Chat with Us LIVE!

Tuesday 22 May 2012

MEMO KEPADA MAHATHIR


Dengan Menyebut Nama Allah 
Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang




MEMO KEPADA MAHATHIR


“Apabila langit terbelah, dan apabila bintang-bintang jatuh berserakan, dan apabila lautan dijadikan meluap, dan apabila kuburan-kuburan dibongkar, maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan yang dilalaikannya…”

Al-Infithar : 1-5


SAUDARA DR. MAHATHIR


Ingatkah saudara pertemuan kita di Pulau Besar Melaka, dibumi dimana bersemadinya jasad seorang ‘karamah’ wali Allah yang bernama Sheikh Ismail? Ketika itu saudara hadir untuk merasmikan Tapa Nyai Island Resort iaitu pada 4 September 1991. Saudara bertanya kepada saya, “Nak tulis apa pula ni?” Saya tersenyum. Jawapannya tentunya banyak benda yang nak ditulis. Saya nak tulis macam-macam, antaranya ialah sebuah memo untuk saudara, kawan dan juga Perdana Menteri  saya yang mengandungi macam-macam cerita.


Saudara Perdana Menteri,
Terlanjur kata terlajak bahasa, terlebih dahulu saya memohon maaf kerana terpaksa menulis sebuah memo  begini rupa di ketika saudara sedang berada di kemuncak kecemerlangan. Namun untuk perhatian saudara dan rakyat Malaysia yang saya cintai saya terpaksa melakukannya demi cinta saya untuk agama, bangsa dan Negara.


Saya kira memo yang terpanjang yang pernah dihasilkan oleh sesiapa jua pun, apatah lagi memo ini dibuat di dalam bentuk sebuah buku, namun di dalam perkampungan politik  tidak ada yang pelik, tak ada yang mustahil.


Terus terang saya katakan bahawa memo  ini adalah sebagai satu peringatan kepada Saudara bahawa tanpa disedari saudara sudah menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 11 tahun  sejak saudara menggantikan Allahyarham Tun Hussein Onn yang telah bersara secara terhormat disebabkan arus kebangkitan Islam yang tidak terdaya ditempuhnya.


Saudara telah mencipta sejarah dunia dari seorang pemimpin Negara yang kecil kini menjadi pemimpin dunia ketiga. Syabas! Tahniah, kerana telah berjaya menduduki tempat sebagai seorang ‘world figure’ . Malaysia bangga mempunyai seorang pemimpin seperti saudara sebagaimana dahulu rakyat Indonesia bangga mempunyai pemimpin seperti Sukarno. Bahkan Negara-negara ASEAN pun turut berbangga dengan kemunculan saudara, namun setiap yang bermula pasti akan berakhir dan yang telah datang akan pergi.


Begitulah hukum alam. Yang kekal hanya Allah, kerana Tuhan saja yang tidak bermula dan tidak pula berakhir. Allah telah menganugerahkan kuasa kepada mereka yang  Ia kehendaki dan Allah juga yang mengambilnya semula bila Allah menghendakinya.  Tiada Raja yang akan kekal. Tiada Perdana Menteri yang akan kekal. Tiada ulama  yang akan kekal melainkan amalan dan ilmu serta jasa-jasa yang mereka tinggalkan. Bahkan alam dengan jutaan cakerawalanya pun akan turut binasa. Itulah janji Allah. Itulah janji Allah yang diperakui oleh seluruh umat manusia.


“Apabila langit terbelah, dan apabila bintang-bintang jatuh berserakan, dan apabila lautan dijadikan meluap, dan apabila kuburan-kuburan dibongkar, maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan yang dilalaikannya…”

Al-Infithar : 1-5


Allah berfirman :
“Semua yang ada di bumi itu akan binasa. Dan tetap kekal Dzat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemulian.”

Ar-Rahman : 26-27


Itulah satu daripada rukun iman yang diyakini oleh setiap umat Islam tanpa mengira sama ada ia seorang pengikut syiah, mazhab ahlul bait, mengikut ahlul sunnah dan juga golongan yang telah dilabelkan oleh Kementerian saudara sebagai pengikut ajaran sesat.


Saya rasa cukuplah sebelas tahun saudara memimpin Negara ini, kerana orang tua-tua telahpun mengingatkan kita semua. Buat baik berpada-pada. Makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang. Saudara sudah sampai di kemuncak. Belon yang sudah penuh berisi sama ada ia akan pecah secara meletup atau I kempis dengan sendirinya.


