Chat with Us LIVE!

Monday, 16 July 2012

Lanun, Penyamun Jadi Muridnya


Sambil menghirup ‘sipping’ udara yang segar, nyaman dan bersih dinaungi oleh langit biru yang cerah dan begitu indah, aku ‘bahagia, tenang, damai’ kerana dikelilingi oleh tumbuh-tumbuhan yang beraneka warna dengan daun dan bunga-bunga ‘flora dan fauna’ di taman yang digambarkan di dalam Al-Quran sebagai syurga Firdaus Naim Adni, ‘the garden of Eden’, seperti dalam filem ‘The Lost Horizon. Ayatullah Taqi Misbah Yazdi tokoh filasuf dari Iran ketika minum pagi bersama saya di Gazebo tepi sungai mengatakan bahawa taman ini boleh diibaratkan sebagai satu sudut syurga di dunia. “Gambaran syurga adalah air sungai yang mengalir di bawahnya”. -  Al-Quran.  Di dalam syurga tidak terdengar perkataan bohong dan sia-sia. Jiwa penghuninya tenang dan damai.


Alhamdulillah..... saya menarik nafas mengingati Allah SWT ikut hidung ‘Allah’ dan menurunkan nafas perlahan-lahan ikut mulut ‘Hu’. Alangkah nikmatnya hidup ini ketika kita masih boleh bernafas, kita lakukan solat ‘daim’ berhubung dengan Allah setiap saat ketika nafas masih turun naik sebelum orang membacakan “inna lillahiwainna ilaihirajiun”. Dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali. “From dust to dust”.

Cuba bayangkan apa ertinya semua yang saya bina ini jika saya tarik nafas, hembuskan, tarik lagi nafas, nafas terhenti disitu tanpa mengucap ‘lailla haillallah Muhammadar Rasulullah’. Alangkah ruginya saya jika tidak pernah memainkan peranan saya sebagai ‘khalifah’ dan ‘hamba’ Allah dalam satu waktu semasa bernyawa. Apa guna bila nama sudah tertinggal ke belakang Arwah Pak Habib, jasad sudah bersatu dengan tanah baru nak beribadat, sudah lambat. Lu fikirlah Bro.

Kita hidup di dunia ini hanya sekali dan kita ada perjanjian dengan Tuhan kita semasa dalam alam arwah, “tidak ku sembah selain Engkau Ya Allah”. “Alastu birabbikum qalu bala shahid na”. Berapa ramai yang terfikir yang hidup ini hanya tiga saat, tarik nafas, turun, tarik tarik tak turun turun lagi? Masa, anak, isteri, harta itu dipinjamkan, ianya amanah bukan hak asasi kita. Kita hidup dalam waktu yang dipinjamkan. Ego mengajar kita “my house, my car, my son, my wife, I, me, my”. Tuhan letak kat mana? Lu siapa Bro? Saya terfikir ilmu ‘hakikat’ ini sambil memerhatikan  ikan di dalam kolam, apakah apa yang ada dalam fikiran ini boleh saya sampaikan pada para pelajar yang akan tiba sebentar lagi? Bila terfikir tentang ikan, yang melihat hanya keadaan dalam air dan tidak diluarnya, teringat saya akan manusia yang hanya mampu melihat dan merenung hidupnya dari lahir ke liang lahat, tidak tahu akan hakikatnya sebelum lahir, dan arah tujunya sesudah mati.

Jam 10.00 pagi, 18hb. Februari 2012, seramai 40 orang pelajar lelaki dan perempuan dariComrade Club Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) berkumpul di Alattas University Of Life (Unilife), Wadi Hussien, Janda Baik. Mereka datang dengan bas dan beberapa buah kereta. Saya mengingatkan diri saya, kita datang dari yang satu, pandang pada yang ramai, ingat pada yang satu, ingat pada yang satu, jangan lupa pada yang ramai”, sama pentingnya tanggungjawab terhadap yang ramai dengan yang satu “hablum minnallah, hablum minannas”. Seperti biasa setiap pelajar yang datang saya hormati dan melayan mereka seperti anak sendiri dan saya senang ketika berdialog dengan mereka. 



