak menghormati hak rakyat dalam sebuah negara demokrasi. Bagaimana pula kalau nanti rakyat tidak menghormati Sultan mereka?

Tapi ada rakyat yang angkat topi sama Tuanku. Kata mereka Daulat Sultan Mahmud saja yang boleh mengalahkan ilmu dan kekuasaan yang ada pada ‘Godfather UMNO Johor.’ Lain dari Tuanku Sultan Mahmud janganlah cuba-cuba main-main dengan Pak Seman. Sampai hari ini pun Pak Seman masih handal. Cuma dia buat perangai seperti harimau yang menyembunyikan kuku. Kalau kita tengok muka Tan Sri Osman Saat macam muka ‘harimau’. Mengikut kajian firasat dia memang handal orangnya.

Apa boleh buat? Dalam keadaan begini orang yang begitu punya baik dengan Pak Seman, yang dulu macam adik beradik, macam saudara, sekarang sudah jadi macam ‘pokok keledek’. Sembunyi  diri. Apa tidaknya, sudah berisi sudah kenyang, takut nanti kena curi. Yang macam ‘saudara’ sudah berubah jadi macam ‘kura-kura’. Bukan kaki tangan saja bersembunyi, kepala pun tidak boleh nampak. Dasar ‘hendak hidup’! Inilah cara hidup ‘baik-baik orang politik’. Ada muslihat, baik; kalau tidak boleh menguntungkan lagi, serupalah macam peribahasa ‘Kenal-kenal cina: Lu sapa gua sapa.”

Kawan dan pengikut sudah mula cari lain tauke. Semua hendak selamatkan diri. Kalau adapun yang berani, boleh kira dengan jari. Lagipun mereka bukan boleh buat apa, negeri ada Undang-Undang dan Perlembagaan Inilah dia yang dinamakan hukum Karma.

Dalam keadaan begini barulah Pak Seman tahu, yang mana satu pengikut yang jujur dan yang mana satu political opportunist dan siapa ‘ musuh yang bersembunyi dalam selimut’. Rupanya ada ‘pisau blade dalam sapu tangan,’ seperti kata pepatah orang tua-tua dulu. Di perkampungan politik susah hendak cari orang yang jujur, ikhlas, amanah. Yang cekap ramai, yang ligat putar alam pun ramai. Masing-masing hendak hidup. ‘Penipuan tidak timbul, yang penting siapa yang lebih pintar.

Cerita Menteri Besar tak suka Sultan dan Sultan tak suka Menteri Besar ini satu cerita benar. Tentu ada sebab kenapa Sultan tidak suka Sultan. Gajah sama gajah bergaduh pelanduk bodoh mati tersepit. Kalau pelanduk pandai dia tidaklah duduk di dalam gelanggang gajah sama gajah yang sedang bergaduh.

Waktu dan ketika inilah bintang Musa yang sedang terang mula menjadi lebih bersinar. Setiausahanya orang Segamat itu pun dijadikan Menteri Besar Johor yang pertama bukan orang Muar. Kalau tidak jangan mimpi orang yang bukan orang Muar boleh jadi Menteri Besar atau orang kanan politik. Sebelum ini mengikut istilah Razak, ‘Muar Mafia’ menguasai politik Johor. Orang Muar kebanyakannya pandai belaka. Para intelektual dan pegawai Tinggi Kerajaan serta ahli-ahli politik kebanyakannya berasal dari Muar.  Muar adalah satu daerah yang melahirkan ‘Brain’ dari johor.

Rakyat tidak berdiam diri. Rakyat bercakap dan berbisik-bisik di kampung-kampung dan di kedai-kedai kopi. Tiada siapa yang berani nasihatkan Baginda yang sedang murka? Tiada siapa yang berani tegur melainkan Yang Teramat Mulia Tunku.  Rakyat Johor khasnya dan Malaysia amnya ucapkan terima kasih pada Tunku. TUNKU ‘THE PRINCE’ ‘THE FREEDOM FIGHTER.’