Dr. Mahathir Yang Bijaksana,
Biar bagaimana baik sekalipun seorang pemimpin di dalam kerajaan demokrasi di Negara ini kebaikannya hanya disanjung dan dipuji pada lima tahun pertama mereka memegang tampuk kuasa, tidak kira sama ada ianya seorang Menteri Besar atau seorang Perdana Menteri  kerana lima tahun  yang kedua di kerusi yang sama, sudah pasti ramai yang mula merasa tidak senang, maklum sajalah kebanyakkan dari mereka mula merasakan diri sudah berkuasa dan akan menggunakan kuasa, ‘Power corrupts absolute power, corrupts absolutely’ – Victor Hugo. Meminjam amanat saudara kepada bangsa satu ketika dahulu. Sebelum perkara macam ini berlanjutan, renungkanlah.


Y.A.B. Dr. Mahathir yang saya hormati,
Tahukah saudara bahawa saudara sudah melakukan sesuatu yang double standard?  Yang akibat dari tindakan tersebut telah merosakkan image saudara sebagai seorang pemimpin yang dihormati? Kredibiliti dan kebijaksanaan serta keberanian  saudara selama ini yang sanggup menerima segala macam kritikan mulai pudar. ‘Akibat nila setitik rosak santan sebelanga’. Perubahan saudara dari segi kepimpinan mula dipertikaikan oleh rakyat. Ramai kalangan sudah berani berkata bahawa saudara kini sudah mulai melatah. Ini satu petanda yang merbahaya kerana kebenarannya sudah terserlah.


Perubahan sikap dan tindakan saudara yang terburu-buru tanpa perhitungan yang mendalam itu telah melukakan hati dan mengecewakan perasaan mereka yang selama ini telah memperjuangkan cita-cita  dan mimpi  saudara. Saudara telah membunuh dengan kejamnya kebebasan bersuara  yang selama ini menjadikan saudara seorang hero, seorang satria dan wira bangsa.


Hasil kecekalan dan keberanian memberikan  kebebasan bersuaralah menjadikan kedudukan saudara seperti hari ini, kuat dan tidak pernah disangsikan. Saudara dihormati dan dimuliakan oleh kawan dan lawan. Tetapi apabila saudara menyekat suara rakyat dengan perbuatan menganiaya dan membunuh sebuah akhbar yang baru lahir, itu telah menampakkan saudara takut dengan bayang-bayang sendiri. Cukuplah Kementerian saudara mengambil tindakan terhadap majalah-majalah kepunyaan Al-Arqam. Seorang pemimpin besar seperti saudara tidak sepatutnya berbuat demikian, bertindak tanpa menggunakan akal fikiran dan kebijaksanaan.


Saudara telah mengakui yang saudara sendiri tidak membaca Mingguan Waktu yang saudara haramkan melainkan bergantung kepada laporan yang dibuat oleh para pegawai saudara. Apakah pengharaman  akhbar tersebut bergantung semata-mata kepada laporan orang lain. Dimanakah ketelitian dan keadilan  yang selama ini kita sanjung bersama? Apakah saudara cuba hendak meletakkan kesalahan kepada pegawai-pegawai saudara? Bukankah saudara sendiri yang mengarahkan Datuk Megat Junid untuk menghentikan permit akhbar berkenaan? Memang, saudara memang disanjung dan dipuji kerana kerberanian menanggung risiko yang telah dilakukan oleh mereka di bawah saudara hingga apa juga kesalahan yang mereka lakukan termasuk yang besar-besar saudara telah menangunggnya. Apakah saudara sudah tidak berdaya lagi?


Yang agak anehnya, penutupan akhbar ini dibuat semasa saudara melawat Jepun dan Korea Selatan, Negara yang menyanjung tinggi kebebasan bersuara dan berakhbar. Dari segi logiknya melalui dasar pandang ke Timur, tentulah saudara sendiri sedikit sebanyak mahu mengikuti contoh-contoh Jepun dan Korea dalam memberikan kebebasan kepada warganya.


Keputusan menutup akhbar ini dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Megat Junid Megat Ayub melalui satu sidang akhbar yang diadakan dirumahnya. Salah satu sebab akhbar ini ditutup menurut Datuk Megat ialah Mingguan Waktu telah menyiarkan berita fitnah, sebagai contoh, berita : Mengenai kegagalan kepimpinan Mahathir selama 10 tahun menjadi Perdana Menteri.


Adalah aneh alasan ini diberikan sebagai merujuk kepada sebab utama akhbar ini ditutup tanpa mengambil kira rencana-rencana yang disiarkan selama 22 minggu. Mungkin Datuk Megat sendiri sudah membaca rencana yang disiarkan oleh Mingguan Waktu. boleh dikatakan kebanyakkan rencana menyokong buah fikiran Datuk Sri Dr. Mahathir sebagai bossnya  dan adakala rencana yang saya tulis memberikan moral backing yang cukup kuat untuk saudara selaku Perdana Menteri kita.