“Wahai hamba-KU ! Bukan Aku ciptakan kamu daripada Adam a.s untuk memesatkan muka bumi ini dengan anak cucumu sahaja! Dan bukan bertujuan supaya kamu bermesra dengan-Ku; Dan bukan untuk memberi sebarang bantuan kepada kamu apabila kamu tidak berdaya mengerjakan suruhan-Ku. Dan sebenarnya Aku ciptakan kamu semua hanyalah supaya kamu mengingatkanKu dengan sebanyak-banyaknya, mengabdikan diri sepanjang hidupmu dan bertasbih kepada-Ku di waktu pagi dan petang.

Hadis Qudsi

Saya usahakan taman ini sejak saya beli 25 tahun yang lalu untuk mendirikan pusat pertemuan para intelek, para budayawan seperti di Taman Ismail Marzuki di Jakarta (TIM), seperti Pusat Budaya Almarhum Rendra di mana kita adakan pembacaan puisi, tarian dan pementasan drama. Kita ini dari satu rumpun bangsa, bangsa Nusantara. Dari kayu-kayu terpakai (recycle), begitu juga dengan bahan binaan yang lainnya, seni bina, landskap, arkitek dilakukan saya seorang diri sebagai makhluk berdaya cipta. Bukankah itu yang dikehendaki oleh Pencipta supaya kita berbakti terhadap insan yang lain? Selain berkarya sebagai seniman kita perlu melakukan kerja-kerja seni bina. Sampai bila kita mahu tumpang romance masa lalu kehebatan seni bina Islam di Cardoba Granada di Spain?

Saya yakin dengan kekuasaan Allah biarpun tanpa bantuan moral atau kebendaan dari sesiapa melainkan Dia. Bila datang pertolongan dari-Nya berbondong-bondong manusia akan mengikuti kita. Saya ingin jayakan Alattas University Of Life seperti Goenawan Muhamad Editor in Chief Tempo dan kawan-kawannya di Hutan Kayu, Jakarta kemudian mereka berpindah ke Salihara. Siapa tahu ada teman-teman yang nanti akan membantu untuk menjadikan tempat ini pusat pertemuan para pemikir dan ahli falsafah dunia. Insya Allah.


Tujuan Club Comrade dari UIA ke mari untuk melahirkan ‘pendakwah’, mereka mahu berdakwah kepada orang Asli, itu kata Zulfikar, Presiden Kelab. Ianya satu niat yang murni, memang setiap umat Islam mesti menyampaikan hatta sepotong ayat. Tetapi orang yang mahu berdakwah mesti merdeka, tak boleh bergantung hidup pada orang, disebaliknya orang ramai perlu bergantung hidup padanya sebab itu dipermulaan Islam hamba abdi dibebaskan. Ini pun tujuan saya hidupkan Alattas University Of Life, saya belajar dari Socrates ahli falsafah Yunani sekitar 470 sebelum masihi masih tetap dipelajari kini. Socrates merdeka tak terhutang hidup pada sesiapa, dia berani mengatakan jangan menyembah berhala. Perjuangannya disambung oleh Plato, semuanya dapat kita baca dalam karya Plato ‘Republic’. Selain itu biografinya turut ditulis oleh Xenophon dan falsafahnya mencapai kematangan pada gergasi dunia falsafah Aristotle. Dia tak takut dihukum mati kerana kepercayaannya. Pada jam-jam sebelum sempat berfalsafah, merumuskan bahawa jiwa manusia itu tidak turut mati dengan jasad. Ini kerana kalau roh itu terdiri dari besi akan kalah pada karat, kalau kayu kalah pula dimakan anai-anai, akan tetapi kalau rohani juga sifatnya, mestilah ia berterusan hidupnya. Dengan kepercayaan inilah Socrates meminum racun hemlock dengan berani meskipun lembaran sejarah tidak menyatakan dia seorang Muslim dan fikirannya tidak berlandaskan tanzil atau wahyu, keberanian beliau menghadapi kematian seharusnya menyedarkan kita, kerana bagi kita hari akhirat sebahagian aqidah yang dipegang berasaskan ilmu.

Berdakwah hari ini sangat mudah, kita hidup dalam dunia tanpa sempadan pada mereka yang pandai menulis guna blog, facebook, twitter, tak payah buat kacau di jalanan, bikin susah sesama manusia. Musuh paling berbahaya ada dalam diri setiap manusia, yang kaya guna harta menawan hati fakir miskin seperti yang dilakukan oleh Garib Nawaz di Azmeer Sharif atau ikut Sultan Ibrahim Adham atau Buddha. Dua raja tokoh sufi yang berjaya mendidik jiwa manusia dengan membuang cinta kebendaan kepada alam kerohanian. Dunia memerlukan pendakwah untuk kembalikan manusia ke fitrah asal mereka sebagai khalifah yang berminda luas, berilmu dan memiliki keupayaan berfikir. 


