Chat with Us LIVE!

Saturday 21 April 2012

Soal Jawab Bersama Pak Habib






Soal Jawab bersama Pak Habib tentang University of Life.



1.     Apakah motif pembukaan universiti tersebut, dan apa jenis keuntungan yang Pak Habib akan dapat dengan pembukaan tersebut?
2.     Para penuntut di University of Life apakah mereka akan dapat apa apa pengiktirafan yang rasmi? Apakah akan ada peluang pekerjaan bagi penuntut lepasan University of Life?
3.      Dengan tanpa pintu dan pagar bagaimanakah perancangan Pak Habib untuk mengendali pengajian tanpa sebarang masalah?



Pak Habib:
Bismilliahirahmanirahim, Salam Sejahtera.
Dalam dunia hari ini terdapat ramai golongan yang mencari keuntungan semata-mata tanpa memberi nilai sewajarnya patut diberikan. Saya mempunyai kenalan yang mempunyai wang ratusan juta, terkenal dan termasyhur. Akan tetapi kehidupan mereka dibelenggu dengan stress, mereka impikan ketenangan dan mereka inginkan kebahagiaan.

Kebahagiaan tidak dapat dibeli dengan wang, rumahtangga tidak dapat dibeli dengan kad kredit. Rumah boleh dibeli tapi isinya tidak datang sekali dengan harta. Rumah yang bertangga tidak akan menjanjikan rumahtangga yang bahagia. Jadi bagi melahirkan masyarakat yang dikenali sebagai masyarakat madani yang hidupnya aman, sentosa dan bahagia. Kita perlu pengajian yang mendalam tentang jiwa manusia.

Pada tahun 1970an ketika itu Setiausaha Agung UMNO Dato’ Senu Abdul Rahman telah mengumpul beberapa orang bijak pandai untuk melahirkan sebuah buku bernama Revolusi Mental dan bagi mengaitkan dengan isu semasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib juga menyebut tentang Transformasi. University of Life mempunyai matlamat yang sama. Namun, strateginya sedikit berbeza.

Manusia tidak akan berubah hanya melalui intelek. Pangkal cerita, pembaikan jiwa manusia adalah asas pembetulan karakter. Kian hari ramai yang bijak pandai yang bertaraf ‘arif’ dalam mahkamah. Malangnya, dalam kehidupan mereka menunjukkan kebodohan-kebodohan yang nyata kerana jiwa mereka telah dimamah dan hilang tanpa mereka sedari.


Di University of Life, anda tidak akan diajar seperti pengajaran yang anda sedia tahu, tetapi anda sendiri akan mendapat ilham tentang bagaimana manusia bertawakal dan mendapat ilmu. Sifat tawakal telah hilang daripada diri manusia.

Kini, kita inginkan penuntut sendiri membina jambatan ilmu dengan Maha Pencipta. Kita akan menunjukkan bagaimana keyakinan terhadap Ilahi akan membantu mereka menjalani kehidupan. Inilah ilmu ‘Haqqul-Yaqeen’.


Apabila anda berjalan masuk ke mahligai University Of Life, anda akan dapati ribuan pohon dan ratusan jenis tanaman dari merata dunia. Lalu, anda tentunya akan tertanya “dimana pagar dan pintu taman ini?”

Pintu tidak berpagar, dewan tidak berkunci. Ini semua terjadi kerana kami ingin menunjukkan bagaimana semua ini adalah harta Tuhan dan kami hanyalah penjaga. Sebelum kami mengajar, kami harus membuktikan melalui tingkah laku kami.


Islam bukan sekadar ritual, malah turut merangkumi pengamalan rukun dalaman; spiritual. Dalam amalan kerohanian, jiwa dapat dibentuk. Caranya ialah dengan kita menghidupkan kembali sifat-sifat Tuhan dalam diri kita

Di sini, kami mengamalkan Rukun Lima ritual:
1.     Shahadah
2.     Solat
3.     Zakat
4.     Puasa
5.     Haji


Juga Rukun lima Spiritual atau rohani:
1.     Loving
2.     Giving
3.     Caring
4.     Sharing
5.     Forgiving


Apakah sifat Tuhan dan Rasulullah S.A.W? Nabi kita Loving, jika kita bertanya pada anak-anak muda kita hari ini, mereka meraikan Hari Valentine 14 Februari. Semua orang bercinta dan berkasih sayang. Tapi apakah mereka tahu asal usul sumber kasih itu bermula dari mana? Siapakah manusia yang paling pengasih atas muka bumi ini kalau bukan Nabi Muhammad S.A.W?