Apakah Datuk Megat tidak menasihatkan bossnya, atau bossnya saja nak cari publisiti dengan mengharamkan sebuah akhbar politik yang bebas, yang telah mendapat perhatian umum? Mungkin bossnya merasa kalau dia buat apa saja semua orang akan diam.


Saudara dihormati oleh rakyat yang cintakan kebebasan, tetapi sayangnya saudara telah melakukan satu kesilapan besar dengan pengharaman terhadap suara rakyat yang berani menyuarakan kebenaran tanpa memikirkan risikonya. Atau saudara tahu akibatnya, tapi saja nak acah-acah?


Peristiwa ini sama seperti yang dilakukan oleh tiga Perdana Menteri sebelum saudara semasa mereka mengharamkan buku saudara, Dilema Melayu. Mereka tidak membaca buku tersebut tetapi atas nasihat dan mengikut saja apa yang telah dilakukan oleh orang ramai. Alangkah ruginya manusia yang tidak mahu menggunakan akal dan fikiran mereka sendiri, apa lagi mereka yang bertaraf kepimpinan.


Memang benar terbitan sulung akhbar Mingguan Waktu  ada menyiarkan halaman depan berita kegagalan kepimpinan saudara sebagai Perdana Menteri dalam tempoh 10 tahun memimpin Malaysia. Akhbar itu memetik kenyataan seorang tokoh DAP. Manakala di halaman dalamnya terdapat rencana kira-kira enam buah yang memuji dan menyanjung tinggi saudara sebagai Perdana Menteri Malaysia. Mengapa berita negatif  saja dipandang, mengapa rencana yang menyokong tidak disebut sama? Malah dalam kes ini hal-hal yang positif  mengenai kepimpinan saudara lebih menonjol daripada yang negatif.


Sebenarnya sebagai seorang pemimpin jika ada tuduh-tuduhan atau berita-berita negatif  lainnya ia mestilah menyiasat kembali dan mengambil contoh apa yang terjadi pada dirinya dahulu. Apakah berita itu betul mengenai dirinya atau tidak? Kritikan, tuduhan dan fitnah boleh merupakan alat untuk meninggikan darjat manusia jika manusia itu boleh menghadapinya dengan bijak seperti najis yang dibubuh di pangkal pohon yang boleh menjadi baja untuk menyuburkan pohon tersebut.


Jika tuduhan itu betul, apa salahnya kita membetulkan kesalahan kita dan jika tuduhan itu salah, kita boleh menjawabnya atau membantahnya. Beginilah rasminya dunia persuratkhabaran. Kesalahan biasa berlaku dimana-mana dan pada sesiapa pun lebih-lebih lagi pada tokoh-tokoh parti politik dan Perdana Menteri yang banyak membuat berita. Kita ini manusia biasa tentu ada kekurangan, pemimpin politik bukan wali Allah, bukan keramat dan bukan malaikat. Bumi mana yang tak ditimpa hujan, lautan mana yang tak bergelombang.


Akhbar Mingguan Waktu  sentiasa memuji dan mendukung idea saudara, pada hal-hal yang perlu didukung bersama, akan tetapi saudara mesti ingat..! Penulis adalah telinga dan mata rakyat. Jika ada kesalahan maka kita juga berhak mengatakan yang salah itu salah, bukan yang salah itu dikatakan benar dan yang benar kita katakan salahkan. Saudara sendiri menegah para wartawan dari memutar belitkan berita. Apa yang dilakukan oleh penulis adalah polisi dan prinsip yang menjadi amalan hidup saudara.


Dan yang lebih lucu lagi ialah kenyataan yang bercanggah yang dibuat oleh saudara dan Datuk Megat berhubung penutupan akhbar tersebut. Megat seperti yang saya sebut di atas merujuk kepada berita sulung akhbar Mingguan Waktu manakala saudara pula menyebut faktor lain sebagai alasan kerajaan mengharamkan penerbitan akhbar ini.


Percanggahan ini tentulah melucukan kerana orang ramai boleh menganggap saudara berdua tidak tahu menahu tentang motif sebenar akhbar itu ditutup. Masakan saudara berdua boleh bercanggah pandangan? Bukankah saudara sendiri yang mengarahkan Datuk Megat memaklumkan penutupannya? Ataupun Datuk Megat yang tidak tahu ekor pangkal saja membuat pengumuman tanpa memikirkan rasional disebalik permintaan bossnya? Mungkin Datuk Megat acah-acah saja menjadikan Mingguan Waktu sebagai Kambing Hitam?