Berdakwah memerlukan ilmu pengetahuan tentang hakikat alam, hakikat diri insan. Tanah Melayu pernah menghasilkan karya-karya tasawuf yang memiliki nilai aestetik, mantiq dan metafizik yang tinggi. Rujuk sahaja perbincangan Hamzah Fansuri dan Nuruddin Ar-Ranirimengenai ilmu kewujudan Tuhan ‘wahadatul ujud’ yang kajiannya telah pun dibukukan oleh Prof. Naquib Alattas. Ilmu pengetahuan dapat dipelajari dari alam yang sarat dengan makna-makna rohani. Biar bagaimana pun terlebih dahulu kita perlu tahu isi kandungan Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW. Pandangan alam Islam yang jernih akan menyiapkan aqal kita bagi menghadapi falsafah-falsafah dan ISME, Isme yang mencabar jati diri umpamanya cabaran sekularisasi, kapitalisme dan liberalisme.

Selaku khalifah yang diturunkan oleh Allah SWT ke muka bumi, macam mana hendak berdepan dengan wakil pemikir dari Barat jika mindanya tertutup? Diri manusia sanggup menerima Al-Quran sedangkan gunung tak sanggup Al-Quran diturunkan ke atasnya. Sampai bila kita akan kekal dalam sebuah negara yang infrustrukturnya di peringkat pertama tetapi minda rakyatnya berada di tahap paling rendah? “Demi masa kita hidup dalam kerugian”. Kenapa salahkan pemerintah? Ke mana perginya para intelektual dan apa peranan media masa arus perdana? Ke mana perginya ulama yang tidak mesra alam menterjemahkan Al-Quran yang hidup dalam taman ini? 


Sekiranya esok hari kiamat kamu tanam pohon” - hadith Nabi. Itulah sebabnya saya telah tanam ribuan pohon dari beberapa negara. Siapa kalau bukan Nabi Nuh yang menyelamatkan tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Dan siapa kalau bukan Nabi Khidir yang digelar The green prophet? Baca karya Dr. Adi Setia, murid Syed Naquib yang membincangkan falsafah sains Islam. Belajar dari pohon tentang perkahwinan berlainan agama. Kita boleh kahwinkan lima jenis durian pada satu pohon, begitu juga bunga raya, bunga kemboja, yang penting dari spesis yang sama. Kita tak boleh kahwinkan pokok durian dengan rambutan, ditakdirkan berbuah namanya apa? Buah ‘rambut duri’ atau ‘rambut duritan’? Lu fikirlah Bro.


Setiap mereka yang berfikir dan belajar dari alam, dia boleh terangkan pada umat Islam yang mengatakan lelaki Islam boleh kahwin dengan perempuan Kristian, Buddha, Hindu, Yahudi. Mana mungkin satu faham yang mengimani bahawasanya Tuhan itu satu tidak beranak dan tidak diberanakkan digabung pula kisahnya dengan Tuhan konsepsi lain, yang satu akan menanti dan membatilkan yang selainnya. Anak tidak boleh dididik dengan mempercayai bahawa keduanya betul, seperti kata pendukung Pluralis agama, akhirnya anak dibesarkan dalam keadaan kebingungan.

Tanah seluas 6 ekar ini milik saya, saya beli namun saya tidak boleh tanam pokok ‘ganja’ yang boleh menguntungkan saya dengan cepat kerana negeri ini ada undang-undang. Saya tak boleh kata saya mengamalkan ‘liberalisme’ hak asasi manusia, suka hati sayalah. Saya bebas, apakah kita boleh bawa ganja ke USA kerana saya suka berdengung, isap ganja? Lu fikirlah bro. Apatah lagi kalau saya diberi ilmu bahawa pada hakikatnya alam ini, negeri, dunia ini milik Raja yang Maha Agung, yang Maha Adil, Maha Mengasihani yang menetapkan hukum-hakam untuk makhluknya.