Bacalah tulisan-tulisan Tunku dalam kolumnya di suratkhabar The Star atau Watan, antaranya pada keluaran 5 oktober dan 19 Oktober 1981 (Star) atau 9 Oktober dan 23 Oktober 1981 (Watan) Cuma Tunku yang berani beri amaran macam itu pada Sultan. Orang lain dah kelam kabut, dah menggelabah.
Inilah karisma Tunku. Karisma seorang bapa, seorang ayahanda. Kedudukan hak-hak keistimewaan dan kedaulatan Raja-raja boleh tergugat kalau mereka masih mahu bermain kuasa seperti zaman dulu-dulu. Tunku beri nasihat pada Tengku. Bukti Tunku yang berjiwa rakyat. Jadi, dia memberi nasihat: “Before such a thing happens I would advise the rulers to call a conference immediately and discuss the situation and give advice to the rulers concerned on what should be done to resolve the dispute…”

Ini negara demokrasi, kata Tunku. Yang berkuasa dan yang memerintah ialah rakyat. Zaman Sultan memeritnah dan berkuasa mutlak sudah lama berakhir. “The powers of the Sultan are limited and their rule in the legislature of each state is infinitesimal or symbolic.” Sultan-Sultan memang mempunyai hak dan keistimewaan tertentu, ‘but the power to rule this country resets solely and entirely with the people whose represantatives are elected to parliament and State Assemblies.”

Pertama, kata Tunku: “This came about when the present Sultan was appointed succesor to the throne of Johore in place of the Tengku Mahkota without the knowledge of the Menteri Besar. This, no doubt was wrong because the Menteri Besar, being the excutive head of the state has the right to know of a change ion the order of succession, although the law of the state gives the Sultan the absolute power to appoint his succesor. Ever since then, relations between the ruler and the Menteri Besar could be said to have deteriorated.”

Sultan ada kuasa mutlak untuk melantik penggantinya. Menteri Besar ada hak untuk mengetahui. Tetapi Sultan telah melantik penggantinya di luar pengetahuan Menteri Besar.  Salah sultan atau salah Menteri Besar di sini? Saya tak mau jawab. Ada cerita lain lagi di sekitar itu. Biarlah kedua mereka yang menjawab.




Sultan Mahmud Iskandar

Tengku Mahmud bukan sebarang Sultan. Dia seorang Sultan yang ‘ternama’. Mana ada anak raja lain dalam negeri ini yang berani buat apa yang dia sudah buat semasa dia jadi Tengku Mahkota dulu. Kalau dia tidak suka orang yang membuat salah, dia sepak, dia tidak peduli. Dia anak raja Johor. Siapa di antara anak Johor yang tak kenal Tengku Mahmud yang dulunya jadi Raja Muda Johor. Saya berani tulis ini kerana saya tahu ada dua tiga orang kawan saya yang pernah kena sepak dengan dia.

Tengku Mahmud Iskandar, Sultan yang ingin menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Agama Islam di samping menjadi khalifah bersembahyang, berkhutbah, dia juga mahu jadi hero.

Kalau dulu dia boleh sepak orang sekiranya dia fikir orang itu salah, atau dia tidak suka kerana tidak tahu adab sopan, apakah tidak mungkin satu hari nanti Datuk Ajib Ahmad Menteri Besar sekarang pun akan disepak dan ditamparnya? Itu saja yang saya bimbangkan.

Apakah tidak mungkin satu hari nanti Ajib juga akan dihalaunya, kalau Ajib tidak taat pada perintah Sultan? Sedangkan Tan Sri yang begitu kuat kedudukan, begitu pintar, berisi luar dalam, teguh dan kukuh macam gunung tak ada orang boleh goncang kedudukannya , dia boleh halau dari pejabat kerajaan; inikan pula Ajib yang belum ramai penyokong atau hulubalang. Ini yang menjadi satu tanda tanya yang bermain di kepala mereka yang tahu politik Johor.

Sekarang ini pula Ajib sudah Sultan bawa naik kapal terbang melawat kawasan. Orang tengah sayang semua elok belaka.

Bagaimanapun kalau satu hari nanti Datuk Musa terjadi Perdana Menteri Sultan suka semua anak Johor taat pada baginda. Ingat! Datuk Musa, peribahasa Melayu: “Kerja Raja dijunjung kerja sendiri dikelek,” kerja rakyat apa jadi? Apakah tidak mungkin Musa akan dihalau dan dibuang negeri, seperti yang pernah berlaku pada zaman Almarhum Sultan Ibrahim dulu? Menteri Besar yang menderhaka kena buang negeri. Apakah tidak mungkin sejarah berulang kembali?

Apakah peristiwa Tan Sri ini berhubung juga dengan kenyataan: “Munculnya Mahathir sebagai tokoh utama tanah air telah membawa petanda kehancuran dan berakhirnya zaman perjuangan politik generasi tua UMNO?”

Sejauh mana benarnya kenyataan itu terserlah pada para penganalisa politik untuk membuktikannya. Yang jelas bila Mahathir muncul, satu demi satu pejuang politik tanahair dari generasi tua mulai tenggelam. Mahathir boleh dihadiahkan pingat yang setingginya oleh orang muda dalam UMNO yang mahukan seluruh pucuk pimpinan diambil-alih oleh orang-orang muda yang ideologi mereka pada satu ketika dulu dianggap ideologi kiri.