Untuk menguatkan hujah saya tentang percanggahan pendapat antara Megat dan saudara, saya siarkan kenyataan saudara berdua seperti yang dilaporkan oleh akhbar berbahasa Inggeris, The Star. 


Di bawah tajuk Government Bans Weekly Tabloid Over Articles. The Star melaporkan:

The Home Ministry has revoked the publishing permit of the weekly tabloid Mingguan Waktu, Deputy Minister Datuk Megat Junid said on Wednesday.

“The revocation was made at the order of Home Minister Dr. Mahathir before he left for japan last week,” Megat told reporters. He said the weekly had carried a front-page article in its maiden issue claiming that the 10 year administration of Dr.Mahathir was a failure. “Other articles carried by the tabloid were detrimental to the nation’s development,” he added.


Manakala sekembalinya dari luar negeri, saudara memberitahu wartawan sebab-sebab Mingguan Waktu ditutup. Saya petik laporan akhbar The Star bertarikh 30 Disember 1991:

The permit of Mingguan Waktu has revoked because the weekly did not contribute to nation-building, Mahathir said yesterday. The Prime Minister said the tabloid was closed down because its reports were of “no use to the nation”.

“I believe that newspaper in the country should play a role to develop the nation. Instead, Mingguan Waktu’s publisher did not adhere to what they had specified when they applied for the permit. Things like mock-up and so on,” he said. Dr.Mahathir dismissed allegations that he revoked the paper’s permit because it had published an article claiming that he failed in his job during hyis 10 year tenure.

Asked for examples on what articles he considered were of no use to the nation, Dr. Mahathir said he never read the Mingguan Waktu. His decision was based on reports submitted to him as the Home Minister. he added.



Saudara sepatutnya dapat merasakan betapa pedihnya hati seorang editor, para wartawan, penulis undangan, serta penerbitnya apabila permit penerbitannya diharamkan. Saudara sendiripun adalah seorang penulis. Apakah pengalaman saudara menghadapi pengharaman buku saudara Malay Dilema tidak dapat mengajar saudara erti timbangrasa dan budi bicara terhadap sesama kaum penulis?


Saudara perlu memikirkan kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh tenaga dan pihak pekerja yang bergantung rezeki daripada penerbitan akhbar tersebut. Bagaimana nasib mereka yang kehilangan kerja dan mata pencarian akibat pemberhentian permit penerbitan akhbar tersebut secara tiba-tiba? Apakah perbuatan seperti ini tidak boleh dianggap sebagai satu kezaliman?


Apakah saudara terlupa mereka ini adalah rakyat Malaysia yang semestinya soal untung nasib mereka menjadi tanggungjawab saudara? Ingat-ingatlah sikit, Perdana Menteri pun hamba Allah juga. Kuasa yang ada pada saudara bukannya kekal.


Cukuplah saudara bergaduh dengan orang-orang politik dan pihak istana sahaja. Janganlah golongan penulis pun saudara nak ajak bergaduh sama? Ketahuilah saudara bahawa penulis lebih dekat dengan rakyat dan lebih kenal akan rakyat dari seorang pemimpin Negara. Suara penulis lebih dipercayai oleh rakyat. Seandainya hanya saya seorang saja yang terpaksa menentang saudara kerana tindakan terhadap kaum penulis, akan saya lakukan. Saya tahu persatuan penulis tidak peka dengan nasib yang menimpa para penulis. Mereka sibuk berpersatuan saja.


Pada saya saudara Yusuf Harun  tenaga utama yang menggerak Mingguan Waktu perlu di beri keadilan dan peluang kerana pemikiran dan komitmennya dalam bidang persuratkhabaran tidak boleh dicantas begitu sahaja memandangkan beliau telah terlibat secara serius dalam bidang tersebut sejak bertugas dengan Watan dan Mingguan Kota lagi. Sudah sekian lama buah fikirannya dicurahkan untuk menyokong dasar dan pelaksanaan kepimpinan saudara. Begitu juga  dengan penulis-penulis undangan lain di akhbarnya. Mereka telah dilabel sebagai ‘orang Mahathir’ dan menanggung risiko yang sama besar dengan saudara apabila berhadapan dengan musuh-musuh politik saudara.


Saya hairan mengapa saudara tergamak mengatakan Mingguan Waktu  tidak menyumbangkan apa-apa untuk pembangunan Negara? Saya merasa tersinggung dan terhina dengan kenyataan saudara bukan kerana saya salah seorang dari penulis undangannya tetapi  kata-kata demikian terkeluar dari mulut seorang pemimpin seperti saudara. Seolah-olah saudara ini jenis orang yang tak mengenang budi.