Saya banyak belajar dari sungai yang mengalir turun dari gunung yang taat perintah Allah, sungai tak tuntut hak asasi sungai, tak tanya Tuhan kenapa kena ikut saja perintah Allah menuju ke laut. Apa salah sesekali nak jadi ikan lawan arus naik hala ke gunung. Apakah kita semua tidak seperti sungai, sama ada berlumpur, datar, laju, deras menuju laut? Bila sampai ke laut dia akan dijernihkan kemudian akan diangkat semula ke langit sebagai ‘vapour’ sebelum diturunkan sebagai hujan rahmat kepada alam.

Bolehkah saya buat apa yang saya suka atas tanah milik saya seperti saya berada di atas perahu di tengah laut, saya nak buat lubang dibawah tempat duduk saya kerana bila perahu ini tenggelam penumpang yang lain turut jadi mangsa kerana kita terpengaruh dengan falsafah Nietzsche yang mengatakan Tuhan sudah mati. Atau puak-puak yang mencabar kesahihan ayat dan hukum Tuhan yang berpendapat dirinya lebih bijak dari yang mencipta, memberi rupa, memberi nama? Apakah kita sudah baca pendapat Sir Iqbal yang keluar sesudah Nietzsche yang mengatakan seandainya saya jumpa Nietzsche saya akan berikan ‘sirr’ rahsia Tuhan kepadanya? 


Soalnya apakah mereka sudah mempunyai cukup ilmu untuk menjadi seorang ‘daie’ sedangkan mereka tak suka membaca biarpun sudah berada di Universiti? Model yang baik boleh dipelajari dari ‘Mas Gun’ Goenawan Muhamad dengan mengadakan kursus diskusi. Di Wadi Hussien juga mereka diajar ‘method diskusi’ dari alam maya ‘nature’, jika Tuhan yang kita cari kerana Tuhan ada di mana-mana. Terlebih dahulu apakah kita sedar Tuhan lebih dekat dari urat leher kita? “Hadapkan wajahmu ke mana saja disitu ada aku”. 
 
Siapa tahu anda akan jumpa Tuhan di Janda Baik. Tuhan yang sebenarnya belum mati, begitu juga Jesus anak tuhan dipercayai mati disalib oleh orang Kristian, yang mati manusia yang menyerupai Isa a.s. sebab itu Nietzsche fikir kalau anak tuhan boleh dibunuh masakan dia tak boleh bunuh bapa tuhan. Itulah susahnya bila manusia tidak tahu yangmereka itu rahsia Allah dan Allah rahsia manusia.

Teknik yang dilakukan oleh Socrates sesi soal jawab tentang ketuhanan perlu diadakan supaya kita tak menyembah manusia, yang disembah berjuta manusia apakah kita ikut agama yang dibawa oleh tok nenek kita atau oleh Nabi Muhammad SAW? Kenapa umat Muhammad masih mendewa-dewa dan menyembah manusia? Kita bebas mengamalkan hak asasi manusia, asalkan kita faham bahawa kebebasan dalam fahaman kita adalah kebebasan dari nafsu ‘haywaniyyah’ yang menjerumuskan kita pada lembah kehinaan yang memeritkan jiwa insan.

Kita selaku ‘Al-hayawan al natiq’ (haiwan Rasional) menurut Prof Naquib Alattas perlu menerangkan pada ‘orang kita’ tentang potensi serta daya aqaliah (judicius power) manusia yang tinggi. Berapa orang pelajar di UIA yang kenal siapa Prof. Naquib Alattas, apa lagi mahu membaca bukunya? Sebab itu sebelum mereka belajar dari Prof Naquib mengenai ‘adab’ apa lagi ilmu metafizik, mereka perlu disekolahkan dulu dari alam ciptaan Tuhan. Nak tengok Tuhan tak nampak, belajar dari ciptaannya, bagaimana belajar sabar dari pohon rambutan, belajar sifat memberi dari tumbuh-tumbuhan yang memberi kita oksigen, daun-daunnya yang kita boleh makan, kita boleh tumpang berteduh dan menyelamatkan kita dari ‘global warming’ (pemanasan global) dan lebih penting lagi Din, ilmu agama menurut Prof Al-Attas diibaratkan sebagai hujan bagi bumi yang tandus. Krisis ekologi dunia hari ini berasal dari krisis ruhani insan. Bila dirinya di dalam neraka, ia diterjemahkan menjadi neraka di sekelilingnya.