Apa bukti kasih sayang baginda pada umatnya? Pada saat baginda wafat terdapat Malaikat Jibril, Ali ibni Abi Talib, Fatimatuzahra serta cucu bagina Hasan dan Hussain. Baginda berkata “Ummati.. Ummati..” “Umatku, umatku.” Betapa kasihnya baginda kepada umatnya, kerana baginda tidak mahu kita berada dalam neraka. Jadikanlah baginda sebagai ‘role-model’ terbaik. Baginda dengan sifat pengasih, pemurah dan pemaaf itu adalah manifestasi sifat-sifat Tuhan. Baginda juga seorang yang ‘Caring’ sentiasa mengambil tahu masalah yang dihadapi sahabat-sahabat dan juga sekalian umat. Apa yang dimiliki dikongsi, ilmu diberi oleh Tuhan semuanya dikongsi bersama umat.


Antara Guru yang terdapat di University of Life ialah pohon rambutan. Anda tentu tidak dapat mencari guru dan ustaz yang lebih penyabar daripada pohon rambutan. Sebagai contoh, untuk anda lebih mudah memahami, cuba kita minta seorang ustaz berdiri sebelah pohon rambutan dan kita baling batu kerikil ke dahan rambutan dan tunggu reaksi pohon tersebut. Seterusnya, cuba pula kita baling batu yang sekecil-kecilnya ke arah ustaz tersebut. Saya jamin anda tidak perlu menunggu reaksi ustaz untuk anda lari bertempiaran.


Rasulullah S.A.W mengajar kita supaya mengawal kemarahan, sebagaimana layaknya kita sebagai makhluk terbaik kerana kita bukan pokok pulasan, manggis atau pokok buah-buahan lain. Selain itu, University of Life turut mengajar kita untuk bercucuk tanam, Rasulullah S.A.W menyuruh kita agar bercucuk tanam walaupun esok akan datang hari penyudahan. Apakah keuntungan bercucuk tanam? Bila sebatang pokok mula membesar ia akan memberikan oksigen. Sebelum ia berbuah, kita dapat berteduh di bawahnya dan apabila ia berbuah kita dapat mengisi perut. Dan paling penting bagi dunia hari ini, pohon dapat menangani masalah ‘Global-Warming’. Siapakah yang bertanggungjawab kalau bukan manusia? Jadi, daripada kita menuding jari adalah lebih baik kita menggunakan jari-jemari tersebut untuk bercucuk tanam.


Seterusnya, di universiti ini, kami menerapkan sifat membaca. Kenapa kita mesti membaca? Jika anda masuk dalam mahligai University of Life, anda akan dapat lihat kaligrafi yang bertulis “IQRA! Bacalah!”. Kita diberikan akal, hanya dengan membaca kita dapat menimba ilmu. Air sungai kalau tidak terdapat ikan dalam tali arusnya, kuranglah daya tariknya.

Transformasi jiwa bermula dengan pengenalan diri, bagaimana kita hendak mengenali diri kita? Kita harus pelajari tasawuf dan ilmu hakikat. Hari ini, kita hanya mempelajari ilmu syariat. Kita mesti juga mempelajari ma’rifat kebesaran Allah S.W.T dan pendekatan diri dengan Ilahi. Siapakah yang paling dekat dalam diri kita kalau bukan Tuhan yang nyata? Bukankah terdapat Tuhan dalam setiap diri manusia? Barangkali, pengajaran Friedrich Nietsche yang mengatakan Tuhan telah mati telah ter mempengaruhi kita, mungkin juga telah mematikan Tuhan dalam diri kita. Maka itu, kita beranggapan kebebasan adalah hak mutlak individu, seolah-olah kita boleh melakukan apa saja atas muka bumi ini. Kita telah lupa tentang Qada’ dan Qadar ketentuan Allah S.W.T.