Saya tahu saudara tak perlukan para penulis lagi unjtuk membantu saudara kerana kebanyakan musuh-musuh saudara dibidang penulisan telah dibunuh oleh penulis di pertempuran sewaktu mempertahankan kerajaan saudara. Apakah saudara fikir perjuangan kita sudah berakhir Era Peperangan terbuka antara saudara dan istana baru bermula. Perjuangan kita tidak mengharapkan pembalasan dan penulis seperti lilin membakar diri untuk menerangi orang lain.


Apakah saudara pernah membaca kebanyakkan media masa yang bertaburan di seluruh Negara yang mengandungi unsur-unsur lucah yang terang-terang boleh menanam unsur-unsur negatif yang boleh merosakkan pemikiran serta akhlak rakyat? Majalah seperti ini bebas berleluasa dalam pasaran. Kenapa tidak diambil tindakan yang sama ke atas media yang jelas tidak boleh memberikan apa-apa faedah?


Apakah saudara menganggap bahawa majalah hiburan yang menyiarkan gambar setengah bogel, dedah itu dan ini, lelaki wanita bercumbu mesra boleh menyumbang terhadap pembangunan Negara? Boleh mendidik generasi penerus? Boleh menstabilkan sosial politik Negara dan mencerdaskan rakyat Malaysia khususnya pemuda-pemuda kita yang sedang menghadapi masalah sosial?


Bagi saya pemikir-pemikir seperti saudara Yusuf Harun perlu mendapat gelanggang dan peluang yang lebih besar untuk menyumbangkan idea kepada pembangunan rohani dan material ummah melalui akhbar yang diterbitkannya. Itu sekaligus boleh menguntungkan kerajaan saudara kerana rakyat lebih percaya kepada berita yang disiarkan dari akhbar milik kerajaan yang banyak menyelewengkan berita.


Penulis tidak boleh di anak tirikan dalam kesibukan kita mendampingi para usahawan dan pelabur, kerana cita-cita dan maruah bangsa tidak boleh dicapai dengan kekuatan ekonomi sahaja.


Sesuatu bangsa yang tahu menghargai ahli fikirnya akan maju. Industri pemikiran sangat penting untuk melahirkan generasi yang kuat dan mampu membina kemajuan jasmani dan rohani.


Industri ini tidak sepatutnya dipandang remeh. Ia sepatutnya diberi perhatian oleh saudara kerana saudara sendiri adalah seorang penulis dan pemikir. Sumbangan dan peranan mereka jauh lebih penting dari industri perdagangan kepada sesebuah negara. Namun nak buat macam mana saudara kini sudah leka dengan industri berat maka yang saudara Nampak cuma industri yang hanya boleh mencurahkan wang untuk kaum kapitalis saja. Sedangkan Jepun sebelum memulakan industri berat mereka mulakan dulu dengan industri pemikiran.


Sekiranya saudara tidak dapat mengimbangkan di antara industri berat dan industri pemikiran, di antara kejayaan material dengan moral, saya sarankan agar saudara bersara sajalah secara terhormat tanpa memikirkan siapa yang layak menggantikan saudara. Jika saudara tidak berdaya lagi menghadapi kritikan dari penulis dan ombak dari gelombang ketiga yang jauh lebih besar daripada semasa saudara mengambil alih kuasa PM dari Datuk Hussein Onn dulu.


Allah sebaik-baik penjaga. Allah bersifat Maha Mengetahui. Segala-galanya dibawah kekuasaan Tuhan. Apakah saudara pernah terfikir bahawa sesudah saudara dibuang dari UMNO dulu yang saudara boleh menjadi seorang Perdana Menteri?


Apa salahnya memberi peluang kepada Encik Ghafar Baba mengambil alih jawatan Perdana Menteri pula? Kiranya saudara anggap orang tua Ghafar itu tidak layak, jangan teragak-agak menggantikan orang lain di tempatnya. Saya tidak mengesahkan kesahihan cerita ini melainkan saudara dan Anwar Ibrahim saja, tetapi ramai yang tahu apabila Musa Hitam meletakkan jawatan saudara pernah menawarkan kerusi Timbalan kepada Anwar tapi keadaan ketika itu boleh membahayakan kerusi saudara sendiri maka Ghafar adalah pilihan yang tepat. Apakah Ghafar sudah tidak berguna lagi? 