Apa yang berlaku dinamakan ‘global warming’ akibat umat Islam tidak ikut perintah Rasulullah SAW sedangkan tanggungjawab itu telah Tuhan berikan pada kita? Seperti firmannya di dalam Al-Quran:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh yang ma’aruf dan menegah yang mungkar, dan beriman kepada Allah”

Al-Imran: 110

Di Unilife sebelum berdakwah, kita perlu tahu hidup itu apa? Kehidupan itu apa? Nyawa itu apa? Tujuan hidup untuk apa? Kita harus fahami terlebih dahulu bahawa waktu itu dipinjamkan. Semua yang ada di atas muka bumi ini milik Allah. Kita sekadar ‘trustee’, bila kita kenal siapa diri kita, siapa Tuhan kita, baru kita boleh fokus kepada jiwa raga manusia melalui alam di keliling kita. Namun sebelum kita lakukan kegiatan tabligh, ceramah, pidato dan kegiatan-kegiatan sejenis, kita perlu ‘muhasabah’ diri ini dulu. Lu siapa, asal dari setitik air mani yang hina mahu ego, mahu menuntut kebebasan liberalisme. Bolehkah seorang hamba yang belum bebas dari ikatan dengan tuannya berbuat sesuka hati? Adakah kita yang menjadikan diri kita, memberi rupa dan citra, rohani dan jasmani bagi diri? Bebaskan diri dari ego, dari tipu daya syaitan dan nafsu haiwaniah. Bila bebas kita dari cengkaman nafsu, dari minda tertawan, barulah kita layak bergelar khalifah kerana kita menepati tujuan penciptaan kita.

Mereka akan berada di sini selama beberapa hari. Kata-kata yang baik, yang mengandungi makna-makna yang benar boleh mengubah manusia, bila yang dihubungi itu adalah aqalnya dan qalbunya, makna-makna ini akan menjadi benih yang melahirkan haruman dan pohonan, hingga yang mendengar menjadi taman yang berjalan. Oleh sebab itulah di Wadi Hussien saya lebih gemar bersembang dari berceramah kerana suasana yang santai memudahkan perpindahan makna-makna tadi. Saya tidak gemar ceramah yang penuh hasad dengki dan kebencian, kata-kata begini ibarat menuang sampah basah dalam diri pendengar. Selain disiapkan tempat tinggal, ada dewan, ada pentas, ada surau, diadakan juga dapur untuk mereka memasak sendiri kerana masakan para pelajar mampu menempah makanan dari luar ‘catering’ melainkan ada manusia yang bermurah hati. Takut jadi musuh Tuhan dengan sifat bakhil, hak manusia yang diwajibkan Allah sebagai sedekah jadi milik peribadi. Seandainya saya punya team seperti ‘Mas Gun’ di Malaysia juga kita mampu melakukan apa yang dilakukan oleh Salihara di Jakarta.

Hak anak-anak yang menuntut ilmu ini adalah tanggungjawab mereka. Mereka ini adalah ‘anak bangsa saya’ yang bakal mewarisi dan menjaga kelangsungan agama bangsa dan negara. Siapa kalau bukan kita yang mesti membantu mengikut kemampuan kita selaku khalifah? Itulah dakwah kepada orang yang terlupa kekayaan itu amanah, lebih mudah jadi orang miskin yang taqwa, beriman, redha, dari orang kaya yang lupa daratan.

Kita selaku ‘hamba’ dalam masa yang sama kita juga khalifah. Kita adalah manifestasi Tuhan ke atas muka bumi, tugas kita selaku ‘trustee’ selain memikir masa depan anak cucu cicit kita, bagaimana tanggungjawab ‘hablum minannas’, memikirkan ‘anak bangsa kita’ serta hamba Allah yang lainnya? Ruginya manusia yang tidak kenal diri, tidak kenal manusia di keliling mereka. Sebagai seorang khalifah Allah kita mempunyai tanggungjawab yang besar, jangan hanya pandai sebut ‘Allah hu akhbar’, shahadat ‘la’ bererti kita tak ada, yang ada, yang menguasai segala-galanya di atas muka bumi ini ‘illahi’ zat Allah yang maha nyata. Jiwa kita perlu besar, jangan ego saja besar cakap besar retorik. Tidak perlulah retorik bercakap mengenai ‘bangsa kita’, ‘my people’ sebagai amanah Tuhan pada kita. Belajar dari John F. Kenneddy  ‘ask what you can give to your country, not what your country can give you’.