Bagaimana dapat kita menghidupkan kembali Ruh dalam jiwa kita yang telah mati? Hendaklah kita mengenal Allah S.W.T. Kalau dalam diri kita ada Tuhan, dalam diri manusia lain juga terdapat Tuhan. Jadi, bila kita menyakiti insan lain, kita juga menyakiti kewujudan Tuhan dalam diri kita sendiri.

Jadi, kenapa saya tidak memasang pintu pagar atau CCTV? Kerana saya percaya bahawa Tuhan berada dimana-mana, saya yakin ini semua milikNya yang mutlak. Saya sekadar menumpang sahaja atas muka bumi ini, maka itu saya harus berkongsi apa yang saya miliki ini. Sekurang-kurangnya apabila saya mati, saya akan meninggalkan sebuah legasi.


Jadi kesimpulannya, sebelum kita mengajar apa-apa jenis ilmu pun, kita seharusnya telah mengamalkan nilai-nilai penting itu supaya apabila pelajaran di University of Life diajarkan, orang tidak akan meragui kesahihan ilmu tersebut.


Seterusnya anda juga akan dapat mengamati sebuah tulisan ‘Tafakkur!’ Berfikirlah! Fikir tentang apa? Tentang Tuhan, tentang penciptaan manusia, tentang siapa kita sebenarnya, ke mana akan kita tuju. Fokus kami adalah dalaman bukan luaran, pengiktirafan jiwa bukannya pengiktirafan minda semata-mata. Setelah pulang mereka akan lebih tenang dan bahagia serta lebih ‘arif tentang erti kewujudan. Proses pengeluaran dari kepompong ini berlaku apabila kita cuba bukakan minda dan jiwa mereka kepada suatu realiti yang baru.


Kalau Lim Kok Wing dapat membuka sebuah university, kenapa saya sebagai seorang Melayu tidak boleh memulakan sesuatu yang sebegitu? Namun saya tidak mahu ianya seperti yang lain-lain kerana kalau begitu, tidaklah saya digelar S.H Al-Attas atau Pak Habib.

Saya ingin menghidupkan suatu suasana baru sepertimana yang telah dibincangkan oleh ahli-ahli falsafah Greek lama; Socrates, Arisotle dan Plato. Ilmu apakah yang mereka bincangkan kalau bukan perihal ilmu ketuhanan dan kemanusiaan?


Datuk Seri Najib pernah mengetengahkan penyatuan satu bangsa Satu Malaysia. Bahasalah yang dapat menyatukan kita, bahasa apa yang kita akan ajarkan dalam University of Life? Kita mengajar manusia dengan bahasa Tuhan, bahasa Al-Quran bukan sekadar bahasa Arab.

Bagaimanakah kita belajar bahasa Tuhan? Kita mempelajari bahasa Rob kita, Pengatur alam raya ini melalui ciptaan-ciptaanNya. Perhatikanlah alam sekitar kita. Kenapakah Tuhan menciptakan manusia ini berbangsa-bangsa, beragam agama, pelbagai rupa dan warna? Kembalilah kepada alam semulajadi, dan marilah kita fikirkan kenapa Tuhan menciptakan manusia sebagai sebaik-baik makhluk di alam ini? Jawapannya akan anda perolehi sendiri di dalam diri anda, dan akan dapat anda fahami juga melalui alam raya ini.

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan,” (Al-Alaq:1)

Hanya dengan iman kita dapat memahami cara Tuhan menyampaikan pelajaran dan pengajaranNya kepada kita. Jadi, universiti ini adalah untuk mereka yang percaya bahawa merekalah permulaan segala perubahan. Hanya dengan mengintrospeksi diri dan bermuhasabah diri, akan mereka fahami sepenuhnya pelajaran pelajar-pelajar di University of Life.


1 comment:

  1. Maha suci tuhan daripada berada di dalam sesuatu atau di luar sesuatu. Bermula semua warna adalah dari tanpa warna. wallahu a'lam.

    titik yg bercahaya yang namanya adalah DIRI..... (Dr Sir Md Iqbal)

    ReplyDelete

A Closer Look.

Translate