Apakah saudara takut Encik Ghafar tidak akan melantik Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri sebaliknya mengambil Abdullah Badawi? Atau mungkin Encik Ghafar akan membawa semula Tengku Razaleigh sepertimana ada pihak yang mahu membawa Musa Hitam ke dalam kabinet untuk menggantikan saudara? Sekali air bah maka sekali pantai berubah.


Siapa tahu selepas ketiadaan saudara sebagai Perdana Menteri Tengku Razaleigh dan pengikutnya akan kembali ke pangkuan UMNO dan tidak mustahil bila Ghafar menjadi Perdana Menteri, Tengku Razaleigh sebagai Timbalannya, Sabah dan Kelantan kembali menjadi milik Barisan nasional. Setiap pemimpin ada gaya dan caranya yang tersendiri. Tahukah saudara bahawa Encik Ghafar Baba politiknya tinggi!


Ada tiga naib Presiden UMNO yang muda dan mempunyai kaliber untuk menggantikan saudara untuk masa kini. Serahkanlah kebijaksanaan memilihnya kepada Encik Ghafar sepertimana kepercayaan yang diberi kepada saudara sewaktu memilih Encik Ghafar sebagai Timbalan Perdana Menteri dahulu atau buang saja Ghafar Baba dan gantikan dengan siapa saja yang saudara suka sebagai Timbalan saudara sekiranya saudara tidak kasihan lagi kepada encik Ghafar yang selama ini taat dan patuh kepada saudara. Biarlah dia mati putih mata.


Keputusan yang bijak akan menyelamatkan UMNO, bangsa dan Negara, jika tidak, tak mustahil peristiwa tahun 1987 akan berulang ditahun 1993. Ingat saudara, tahun ini 1992 ialah tahun Monyet, tentu ada Monkey Business yang akan dilakukan oleh orang politik. Dan tahun berikutnya iaitu tahun 1993 adalah tahun Ayam Sabung, tahun pertarungan. Apakah sesudah pilihanraya umum akan datang nanti saudara baru mahu bersara?


 Sepantasnya saudara tentukan siapa yang saudara mahu sebagai pengganti kiranya saudara cintakan bangsa dan Negara. Jangan takut membuat keputusan semasa saudara masih kuat dan berkuasa.


Sebagai seorang ahli firasat, saya melihat angka 11 sebagai angka yang tidak akan membawa untung kepada saudara atau orang-orang tertentu yang ada kaitan dengannya. Lihatlah apa yang berlaku kepada “Kumpulan 11” yang menggulingkan Ketua menteri Melaka Ghani Ali dulu. Saudara sendiri yang telah berusaha menyelesaikan masalah “Kumpulan 11” di waktu itu. Buku saya Perang di Kuala Linggi 1978 telah mencatatkan sejarah tersebut.


Dan sekiranya saudara mengikuti politik Indonesia, peristiwa 11 March yang dikenali dengan istilah Supersemar di Indonesia atau Surat Perintah Sebelas March. Pertukaran kuasa antara Sukarno dan Suharto juga ada kaitan dengan angka 11.


Kini saudara sendiri telah dilantik menjadi pengerusi geng 11 – Kommanwelth. Siapa tahu kiranya Kommanwelth akan mati di tangan saudara? Atau karier saudara tamat seperti mereka yang terlibat dengan peristiwa Geng 11?


Setiap kali saya teringatkan angka 11, saya teringatkan dua tiang nisan, 11 sebagai tanda seseorang itu pasti akan kembali ke rahmatullah. Apakah saudara juga tidak akan kembali ke alam kekal? Sudah pasti, setiap yang hidup mesti menemui ajalnya, tetapi hanya Tuhan saja yang Maha Mengetahui tarikhnya. Belum tentu sama ada siapa yang akan mati dulu, saudara atau Encik Ghafar, ataupun saya yang mati dulu sebelum saudara berdua.
 Sekiranya saya pergi lebih dulu dari saudara, anggaplah memo ini sebagai wasiat dari saya.


Sebelum kita semua kembali buat selama-lamanya untuk menemui Tuhan kita yang dari-Nya kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali, eloklah kita selesaikan masalah yang berkaitan dengan UMNO, orang Melayu dan Negara, kerana setiap pemimpin akan ditanyakan mengenai kepimpinannya.