Mahu jadi pendakwah yang kritis harus sanggup berjihad segala-galanya untuk Allah. Sanggup beri kesedaran dan keinsafan kepada pemimpin tentang tanggungjawab mereka. Jangan takut bercakap benar, jangan sembunyikan kemungkaran. Jangan biarkan masyarakat tenggelam dalam urusan cinta dunia, bebas melakukan kehendak syataniah atas nama liberalisasi. Jangan sesekali takut mati untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara. Dalam masa yang sama jangan buat kerja bodoh ikat bom di badan bunuh diri dan bunuh orang yang tak berdosa. Kebebasan Nafsun Natiqah untuk menundukkan nafsuhaywaniyyah manusia itu siapa? Dari mana? Kalau dari beruk, kata Darwin, makahaywaniyyahlah yang ingin bebas merajalelai diri. ‘Monkey see monkey do’. Akan tetapi kalau datangnya kita dari alam yang lebih tinggi yang diturunkan pada Asfala-Safilin, serendah-rendahnya, seharusnya kita ingin kembali pada keadaan Asali yang rapat dengan Rabb Al-Alamin.

Syed Moinuddin Hasan Chishty yang juga dikenali sebagai Garib Nawaz menterjemahkan mesej ‘hablum minannas’, ‘kasih sayang’ sesama manusia. Melalui dirinya yang pemurah dan penyayang, pembela fakir miskin dan rakyat marhain. Itulah sebabnya beliau digelar Garib Nawaz. Saheb menghuraikan makna ‘kasihnya Allah’ kepada makhluk-Nya. Mengikut falsafah Al-Quran tentang kesatuan antara manusia dan Allah mengikut agama Islam kita perlu berusaha mencungkil potensi kemanusiaan untuk seluruh manusia yang Tuhan ciptakan untuk menjadi khalifah Allah di atas muka bumi ini. Khwaja ‘Saheb’ Garib Nawaz menolak semua harta dunia dan memberikan segala harta miliknya kepada fakir miskin. Ini sifat memberi yang ada pada ‘wali Allah’ mengikut sunnah Rasulullah SAW yang tidak takut kepada kemiskinan bila mereka yakin Tuhan kita Maha Kaya. Lebih banyak kamu beri, lebih banyak kamu dapat dari Allah SWT. Tangan yang memberi lebih mulia dari tangan yang menadah di bawah. Tidak ada manusia yang papa kerana bersifat pemurah.

Tuhan suka kepada keindahan, Tuhan Yang Maha Indah, maka persembahkanlah yang terindah dan yang kamu paling sayangi untuk Allah dengan seikhlas hati. Inilah ‘legacy’ yang akan saya tinggalkan, sampai bila kita bergantung kepada kehebatan jurubina di Spain Taman Air ketika kegemilangan Islam? Kenapa tidak kita bangunkan arkitek landskap Islam di bumi bertuah ini supaya mereka nampak dan rasakan Islam sebagai ‘peace and tranquility’ dalam taman yang menterjemahkan sifat jiwa kita yang indah dan ingin menghasilkan keindahan. Hanya tamadun yang bersifat haywani semata yang mempergunakan daya-cipta dan daya fikir insan untuk menghasilkan penipuan dalam bidang periklanan, yang sanggup mengotorkan ‘qalam’, pen yang mulia sebagai wartawan yang menuliskan kisah yang bohong, yang mengajak pada pembaziran dan kemaksiatan, yang melacurkan Qalam yang agung. Bagi pembida tertinggi sifat kalam, yakni sifat berkata-kata milik Dzat yang maha suci yang dipinjamkan ahli politik yang menggunakannya menyebarkan kebencian dan penipuan.

Tanggungjawab kita sebagai seorang khalifah bukan mudah, selain berbakti kepada manusia, tak lupa pada binatang dan tumbuh-tumbuhan, dalam masa yang sama kita perlu berdakwah menjadikan diri kita ‘muaddib’ pendidik. Itulah antara tujuan saya membuka taman ini kepada orang ramai dan menghidupkan The University Of Life.

Dari pengalaman yang saya pelajari dari taman yang telah saya lawati hampir di empat penjuru alam syahadah termasuk taman tergantung Babylon. Selain menghidu bau-bauan yang harum ‘aroma teraphy’, mendengar nyanyian burung-burung, percikan air sungai ‘hearing teraphy’, bunga-bunga yang berwarna-warni,  menikmati warna warni ‘colour teraphy’ menghidupan sel-sel yang hampir mati tanpa kita sedari kerana kehebatan ‘Chi’ oleh mereka yang tahu ‘feng sui’ yang mengerti apa itu ‘Yin’ dan ‘Yang’.