Osman Saat yang dianggap sebagai gergasi dalam UMNO itu pun turut tenggelam di zaman Mahathir,  tanpa menghancurkan UMNO Johor, tanpa menimbulkan sebarang kucar-kacir dan Osman Saat sendiri telah memberikan sokongan kepada Mahathir. Ini satu kebolehan Mahathir yang luar biasa dipandang dari kacamata manusia biasa.

Tun Hussien Onn berjaya menjatuhkan Harun, tapi gagal menghapuskan pengaruhnya. Harun jadi tambah kuat bila dikurung dalam penjara. Harimau yang telah luka itu jadi tambah garang dan ganas dan telah menimbulkan suasana kucar-kacir dalam UMNO. Akibatnya Hussien Onn sendiri menjadi korban. Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang disanggupinya. Berani buat berani tanggung. Hussien Onn telah dilatih sebagai seorang tentera, dan taktik tentera ialah berperang “Kill or be killed.”
Apa perasaan Tan Sri Osman Saat dan para pengikutnya melihat negeri Johor diambil oleh golongan muda yang belum tentu lebih baik daripadanya? Osman Saat tenang, sentiasa bersikap tunggu dan lihat. Orang tua veteran politik ini tidak mudah melatah, kerana dia tahu Mahathir tidak membunuhnya. Sesudah menerima kekalahan dalam pemilihan Majlis Kerja Tertinggi 1981, Mahathir lantik dia menjadi salah seorang ahli Majlis Tertinggi. Mahathir ahli politik yang bijak. Dia mahukan kerjasama Osman Saat di Johor. Membunuh Osman Saat bererti mematikan UMNO Johor.

Saya tidak terkilan Osman Saat jatuh dari kerusinya, kerana setiap yang naik ke atas mesti turun. Cara dia dijatuhkan pun saya tidak hairan, kerana ini permainan politik. Di perkampungan politik macam-macam boleh jadi. Tipu-menipu, jatuh-menjatuhkan, fitnah-memfitnah dan tikam-menikam dari belakang,  kawan main kawan menjadi perkara biasa. Yang saya rasa sedih ialah bila Osman Saat jatuh dari kerusi, Sultan Mahmud rampas balik bintang kebesaran yang telah dianugerahkan oleh Almarhum Sultan Ismail yang membawa gelaran Datuk kepada Pak Seman.

Kasihan Pak Seman! Nasib baik masih ada Tan Sri padanya. Kalau tidak, alangkah susahnya rakyat yang sudah bertahun-tahun panggil dia ‘Datuk’ tiba-tiba nak panggil dia Pak Seman; walaupun panggilan ‘Pak Seman’ itu lebih berharga, kerana orang tertentu dan istimewa padanya saja yang boleh panggil dia Pak Seman.

Bukan saya seorang  yang merasakan apa yang Sultan buat pada orang tua Pak Seman itu tidak patut, ramai rakyat Johor yang turut bersedih, terutama ahli UMNO yang tahu jasa Pak Seman. Ini contoh dan teladan kepada orang yang beriman. Pangkat, gelaran dan kekayaan cuma pinjaman. Bila Tuhan hendak ambil balik sekelip mata boleh hilang. Cintailah apa saja di dalam dunia, anak isteri, kekasih, pangkat, darjat dan kekayaan, satu hari pasti kamu akan terpisah dengan apa saja yang kamu cintai, melainkan cinta kasihmu pada Allah Yang Maha Esa. Sekali engkau cintai Aku seribu kali Aku mencintaimu, kata Tuhan.

Inilah cara Allah, menguji kita semua. Janganlah hendaknya kita jadi manusia yang hidup dalam kerugian, kerana firman Tuhan: “Demi masa dan waktu, manusia sentiasa berada di dalam kerugian, melainkan mereka yang beriman.”

Perbuatan meragut bintang di dada orang ini bukan saja memalukan seorang Bekas Menteri, melukakan hati seorang hamba Allah, tapi memalukan Sultan sendiri. Cerita Sultan ambil balik bintang ini macam cerita budak-budak. Kalau ikut cerita orang tua-tua dulu, barang yang sudah diberi kalau diambil balik buruk siku. Lagipun yang beri bintang dulu bukan Sultan Mahmud, tapi Almarhum ayahandanya.
Semoga ada pembesar negeri Johor yang berani menasihati Sultan mengenai perkara dan masalah bintang kebesaran negeri Johor, yang nilainya nampaknya sudah mulai mengecil.