Kita sebaiknya sudah memikirkan untuk menjawab soalan kubur. Saudara adalah seorang pemimpin dan tentunya seorang pemimpin lebih berat dan lebih banyak soalan yang mesti dijawab. Saudara sebagai seorang yang mengaku beragama Islam. Allah akan menanyakan tindakan-tindakan saudara terutama tanggungjawab saudara terhadap saudara sesama islam yang telah saudara zalimi sama ada saudara sedar atau tidak. Antaranya mengenai Pertubuhan Al-Arqam yang telah dizalimi oleh Pusat Islam yang kebetulan di bawah Kementerian saudara. Sila luangkan masa baca satu persatu mengenai Ustaz Ashaari yang kebetulan mempunyai “bin” yang sama dengan saudara, bin Muhammad, dan juga tulisan saya di Mingguan Waktu dan yang saya petik dari buku POLITIK SERPIHAN. Ada sebabnya kenapa saya muatkan ini semua.Antaranya adalah kerana buku-buku saya adalah buku politik semasa.



Saudara telah banyak membuat kebaikan tetapi bumi mana yang tak ditimpa hujan seperti lautan mana yang tak bergelombang. Setiap orang politik pasti telah melakukan banyak dosa-dosa politik dan saudara yang telah memimpin Negara dan parti sepanjang 11 tahun juga tidak terkecuali. Bagaimana ramainya orang yang menyanjung saudara, tak kurang juga mereka yang membenci dan memusuhi saudara kerana saudara mengamalkan sikap in order to be kind you have to be cruel.


Nobody can become a perfect Prime Minister, nobody can become a perfect leader and no country can become a perfect nation, unless of course, you want to become the happiest Prime Minister in the world. May God Bless You.


Ingat memo ini bukan bertujuan untuk merendah-rendahkan martabat ataupun imej saudara tetapi satu peringatan sebelum saudara ditimpa musibah yang lebih besar. Saya adalah rakyat saudara dan sepatutnyalah sebagai seorang rakyat mengingatkan pemimpinnya, seperti saya mengingatkan Raja-raja dan sultan kita, biarpun risikonya besar tetapi saya tetap akan membuat teguran, jika ada hal-hal yang perlu diingatkan.


Suara rakyat mesti didengar oleh pemimpinnya bahkan seorang Nabi, yang ia juga menjadi raja, beliau bernama Sulaiman. Ia mendengar suara rakyatnya, walaupun suara burung, semut dan lain-lain lagi. Banyak kesilapan yang telah saudara lakukan sama ada disedari atau tidak sedari. 


Saya tahu ada orang-orang yang mendoakan agar balasan dibalas oleh Allah sejajar dengan dosa yang pernah saudara lakukan terhadap musuh-musuh politik saudara. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tak ada gunanya. Namun masih belum terlambat.


Di saat-saat saudara sedang di ambang populariti, eloklah saudara renung sejenak dan fikirkan hal ini berulang kali.Ingatlah kepada Newton’s Law. Setiap barang yang naik mesti turun.What goes up must come down. Macam mana deras ia naik begitulah deras ia akan jatuh.


Saya mendoakan agar saudara dapat menggunakan peluang ini untuk memikirkan sejenak nasihat saya sebelum Newton’s Law menimpa saudara. Lee Kuan Yew yang sudah arif tentang Newton’s Law, telah memilih untuk bersara sebelum beliau dibersarakan. Sekeras-keras Margaret Thatcher, the Iron Lady, pun kecut juga akhirnya. Dia pun sudah sedar saatnya sudah sampai dan memilih melepaskan jawatan Perdana Menteri Britain kerana sejarah Presiden Sukarno dan Presiden Marcos yang sayang pada kerusi telah mengajar mereka bahawa ‘No man is indespensible’. Bahkan para artis filem dan ahli sukan pun sudah mengerti akan hal ini. Mereka mengundurkan diri sebelum dijatuhkan oleh orang-orang baru muncul yang jauh lebih canggih dari mereka.


“Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan. Matikanlah diri kamu sebelum kamu dimatikan. Hisablah diri kamu sebelum kamu dihidab,” begituilah kata-kata orang sufi.


Saudara,
Insaflah bahawa saudara patut berundur diri secara terhormat seperti yang telah dilakukan oleh Tun Daim. Selain dari saudara ada dua tiga orang lagi Menteri Besar yang patut saudara turunkan dan tukarkan dengan orang baru terutama Tan Sri Wan Mokhtar, Menteri Besar Terengganu. Alasannya bukan kerana dia tidak baik atau sudah terlalu tua, tetapi berhentilah sebelum terlalu banyak kerosakan berlaku di negeri tersebut akibat beliau sudah tidak dapat diterima lagi. Yang kedua ialah Tan Sri Ramli Ngah Talib, tentu saudara juga telah membaca surat yang dikirimkan kepada saudara mengenai hal itu. Cukuplah Raja-raja buat angkara, jangan pula menteri-menteri ikut sama. Hal ini hanya akan merosakkan imej kerajaan pimpinan saudara.