Saya ceritakan pada mereka kenapa saya cipta taman yang disusun begitu rapi agar ia dapat memenuhi kelima-lima panca indera. Mata kita tak berguna tanpa penglihatan, begitu juga telinga tanpa pendengaran, hidung tanpa menghidu bau-bauan, lidah merasa nikmat makanan, kulit terasa sentuhan dan jiwa dengan kedamaian. Cerapan pancaindera sampai pada ruh yang sakit.

Allah S.W.T menciptakan manusia adalah untuk mengabdikan diri secara ‘mutlak’ kepada-Nya.

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu”.

Adz- Dzariyat: 56

Konsep kebebasan liberalisme yang dicanangkan tanpa konsep keadilan akan menghasilkan kecelaruan kerana keadilan adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya manakala kata lawannya adalah Zalim. Ia merupakan kezaliman meletak ikan di rumput, mencampakkan kucing ke laut. Memang benar kebebasan dan toleransi akan menghasilkan daya kreativiti. Sebaliknya jika terdapat kekangan yang ketat, maka akan merencatkan daya kreativiti namun kita harus bertanya kreativiti untuk apa? Sebab itu kita perlu tahu siapa kita selaku manusia di atas muka bumi? Apakah kita yang mencipta bumi, tanah yang kita beli ini atau kita dicipta? Siapa pencipta? Untuk apa kita dicipta?
Sekiranya liberalisasi dibiarkan, misalnya taman yang saya bina ibarat syurga ini saya jadikan tempat persinggahan bagi sekumpulan manusia yang mahu hidup bertelanjang seperti di zaman Nabi Adam dan Hawa semasa di syurga. Adam dan Hawa juga Islam. Apakah orang kampung dan Majlis Agama Islam akan bertoleransi bila saya kata ini hak asasi manusia?

Jika liberalisasi dibiarkan berlaku secara berlarutan maka akan terbantutlah potensi umat Islam untuk memajukan diri mereka berdasarkan acuan Al-Quran dan Sunnah, kesempurnaan jiwa yang mengikut Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW yang ada dan ia tidak memungkinkan anak-anak bangsa untuk berlari dan bersaing di persada yang lebih besar kerana tak ada beza antara kita dengan mereka yang tidak percaya pada Allah yang menurunkan hukum, Islam cara hidup yang paling sempurna.

Bagaimana mahu mengembalikan masyarakat yang pemikiran dan jiwa mereka yang telah dirosakkan oleh budaya liberalisasi dan hak asasi manusia pulih menjadi baik? Cukupkah menerusi ceramah di depan pelajar dari menara gading jika kita sendiri pun sekadar pandai bercakap, ‘cakap tidak serupa bikin’? Mereka mahu ‘role model’. Bagaimana mahu tegakkan sebuah Negara Islam sebagaimana yang diharap-harapkan oleh golongan Muslim menerusi politik tanpa mengIslamkan jiwa dan diri kita?

Ingatlah bahawasanya dunia ini hanya sementara, kenapa hendak tamak haloba, lubang kubur sempit, lebar 4 kaki, dalam 6 kaki. Paling banyak barang yang boleh tersembunyi dalam kain kapan, kad kredit, buku cek, dan telefon bimbit. Semua itu tak boleh digunakan kerana perhubungan kita dengan dunia sudah terputus.

Yang dapat mengendalikan Islam itu pada hakikatnya ialah syariat ketuhanannya yang suci, yang tidak membezakan antara bangsa dengan bangsa, yang dapat mempersatukan pandangan dan fikiran umat. Tidak ada tinggi dan rendah ukuran iman dan agamanya, kecuali tidak sungguh atau sungguh-sungguh hendak mempertahankan kemurniaan dan kesucian syariat Tuhan.

Syed Jamaluldin Al-Afgani

Jika lebih lima dekad lalu, anak-anak bangsa negara ini mula membina tapak untuk mentadbir urus sendiri negara bangsanya dan untuk memulakan pembangunan fizikal dan material untuk anak bangsanya, namun, perjuangan sebenarnya tidak pernah berhenti untuk terus dilakukan kerana pengaruh dan penjajahan tidak pernah berehat untuk menyerang dengan pelbagai bentuk dan pendekatan terutama menggunakan hak asasi manusia dan liberalisasi berlandaskan pandangan hidup masyarakat Barat yang dahagakan kebahagiaan yang tak kunjung tiba. Akan tetapi virus ini mudah sahaja diterapkan, dijangkitkan pada masyarakat Melayu Islam yang hilang makna diri dan pendidikan.