Datuk Harun sudah masuk penjara kerana kes rasuah, Sultan Selangor tidak tarik balik bintang Selangor. Begitu juga dengan Mokhtar Hashim, mahkamah sudah menjatuhkan hukuman gantung kerana kesalahan membunuh, Yang Dipertua Negeri Sembilan tidak ambil bintang darinya.

Cuma Sultan saya saja bila marahkan pembesarnya tarik balik Datuk-Datuk kurniaan Almarhum ayahandanya. Berdosa orang yang menjatuhkan air muka orang. Dan kerana perbuatan Sultan yang begitu, timbullah simpati rakyat kepada Bekas Menteri Besarnya. Kita orang Islam kalau marah orang pun, tidak patut sampai begitu sekali. Sultan ada hak marahkan rakyatnya yang bersalah, macam bapa marahkan anak. Tapi bukan begini caranya. Lagipun Sultan adalah lambang Islam dalam negeri. Nabi kita suruh kita berbanyak sabar dan sentiasa memberi maaf.

Antara sebab jatuhnya seorang Menteri Besar ini dimulakan oleh Razak Ahmad, orang kuat P.S.R.M, musuh besar Osman Saat, “Hero Rakyat Marhaen Johor”. Bertahun lamanya Razak Ahmad menggugat dan mencabar Menteri Besar. Razak pernah disimpan dalam lokap. Anak muda dari parti ‘Tanduk Seladang” ini macam seladang juga semangatnya, degil dan tidak makan saman.

Hendak dijadikan sebab, jatuhnya Menteri Besar ialah kerana tanah. Allahyarham Haji Hassan Yunus bekas Menteri Besar dulu pun jatuh kerana sebab tanah juga. Arwah Haji Hassan seorang ulamak kaum muda kelulusan Azhar, Menteri Besar pertama yang dipilih oleh rakyat, tapi kini sejarahnya telah dilupakan begitu saja, macam batu jatuh ke dalam air. Ramai rakyat Johor hari ini yang tidak tahu siapa Haji Hassan Yunus.

Razak seorang sosialis yang dikatakan kawan baik Sultan Mahmud; kawan baik Musa Hitam juga. Kata orang, kalau Razak masuk UMNO sudah tentu dia boleh jadi Menteri Besar. Dulu dia pernah berkerja di bawah Musa. Sampai hari ini pun dia masih berbaik dengan Musa.

Siapa tahu nanti Mahathir dan Musa boleh bawa Razak masuk UMNO. Sultan sukakan Razak. Razak seorang sosialis yang budiman, penuh sopan santun dan adab bahasa dan boleh diterima oleh pihak istana. Rakyat Johor ramai yang sayangkan Razak. Tentulah dia boleh menjadi Menteri Besar Johor yang ideal. Sekarang ini pun dia sudah berbaik semula dengan Pak Seman yang secara kebetulan saudaranya sendiri.

Kalau Anwar Ibrahim yang dulunya menghentam UMNO jadi Ketua Pemuda kemudian Menteri dan arwah Rahim Bakar bekas Menteri Besar Pahang yang berjiwa sosialis boleh diterima oleh UMNO; tidak mustahil arwah Razak Ahmad diserapkan ke dalam UMNO. Itulah istimewanya UMNO.

UMNO hari ini pun sudah membuka pintunya kepada ramai orang kiri, orang yang terang-terang berjiwa sosialis, yang bergerak dalam parti yang dulunya menentang kerajaan. Ideologi UMNO berubah mengikut musim dan waktu.

Cerita jatuhnya seorang gergasi UMNO ini juga berkaitan dengan tulisan pena seorang wartawan. “Pena itu lebih tajam dari pedang.” Dan pena Adam Hamid mengandungi racun. Dulu dia tidak putus-putus menghentam arwah Osman Saat, hingga dia pernah ditukar kerja dan dihalau keluar dari negeri Johor. Kini dia menjadi Setiausaha Politik arwah Datuk Ajib Ahmad. Datuk Musa memang pandai; kalau dia tidak beri Adam Hamid kedudukan yang istimewa mungkin Adam Hamid nanti lanyak Ajib macam mana dia lanyak Pak Seman dulu. Beginilah lakunan manusia di dalam perkampungan politik. Orang yang cerdik pandai jangan biar mereka lapar. Huru-hara pemerintahan dibuatnya. Dan orang yang bodoh jangan biarkan mereka terlalu kenyang, negeri pun akan jadi huru-hara juga. Lu fikir la Bro!

Ikuti kisah seterusnya dalam buku bertajuk LAGENDA
Email ke alxsunilife@gmail.com untuk pembelian.

No comments:

Post a Comment

A Closer Look.

Translate