Menteri Besar yang lain saya serah pada saudara kerana saya lihat bahaya di Kelantan boleh membuat kerajaan UMNO di Terengganu kecundang dalam pilihanraya akan datang sekiranya sesuatu yang drastik tidak dilakukan oleh seorang Menteri Besar baru yang bakal menggantikan orang tua yang sudah tiga penggal menjadi Menteri Besar. Gantikan dengan orang yang standing dengan Tok Guru di negeri jiran.


Fikirkanlah secara rasional, bolehkah sebuah kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar selama 18 tahun mahu bertanding dengan seorang tok guru yang anggun dan canggih seperti Nik Aziz? Sebagai satu analogi, sebuah Proton Saga yang baru berusia setahun tentulah tidak akan dapat ditandingi oleh Rolls Royce yang berusia 18 tahun. Bila terbitnya sang matahari bulan pernama pasti akan menjadi pucat lesi. Inilah yang telah terjadi, hidup silih berganti di zaman kebangkitan Islam. Ayah Wan pasti tak boleh bertahan akibat banyak sangat musuh dalam selimut. Ingatlah setengah abad yang lalu tentera Jepun menawan Malaya bermula dari Pantai Timur. Apakah tidak mungkin kecundangnya Barisan Nasional di Terengganu mengakibatkan runtuhnya kerajaan yang ada hari ini?


PAS menang di Kelantan dulu bukan kerana mereka kuat tetapi kerana UMNO lemah. Kerana cuba mempertahankan satu kerusi Menteri Besar, semua kerusi Barisan Nasional kalah. Jangan sampai hal ini merebak di Terengganu di mana UMNO sedang berkecamuk bergaduh sesama sendiri. Sekiranya saudara merasa ‘malu alah’ dengan Ayah Wan, orang tua yang baik budi yang tidak pernah minta duduk dikerusi tersebut tetapi disuakan padanya oleh Perdana Menteri, sekali lagi saya ingatkan jangan sampai kerana sayangkan satu kerusi Menteri Besar, Barisan Nasional hilang satu lagi kerajaan negeri di Pantai Timur. Kehilangan dua negeri di zaman pemerintahan saudara, satu perkara yang berat.


Sejak dahulu lagi saya menyokong kepimpinan saudara tanpa memikirkan ganjaran atau risiko yang terpaksa saya hadapi kerana mempertahankan kepimpinan saudara demi kesejahteraan Negara dan bangsa. Saya rela diseret ke mahkamah, diugut, diancam dan dihukum.Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa saya pernah mempertarungkan nyawa untuk maksud itu tetapi dengan tertulisnya memo ini bererti segala-galanya sudah berakhir. Selagi saudara tidak kembalikan kebebasan berakhbar kepada mereka yang berhak, selama itulah saya akan mengasingkan diri dari saudara. Sokongan peribadi seseorang tidak akan kekal, yang kekal hanyalah prinsip perjuangan yang tidak boleh bergadai-golok.



Saya tidak hairan tentang apa yang akan terjadi dengan buku ini atau diri saya sendiri kerana saya tahu orang yang saya kritik ini adalah Menteri Dalam Negeri,  juga Perdana Menteri. Namun jika disebabkan kebebasan bersuara, saya terpaksa dpenjarakan terserah, saya tahu kerana setiap perjuangan mesti dibayar dengan harga yang setimpal.Saudara tahu kini saya sudah tidak lagi boleh menguntungkan saudara, memandangkan Mingguan Waktu yang memuatkan tulisan saya yang menyokong saudara itupun telah diberhentikan permitnya.Maka apalah ada daya kepada seseorang individu seperti saya melainkan menunggu hukuman dari saudara.



Saya berpegang kepada prinsip dan keyakinan bahawa kita ini sama-sama hamba Allah. Pada saya hanya orang yang senang takut  susah, orang yang belum mematikan dirinya yang takut mati sebaliknya orang yang telah memenjarakan keinginannya tidak takut dipenjara, orang yang miskin tidak takut susah, orang yang menyedari dirinya hamba tidak akan takut kepada sesiapa melainkan Allah.



Saya akhiri memo ini dengan kata-kata:


Mengkritik tidak bererti menentang
Memuji tidak semestinya menyokong
Menegur tidak bermakna membenci
dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.



Sekian, terima kasih.

1 comment:

  1. Pak Habib seorang yang berani,Tun Dr Mahathir hanya takut pada tuhan yang Esa,,saya bangga menjadi rakyat Malaysia..

    ReplyDelete

A Closer Look.

Translate