Tesis penamatan sejarah dan manusia terakhir (End of History and The Last Man) oleh Francis Fukuyama harus dibedah, dikaji semula. Tidak mungkin masyarakat liberal-kapitalis adalah yang terbaik yang mampu dicapai tamadun manusia. Masakan tidak, tesis ini sudah dihidupi oleh negara-negara maju seperti Amerika yang menemui kebuntuan, yang melalui krisis akhlak dan krisis kewangan yang bertitik tolak dari sifat tamak, runtuhnya institusi kekeluargaan akibat pengaruh liberalisasi. Seharusnya para intelek, ahli akademik dan think-tank renung dulu adakah sistem ini yang terbaik untuk insan mencapai kebahagian?

Setiap manusia mahukan kebebasan, yang penting ialah keadilan dan kesamarataan seperti yang diperjuangkan oleh Nabi Muhammad SAW, tak ada beza antara yang kaya dan miskin, yang kulitnya putih, sawo matang, kuning atau hitam, tak ada kasta sesama manusia. Pembangunan dan peradaban kemanusiaan masih boleh berlaku sekiranya keadilan dan kesamarataan dituntut seperti mereka menuntut liberalisasi dan hak asasi manusia. Kalau tidak proses tersebut akan berlaku dengan pincang. Seterusnya, ia tidak akan dapat dicapai secara sempurna dan tuntas selagi pemimpinnya bukan seorang ‘wali Allah’.

Mungkin secara fizikalnya, kita dilihat berada bersama-sama dalam arus pembangunan dan kemodenan, tetapi rohani dan pemikiran anak bangsa terus menjadi sasaran dan mangsa atas nama kebebasan dan hak asasi manusia.

Jasad manusia dibentuk sedemikian rupa supaya dapat memikul tanggungjawab penting dalam kehidupan ini iaitu menjadi penguasa alam sebagai khalifah Allah S.W.T di atas muka bumi ini. Ia bertanggungjawab memakmurkan kehidupan di bumi. Tanggungjawab ini memerlukan jasad yang sentiasa sihat dan seimbang. Oleh kerana itu manusia selain wajib menjaga kesihatannya terutama sekali melalui cara pemakanan. Makanlah makanan yang ‘halal’, ‘halalan tayiban’ bukan dari hasil rasuah, menyamun dan melanun harta rakyat, makan harta anak yatim dan menipu secara berniaga.

Sampai bila pun ‘mind set’ tidak berubah. Lebih ironis, muslim hari ini Islamnya sekadar pada Mykadnya saja kerana Muslim begini tiada ilmu, tiada jati diri. Kalau ulama sekadar fiqah, masih belum mampu membedakan gejala dan fakta secara sophisticated (mu’aqqad)atau metoda analisis (sighat al-tahlil) dalam melihat fenomena di sekitar kita secara objektik dan jujur. Masih saja ada umat yang belum mampu membezakan mana ajaran Islam yang asli dan benar, dan mana budaya-budaya yang sesungguhnya tidak ada sangkut pautnya dengan Islam perlu diterapkan jiwanya dengan ilmu tauhidhakikattarikat dan makrifat.
Kerana keberanian Sheikh Abdul Qadir Jailani keluar dari rumah, sanggup meninggalkan ibu untuk menuntut ilmu, untuk menghidupkan Islam yang mati di zamannya. Di Iraq Abdul Qadir digelar Muhyiddin yang menghidupkan agama. Pelik tapi benar, kerana tak berani berbohong, taat pada perintah ibu jangan cakap bohong, Abdul Qadir menceritakan kepada perompak yang menahan kabilah di tengah padang pasir yang ada wang yang tersembunyi yang dibekalkan oleh ibunya kepada perompak akhirnya penyamun menjadi muridnya yang pertama. Rule nombor satu, ‘berani berkata benar’, ikut pesanan ibu jangan berbohong, bayang jika kita ikut pesan guru, pesan Al-Quran, “bila timbul kebenaran yang batil akan pupus dengan sendirinya”.

No comments:

Post a Comment

A Closer Look.

Translate